Langkau ke kandungan utama

Keselamatan dan keberkesanan rawatan antikoagulan untuk orang yang telah dirawat untuk klot darah

Latar belakang

Tromboembolism vena (VTE) adalah keadaan di mana darah beku terbentuk dalam vena kaki atau pelvis (trombosis vena dalam (DVT)), atau klot yang bergerak dalam darah dan menghalang saluran darah di paru-paru (embolisme paru-paru (PE)). Orang dengan VTE dirawat dengan antikoagulan, yang mencegah pembentukan klot lanjutan. Bagi pesakit dengan VTE yang disebabkan oleh faktor risiko tertentu (tempoh imobiliti yang lama, kanser, kehamilan, kontraseptif oral, terapi penggantian hormon, trauma, atau gangguan darah), rawatan boleh dihentikan dengan selamat selepas tiga bulan. Walau bagaimanapun, bagi pesakit dengan VTE yang tidak diketahui punca (tidak diberangsangkan), tempoh rawatan optimum tidak diketahui kerana bukti yang terhad. Doktor perlu membuat keputusan mengenai rawatan lanjutan berdasarkan manfaat (iaitu pencegahan VTE berulang) dan risiko (iaitu perdarahan) yang dikaitkan dengan rawatan. Ulasan ini menilai sama ada rawatan lanjutan adalah selamat dan berkesan dalam mencegah klot lanjutan dalam kalangan pesakit dengan VTE yang tidak diberangsangkan.

Ciri-ciri kajian dan keputusan utama

Kami mendapati enam kajian dengan jumlah gabungan 3436 pesakit (sehingga Mac 2017). Lima kajian membandingkan rawatan dengan plasebo, dan satu kajian membandingkan satu jenis rawatan dengan yang lain. Tiga daripada lima kajian yang menggunakan plasebo telah mengguna warfarin, dan dua kajian mengguna aspirin. Gabungan keputusan lima kajian menunjukkan tiada perbezaan jelas dalam kadar klot lanjutan di antara pesakit yang dirawat dengan antikoagulan dan mereka yang dirawat dengan plasebo, dan tiada perbezaan jelas dalam bilangan kematian, insidens perdarahan, atau kesan buruk seperti strok atau serangan jantung.

Satu kajian menunjukkan rawatan oral dengan antikoagulan rivaroxaban dikaitkan dengan kurang klot berbanding aspirin. Tiada bukti perbezaan dalam peristiwa pendarahan utama dan bukan utama di antara rivaroxaban dan aspirin. Masih belum ada data mengenai kematian dan kematian yang berkait dengan klot di paru-paru, strok, dan serangan jantung untuk peserta yang relevan dengan ulasan ini dan ia akan dimasukkan dalam versi ulasan akan datang.

Kualiti bukti

Kualiti bukti dari kajian-kajian yang disertakan dalam ulasan ini adalah rendah hingga sederhana kerana hanya sebilangan kecil kajian dengan sedikit peristiwa dimasukkan.

Ulasan ini mendapati terlalu sedikit kajian untuk menunjukkan sama ada rawatan lanjutan adalah selamat dan berkesan untuk mencegah klot darah lanjutan selepas rawatan selama tiga bulan. Kajian yang lebih baik dan berskala besar diperlukan.

Nota terjemahan

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.

Petikan
Robertson L, Yeoh SE, Ramli A. Secondary prevention of recurrent venous thromboembolism after initial oral anticoagulation therapy in patients with unprovoked venous thromboembolism. Cochrane Database of Systematic Reviews 2017, Issue 12. Art. No.: CD011088. DOI: 10.1002/14651858.CD011088.pub2.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan