Langkau ke kandungan utama

Penapis

Bukti

Buku Panduan/Manual

Berita

Adakah terdapat cara-cara untuk menambah baik rawatan berhenti merokok di penjagaan primer bagi membantu lebih ramai orang untuk berhenti merokok?

Bantu menambah baik Ringkasan Cochrane – lengkapkan survey ringkas ini

Apakah rawatan berhenti merokok di penjagaan primer?

Penjagaan primer, juga dikenali sebagai perubatan keluarga atau amalan umum, ialah tempat masyarakat berjumpa dengan profesional kesihatan bagi masalah kesihatan harian. Ia adalah salah satu tempat terbaik untuk mereka yang merokok tembakau mendapatkan bantuan untuk berhenti merokok. Apabila mereka hadir di pusat penjagaan primer, mereka mungkin ditanya sama ada mereka merokok atau tidak. Jika mereka memberi respon ya, mereka kemudiannya boleh dibantu untuk berhenti merokok, biasanya melalui kaunseling dan ubat-ubatan.

Mengapakah kami membuat Ulasan Cochrane ini?

Sokongan untuk berhenti merokok di penjagaan primer ada kalanya tidak disampaikan dengan baik atau konsisten. Penyedia perkhidmatan kesihatan berkemungkinan tidak pasti cara terbaik untuk menyampaikan rawatan, mungkin mempunyai masa yang terhad untuk menyampaikannya atau kekurangan sumber yang diperlukan. Kaedah untuk menambah baik penyampaian dan kejayaan sokongan dalam berhenti merokok di penjagaan primer telah pun dicadangkan. Sebahagian daripadanya direka untuk memastikan rawatan yang tersedia disampaikan dengan kerap dan baik, contohnya melatih kakitangan kesihatan tentang cara terbaik untuk membantu orang berhenti, dan sebahagiannya direka untuk meningkatkan sokongan yang tersedia untuk peserta, contohnya menyediakan kaunseling tambahan dan bahan bercetak. Matlamat kami adalah untuk melihat pendekatan yang manakah paling berkesan sama ada secara sendirian atau bersama-sama.

Apakah yang dilakukan?

Kami telah mencari kajian yang melihat kepada cara untuk menambah baik piawaian sokongan berhenti merokok dalam lingkungan penjagaan primer dan dalam keadaan rawatan yang diterima diputuskan secara rawak.

Kami ingin mengetahui:

- berapa ramai orang yang ditanya tentang tabiat merokok mereka dan diberikan nasihat serta sokongan;

- berapa ramai orang yang cuba berhenti merokok; dan

- berapa ramai orang berhenti merokok sekurang-kurangnya selama enam bulan.

Kami menyertakan bukti yang telah diterbitkan sehingga 10 September 2020.

Apakah yang ditemukan?

Kami menemui 81 kajian yang melibatkan 112,159 perokok dalam kalangan pesakit di penjagaan primer. Kajian-kajian melihat kepada pelbagai cara untuk meningkatkan penyampaian dan kejayaan sokongan dalam berhenti merokok di penjagaan primer. Ada yang hanya melihat kepada satu strategi, dan ada melihat kepada dua atau lebih secara gabungan. Lebih daripada satu kajian melihat kepada setiap satu strategi berikut: kaunseling tambahan; ubat-ubatan percuma; maklum balas kepada peserta tentang penanda risiko kesihatan mereka yang berkaitan dengan tabiat merokok; bahan bercetak yang disesuaikan untuk peserta; latihan bagi penyedia perkhidmatan kesihatan; dan ganjaran kepada penyedia perkhidmatan kesihatan kerana memberikan sokongan.

Kebanyakan kajian dijalankan di Eropah (39 kajian) dan Amerika Syarikat (26 kajian).

Apakah keputusan daripada ulasan kami?

Lebih ramai orang mungkin berhenti merokok sekurang-kurangnya selama enam bulan apabila mereka diberi kaunseling tambahan (22 kajian, 18,150 orang), ubat berhenti merokok percuma (10 kajian, 7560 orang), atau bahan bercetak yang disesuaikan untuk mereka (6 kajian, 15,978 orang), sebagai sebahagian daripada sokongan berhenti merokok dalam penjagaan primer. Kami tidak pasti sama ada pemberian maklum balas tentang penanda risiko kesihatan mereka, pemberian latihan kepada penyedia penjagaan kesihatan, atau ganjaran kerana memberikan sokongan dalam berhenti merokok, dapat membantu lebih ramai orang berhenti merokok.

Tiga puluh empat kajian melihat kepada lebih daripada satu strategi untuk menambah baik rawatan berhenti merokok di penjagaan primer. Kombinasi sangat berbeza melangkaui kajian, dengan tahap kejayaan berbeza, dan tidak mungkin untuk membuat kesimpulan tentang yang mana paling berkesan.

Tidak terdapat maklumat yang mencukupi untuk membantu kami memahami dengan jelas sama ada terdapat peningkatan pada jumlah sokongan dalam berhenti merokok yang diberikan atau peningkatan pada bilangan orang yang membuat percubaan untuk berhenti merokok.

Sejauh manakah keputusan ini boleh dipercayai?

Bagi sesetengah keputusan kami, perbezaan data adalah secara meluas, bagi sesetengahnya data tidak mencukupi, dan dalam beberapa kes terdapat isu kualiti dengan kajian yang disertakan.

Kami agak yakin bahawa mereka yang merokok lebih cenderung untuk berhenti merokok jika seseorang sebagai tambahan kepada doktor penjagaan primer juga menyediakan kaunseling berhenti merokok, jika ubat berhenti merokok percuma disediakan, atau jika bahan bercetak yang disesuaikan untuk peserta disediakan sebagai sebahagian daripada sokongan untuk berhenti merokok yang ditawarkan di penjagaan primer. Walau bagaimanapun, keputusan mungkin berubah apabila terdapat lebih banyak bukti.

Kami kurang yakin tentang keberkesanan pemberian maklum balas tentang penanda risiko kesihatan individu kepada mereka, memberi latihan kepada penyedia penjagaan kesihatan tentang rawatan berhenti merokok atau memberi ganjaran kepada penyedia penjagaan kesihatan kerana memberi sokongan dalam berhenti merokok. Keputusan-keputusan ini berkemungkinan berubah apabila terdapat lebih banyak bukti.

Nota terjemahan

Si la hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini.Diterjemah oleh Nadiatul Azra Ahmad Mazlan (IMU University). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my).

Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.

Petikan
Lindson N, Pritchard G, Hong B, Fanshawe TR, Pipe A, Papadakis S. Strategies to improve smoking cessation rates in primary care. Cochrane Database of Systematic Reviews 2021, Issue 9. Art. No.: CD011556. DOI: 10.1002/14651858.CD011556.pub2.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan