Langkau ke kandungan utama

Senarai semak dan pasukan pakar untuk mengenali dan menguruskan pesakit di hospital

Apakah tujuan ulasan ini?

Orang dewasa di hospital yang menjadi tidak sihat perlu dikenalpasti dengan cepat oleh kakitangan klinikal sebagai perlukan bantuan. Salah satu cara untuk melakukan ini ialah dengan cara doktor dan jururawat yang bekerja di wad hospital menggunakan senarai semak tanda-tanda vital (contohnya tekanan darah, nadi) untuk membantu mereka mengenali tanda-tanda bahawa pesakit tersebut semakin teruk. Senarai semak ini kemudiannya digunakan untuk merujuk pesakit kepada pasukan pakar terdiri daripada doktor dan jururawat untuk penilaian pantas dan rawatan. Pengulas menjalankan ulasan ini untuk memahami sama ada menggunakan senarai semak dan merujuk kepada pasukan pakar mengurangkan bilangan kematian, kemasukan/kemasukan semula ke unit rawatan rapi (ICU) yang tidak terancang, tempoh berada di hospital dan jantung atau pernafasan terhenti berbanding dengan wad hospital tanpa sumber-sumber ini .

Mesej utama

Pengulas menemui bukti bahawa senarai semak untuk membantu doktor dan jururawat mengenali dan merujuk pesakit yang menjadi teruk lebih awal kepada pasukan pakar untuk pengurusan boleh mengakibatkan sedikit atau tiada perbezaan kepada bilangan kematian, kemasukan ICU yang tidak terancang, tempoh berada di hospital atau jantung terhenti di hospital.

Apakah yang telah pengulas kaji dalam ulasan ini?

Ulasan Cochrane ini membentangkan apa-apa yang pengulas ketahui daripada penyelidikan tentang kesan senarai semak hospital untuk membantu doktor dan jururawat mengenali dan merujuk pesakit di hospital yang semakin teruk kepada pasukan pakar untuk bantuan. Penyelidikan menunjukkan bahawa pesakit di wad hospital akut sering menunjukkan tanda dan gejala awal, seperti perubahan dalam pernafasan dan nadi, apabila keadaan mereka semakin teruk. Adalah difikirkan bahawa jika kakitangan hospital boleh mengenalpasti dan merujuk pesakit yang semakin teruk lebih awal kepada pasukan pakar yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang sesuai dalam penjagaan akut (rawatan yang aktif tetapi berjangka pendek), maka akan semakin kurang kematian, kemasukan ICU yang tidak terancang, jantung terhenti dan tempoh tinggal juga dikurangkan.

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Pengulas mengenalpasti 11 kajian. Secara keseluruhan, 666,131 peserta di 282 hospital dimasukkan daripada tujuh negara berpendapatan sederhana hingga tinggi. Pelaksanaan senarai semak untuk mengenali pesakit yang semakin merosot dan pasukan pakar untuk menilai dengan pantas dan merawat simptom yang sedia ada memberi sedikit atau tiada perbezaan kepada kematian, kemasukan ICU yang tidak terancang, tempoh berada di hospital, atau jantung dan pernafasan terhenti berbanding dengan wad atau hospital tanpa akses kepada senarai semak dan pasukan pakar. Tiada kajian yang melaporkan kadar kemasukan semula ke ICU.

Adakah ulasan ini muktahir?

Penulis ulasan mencari kajian yang diterbitkan sehingga Mei 2020.

Nota terjemahan

Diterjemahkan oleh Patricia Ponniah (Klinik Pergigian Seremban). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Petikan
McGaughey J, Fergusson DA, Van Bogaert P, Rose L. Early warning systems and rapid response systems for the prevention of patient deterioration on acute adult hospital wards. Cochrane Database of Systematic Reviews 2021, Issue 11. Art. No.: CD005529. DOI: 10.1002/14651858.CD005529.pub3.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan