Latar belakang
Pendarahan haid yag banyak dan kekejangan merupakan sebab paling lazim mengapa wanita berhenti menggunakan alat dalam rahim (IUD) sebagai kaedah mencegah kehamilan. Kami menyemak kajian-kajian untuk mengetahui sama ada ubat penahan sakit atau ubat-ubatan lain, mahupun kaedah-kaedah lain, dapat mengurangkan pendarahan dan kesakitan yang berkaitan dengan penggunaan IUD.
Ciri-ciri kajian
Bukti adalah terkini sehingga Januari 2021. Kami menyertakan kajian-kajian yang menyelidik rawatan atau pencegahan pendarahan haid yang banyak atau kesakitan yang berkaitan dengan penggunaan IUD. Rawatan tersebut boleh dibandingkan dengan ubatan lain, tanpa rawatan atau plasebo (ubat palsu).
Keputusan utama
Ulasan ini merangkumi 21 kajian yang melibatkan 3689 wanita. Sebelas kajian menyiasat rawatan, manakala 10 kajian meneliti pencegahan pendarahan yang banyak dan kesakitan. Kebanyakan bukti diperoleh daripada kajian-kajian tunggal yang melibatkan sebilangan kecil peserta. Kami mempunyai sedikit atau tiada keyakinan terhadap keputusan kajian-kajian tersebut. Keyakinan kami adalah terhad kerana sesetengah kajian hanya melibatkan sebilangan kecil peserta, mempunyai intervensi yang pelbagai, atau tidak memberikan laporan yang jelas mengenai bagaimana kajian dijalankan.
Rawatan pendarahan haid yang banyak
IUD kuprum
Vitamin B1 mungkin dapat mengurangkan tempoh pendarahan, bilangan hari berlakunya tompokan darah dan bilangan tuala wanita yang digunakan setiap hari. Asid mefenamik mungkin mengurangkan jumlah tetapi bukan tempoh pendarahan berbanding dengan asid traneksamik. Naproxen mungkin tidak mengurangkan jumlah pendarahan haid yang berkaitan dengan IUD kuprum.
IUD Levonorgestrel
Di kalangan pengguna IUD levonorgestrel, ulipristal mungkin tidak mengurangkan tempoh pendarahan.
Jenis IUD tidak diketahui
Dalam satu kajian yang melibatkan jenis IUD yang tidak diketahui, kami mendapati bahawa asid mefenamik mungkin tidak mengurangkan jumlah pendarahan haid.
Rawatan haid yang menyakitkan
IUD kuprum
Rawatan dengan asid traneksamik dan natrium diklofenak mungkin tidak mengurangkan kejadian haid yang menyakitkan yang berkaitan dengan IUD kuprum.
Jenis IUD tidak diketahui
Naproxen mungkin mengurangkan kesakitan yang berkaitan dengan jenis IUD yang tidak diketahui
Pencegahan pendarahan haid yang banyak
IUD kuprum
Asid tolfenamik mungkin mencegah pendarahan haid yang banyak, manakala ibuprofen memberikan sedikit hingga tiada perbezaan terhadap jumlah dan tempoh pendarahan haid apabila dibandingkan dengan plasebo. Berbanding parasetamol, aspirin mungkin tidak dapat mencegah berlakunya pendarahan haid yang banyak.
IUD Levonorgestrel
Kajian mengenai asid traneksamik, estradiol, naproxen dan mifepristone tidak dapat memberitahu kami sama ada ianya mencegah pendarahan haid yang banyak yang berkaitan dengan penggunaan IUD levonorgestrel.
Pencegahan haid yang menyakitkan
IUD kuprum
Asid tolfenamik dan ibuprofen mungkin tidak berkesan untuk mencegah haid yang menyakitkan berbanding dengan plasebo.
Kesimpulan pengarang
Pendarahan haid yang banyak di kalangan pengguna IUD kuprum boleh dirawat dengan vitamin B dan asid mefenamik, manakala asid traneksamik dan diklofenak mungkin tidak meredakan haid yang menyakitkan. Bagi pengguna IUD levonorgestrel, ulipristal mungkin tidak mengurangkan atau mencegah pendarahan haid yang banyak. Asid tolfenamik mungkin mencegah pendarahan haid yang banyak tetapi tidak dapat mengatasi kesakitan yang berkaitan dengan IUD levonorgestrel. Keyakinan kami terhadap bukti adalah rendah hingga sangat rendah. Lebih banyak kajian diperlukan pada masa hadapan untuk menghasilkan bukti yang lebih berkualiti mengenai ubat-ubatan yang berkesan untuk merawat dan mencegah pendarahan haid yang banyak serta haid yang menyakitkan yang berkaitan dengan penggunaan IUD. Bukti daripada kajian-kajian lanjut berkemungkinan mengubah keputusan kami.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Nadhirah Azizan (Universiti Sains Malaysia) Disunting oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick, UK).
Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.




