Langkau ke kandungan utama

Pemberian glukokortikoid peri-implantasi untuk kitaran teknologi pembiakan yang dibantu

Soalan ulasan

Ulasan ini menyiasat sama ada pemberian glukokortikoid pada masa implantasi embrio meningkatkan peluang kehamilan pada wanita yang menjalani persenyawaan luar rahim (IVF) atau suntikan sperma (ICSI) jika dibandingkan dengan tiada pemberian glukokortikoid. IVF dan ICSI adalah kedua-dua rawatan untuk membantu mencapai kehamilan.

Latar belakang

Glukokortikoid adalah kelas ubat yang serupa dengan hormon steroid yang dihasilkan dalam badan secara semula jadi. Ubat-ubatan ini mengurangkan keradangan dan menekan sistem imun badan. Glukokortikoid menyekat keradangan endometrium (tisu dalam rahim di mana embrio implan). Oleh itu, glukokortikoid telah dicadangkan untuk meningkatkan peluang implantasi embrio dan kehamilan pada wanita yang menjalani kitaran IVF atau ICSI.

Ciri-ciri kajian

Kami mendapati 16 kajian rawak terkawal (kajian-kajian di mana rawatan diputuskan secara rawak; ini biasanya memberikan bukti yang paling boleh dipercayai tentang kesan rawatan) membandingkan glukokortikoid sekitar masa implantasi embrio berbanding tiada glukokortikoid atau plasebo (rawatan ‘dummy’) dalam 2232 pasangan yang menjalani IVF/ ICSI. Bukti adalah terkini hingga 20 Disember 2021.

Keputusan utama

Memandangkan kualiti bukti, kami tidak pasti sama ada terdapat perbezaan dalam kadar kelahiran hidup selepas glukokortikoid. Bukti mencadangkan jika peluang kadar kelahiran hidup berikutan tiada glukokortikoid atau plasebo adalah 9%, maka peluang kadar kelahiran hidup berikutan pemberian glukokortikoid adalah antara 6% dan 21%. Kami juga tidak pasti sama ada terdapat perbezaan dalam kadar kehamilan berganda (lebih daripada satu embrio bagi setiap kehamilan). Berkenaan dengan kehamilan berterusan dan kadar kehamilan klinikal, kami juga tidak pasti sama ada terdapat perbezaan antara glukokortikoid berbanding tiada glukokortikoid atau plasebo. Bukti mencadangkan jika peluang kadar kelahiran hidup berikutan tiada glukokortikoid atau plasebo adalah 25%, maka peluang kadar kelahiran hidup berikutan pemberian glukokortikoid adalah antara 24% dan 32%. Kami juga tidak pasti sama ada terdapat perbezaan dalam kejadian luar biasa seperti kehamilan ektopik (kehamilan luar rahim), gejala rangsangan berlebihan pada ovari (sakit dan bengkak pada ovari dan perut), tetapi ini dilaporkan dengan lemah dan tidak konsisten.

Kualiti bukti

Bukti adalah berkualiti sangat rendah hingga rendah. Batasan utama adalah pelaporan kaedah kajian yang lemah dan kajian bersaiz kecil yang dimasukkan. Lebih banyak kajian adalah diperlukan untuk mengetahui kemungkinan peranan terapi ini dalam kumpulan pesakit yang jelas.

Nota terjemahan

Diterjemahkan oleh Hui Jen Chua (Taylor’s University). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Petikan
Boomsma CM, Kamath MS, Keay SD, Macklon NS. Peri-implantation glucocorticoid administration for assisted reproductive technology cycles. Cochrane Database of Systematic Reviews 2022, Issue 6. Art. No.: CD005996. DOI: 10.1002/14651858.CD005996.pub4.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan