Langkau ke kandungan utama

Penglibatan media massa yang disasarkan untuk mendorong tingkah laku yang lebih sihat kepada orang dewasa, golongan minoriti

Latar belakang dan soalan ulasan

Pihak berkuasa kesihatan dan badan bukan kerajaan sering melibatkan media massa (contohnya risalah, iklan radio dan TV, poster dan media sosial) untuk mendorong tingkah laku sihat yang antara lainnya berkaitan dengan aktiviti fizikal, corak diet, penggunaan tembakau atau alkohol. Dalam tinjauan ini, kami mempertimbangkan kesan penglibatan media massa yang disasarkan kepada golongan minoriti. Intervensi yang disasarkan dirancang untuk mempertimbangkan ciri-ciri kumpulan tertentu, yang terbaik dengan memberi peluang dan sumber yang sama kepada golongan minoriti untuk mengakses maklumat, kemahiran hidup, dan peluang untuk membuat pilihan yang lebih sihat. Namun demikian, kita tidak tahu sama ada strategi media massa yang disasarkan adalah lebih berkesan untuk menjangkau dan mempengaruhi golongan minoriti daripada strategi media massa yang dibuat untuk orang awam.

Ciri-ciri kajian

Kami menjumpai enam kajian, semuanya dari Amerika Syarikat, empat daripadanya mensasarkan Afrika Amerika dan dua lagi mensasarkan pendatang Latino atau Cina. Daripada kajian tersebut, empat daripadanya adalah eksperimental (1693 sukarelawan) dan dua melaporkan hasil kempen bertarget besar yang dijalankan di seluruh komuniti dan bandar. Bukti terkini sehingga Ogos 2016.

Keputusan utama

Bukti yang ada tidak mencukupi untuk menyimpulkan sama ada penglibatan media massa yang disasarkan untuk golongan etnik minoriti adalah lebih, kurang atau sama berkesan dalam mengubah tingkah laku kesihatan daripada penggunaan media massa umum. Hanya satu kajian membandingkan tabiat merokok dan niat peserta untuk berhenti melalui penerimaan buku panduan nasihat merokok yang disesuaikan melalui budaya atau buku yang dibuat untuk penduduk umum. Mereka mendapati sedikit atau tidak ada perbezaan dalam tingkah laku merokok antara kumpulan tersebut.

Jika dibandingkan dengan tidak ada intervensi media massa, intervensi media massa yang disasarkan dapat meningkatkan jumlah peserta untuk berhenti merokok, tetapi kesannya terhadap tingkah laku kesihatan tidak jelas. Kesimpulan ini berdasarkan penemuan pada tiga kajian. Satu kajian memberi para peserta akses ke satu siri dengan 12 rancangan secara langsung di TV dengan maklumat tentang cara menjaga berat badan yang sihat melalui diet dan aktiviti fizikal. Berbanding dengan wanita yang tidak menonton rancangan, peserta melaporkan sedikit peningkatan aktiviti fizikal dan beberapa perubahan positif terhadap corak diet mereka; namun, berat badan mereka tidak berbeza dari masa ke masa. Dua kajian lain adalah kempen yang disasarkan secara besar-besaran di mana perokok digalakkan untuk memanggil talian berhenti merokok untuk mendapatkan nasihat berhenti merokok. Jumlah panggilan telefon dari populasi sasaran meningkat dengan ketara semasa kempen.

Ulasan ini juga membandingkan intervensi media massa yang disasarkan dengan intervensi media massa dengan tambahan interaksi peribadi. Penemuan ini, berdasarkan tiga kajian, tidak dapat disimpulkan.

Tidak ada kajian melaporkan sama ada penglibatan tersebut mempunyai kesan buruk, seperti kemungkinan stigma atau peningkatan penolakan terhadap pesanan.

Kajian selanjutnya yang secara langsung membandingkan penglibatan media massa yang disasarkan dengan penglibatan media massa secara umum akan lebih berguna. Beberapa kajian telah meneliti kesan penglibatan media massa yang disasarkan kepada golongan minoriti yang terutamanya bertutur dalam bahasa yang tidak dominan.

Kualiti bukti

Keyakinan kami terhadap bukti kesan terhadap semua hasil utama adalah rendah hingga sangat rendah. Ini bermaksud kesan sebenar mungkin berbeza atau sangat berbeza dengan hasil keputusan yang ditunjukkan dalam ulasan ini. Kami mempunyai keyakinan yang sederhana terhadap anggaran peningkatan jumlah panggilan ke talian berhenti merokok.

Nota terjemahan

Diterjemahkan oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Petikan
Mosdøl A, Lidal IB, Straumann GH, Vist GE. Targeted mass media interventions promoting healthy behaviours to reduce risk of non-communicable diseases in adult, ethnic minorities. Cochrane Database of Systematic Reviews 2017, Issue 2. Art. No.: CD011683. DOI: 10.1002/14651858.CD011683.pub2.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan