Langkau ke kandungan utama

Kesan menggunakan ahli farmasi untuk memberi perkhidmatan selain pendispensan ubat di negara berpendapatan rendah dan sederhana

Penyelidik di Kolaborasi Cochrane menjalankan ulasan untuk menilai kesan menggunakan ahli farmasi untuk memberi perkhidmatan selain pendispensan ubat di negara berpendapatan rendah dan sederhana. Setelah mencari kesemua kajian yang relevan, mereka menemui 12 kajian yang memenuhi keperluan ulasan. Penemuan mereka diringkaskan seperti di bawah.

Penggunaan ahli farmasi untuk memberi perkhidmatan selain pendispensan ubat

Secara tradisi, peranan utama ahli farmasi adalah untuk menyediakan dan mendispens ubat-ubatan. Namun, tugas yang dijangka daripada mereka telah bertambah. Mereka kini perlu memastikan pesakit menggunakan ubat mereka dengan betul, membantu pesakit menyelesaikan masalah berkaitan ubat dan memberikan maklumat kesihatan yang dapat membantu pesakit memperbaiki kesihatan mereka. 

Semua kajian dalam ulasan ini berlaku di negara berpendapatan sederhana, sama ada di jabatan pesakit luar, farmasi komuniti atau pusat penjagaan kesihatan primer.

Dalam 11 kajian, ahli farmasi memberi pendidikan dan kaunseling kepada pesakit dengan penyakit kronik seperti asma dan diabetes. Ahli farmasi memberi maklumat kepada pesakit tentang cara menggunakan ubat mereka dengan betul dan tentang kemungkinan kesan sampingan ubat-ubatan, dan membantu mereka mengenal pasti dan menyelesaikan masalah dengan ubat-ubatan mereka. Mereka juga memberi pesakit maklumat mengenai penyakit dan nasihat tentang pengurusan diri dan kepentingan gaya hidup sihat. Pesakit yang diberi perkhidmatan ini dibandingkan dengan pesakit yang diberi perkhidmatan farmasi biasa tanpa pendidikan atau kaunseling.

Dalam satu kajian, ahli farmasi memberikan pendidikan kepada pengamal am (GP) mengenai penjagaan kanak-kanak dengan asma. GP ini dibandingkan dengan GP yang diberi perkhidmatan farmasi biasa.

Tiada kajian ditemui di mana perkhidmatan yang diberi oleh ahli farmasi dibandingkan dengan perkhidmatan yang diberikan oleh pekerja kesihatan lain.

Apa yang berlaku apabila ahli farmasi memberi perkhidmatan selain mendispens ubat?

Apabila ahli farmasi memberi pendidikan dan kaunseling kepada pesakit dengan penyakit kronik:

· Ppesakit mungkin mengalami peningkatan kecil dalam hasil kesihatan seperti tahap tekanan darah dan tahap glukosa (bukti berkualiti rendah)

· Pesakit mungkin kurang menggunakan perkhidmatan kesihatan (contohnya kurang kunjungan ke doktor, kurang tinggal di hospital) (bukti berkualiti rendah)

· Pesakit mungkin mengalami peningkatan kecil dalam kualiti hidup (bukti berkualiti sederhana)

· Kos ubat pesakit mungkin lebih rendah (bukti berkualiti rendah).

Apabila ahli farmasi memberi pendidikan dan kaunseling tentang penjagaan asma kepada doktor:

· Pesakit mereka mungkin mengalami kurang gejala asma (bukti berkualiti rendah).

Nota terjemahan

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@student.imu.edu.my.

Petikan
Pande S, Hiller JE, Nkansah N, Bero L. The effect of pharmacist-provided non-dispensing services on patient outcomes, health service utilisation and costs in low- and middle-income countries. Cochrane Database of Systematic Reviews 2022, Issue 4. Art. No.: CD010398. DOI: 10.1002/14651858.CD010398.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan