Ultrasound ialah teknologi elektronik yang menggunakan pantulan denyutan bunyi frekuensi tinggi untuk menghasilkan imej. Ultrasound boleh digunakan dalam pelbagai keadaan semasa hamil. Telah diandaikan bahawa penggunaan ultrasound secara rutin pada awal kehamilan akan menyebabkan pengesanan awal masalah dan pengurusan komplikasi kehamilan yang lebih baik jika dibandingkan dengan penggunaan ultrasound terpilih untuk tanda-tanda tertentu seperti selepas komplikasi klinikal (contoh pendarahan pada awal kehamilan), atau apabila terdapat kebimbangan mengenai pertumbuhan janin.
Fokus ulasan ini adalah ultrasound rutin awal kehamilan (sebelum 24 minggu). Kami sertakan 11 kajian rawak terkawal yang melibatkan 37,505 wanita. Ultrasound yang awal menambah baik pengesanan awal kehamilan berganda dan menambah baik penentuan tarikh kehamilan, yang boleh mengurangkan induksi untuk selepas matang. Pengesanan kecacatan janin telah diulas secara terperinci dalam hanya dua daripada kajian-kajian tersebut. Tiada bukti perbezaan yang ketara antara kumpulan yang disaring dan kumpulan kawalan untuk kematian perinatal. Keputusan tidak menunjukkan bahawa imbasan rutin mengurangkan kesan buruk untuk bayi atau menyebabkan kurang penggunaan perkhidmatan kesihatan oleh ibu dan bayi. Susulan jangka panjang untuk kanak-kanak yang terdedah kepada imbasan sebelum kelahiran tidak menunjukkan bahawa imbasan mempunyai kesan buruk terhadap perkembangan fizikal atau intelek kanak-kanak. Kajian telah dijalankan selama tiga dekad dan kemajuan teknikal dalam peralatan, penggunaan ultrasonografi yang lebih meluas, dan peningkatan latihan dan kepakaran pengendali mungkin telah menghasilkan sonografi yang lebih berkesan .
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Syed Amirfaiz (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Kuantan). Disunting oleh Khaw Loke Tim (IMU University).