Langkau ke kandungan utama

Antibiotik untuk merawat kes yang disyaki meningitis akibat jangkitan meningokokus sebelum pengesahan diagnosis

Soalan ulasan

Kami ingin tahu jika orang yang disyaki mempunyai keradangan membran yang meliputi otak dan saraf tunjang (meningitis) akibat jangkitan bakteria meningokokus harus diberi antibiotik sebelum diagnosis disahkan untuk mencegah kematian atau kecacatan. Kami menemui satu kajian yang relevan.

Latar belakang

Penyakit meningokokus adalah jangkitan bakteria yang tular dengan cepat dan boleh menyebabkan wabak penyakit otak dan darah yang parah. Jika tidak dirawat awal, ramai akan mati atau mendapat ketakupayaan kekal. Antibiotik amat berkesan jika diberi awal. Menunggu pengesahan diagnosis dengan ujian makmal akan mengakibatkan kelewatan memulakan antibiotik. Memberi antibiotik awal berdasarkan kesangsian klinikal (rawatan empirik) boleh mencegah kelewatan dalam memulakan rawatan serta kematian dan ketakupayaan. Walau bagaimanapun, tindakan tersebut boleh menyebabkan rawatan yang tidak perlu.

Ciri-ciri kajian

Kami mencari kajian-kajian yang membandingkan memberi dengan tidak memberi antibiotik empirik atau kajian yang membandingkan pelbagai antibiotik dalam kalangan mereka yang disyaki berpenyakit meningokokus. Kami mendapati satu kajian rawak yang membandingkan dos tunggal intramuskular dua jenis antibiotik bertindak lama. Bukti adalah yang terkini sehingga Januari 2017.

Kajian yang disertakan dijalankan di sembilan fasiliti penjagaan primer di Niger semasa wabak penyakit meningokokus pada 2003. Daripada 510 orang dewasa dan kanak-kanak yang dikaji, 251 menerima ceftriaxone dan 259 menerima kloramfenikol. Kajian dibiaya oleh Médecins sans Frontières.

Keputusan utama

Tiada perbezaan dalam bilangan kematian, tidak respon kepada rawatan, atau ketidakupayaan neurologi dengan kedua-dua antibiotik secara empirik. Keputusan adalah serupa di mana diagnosis disahkan kemudiannya. Kedua- dua antibiotik tidak mempunyai kesan buruk yang ketara.

Kualiti bukti

Walaupun kajian tersebut dijalankan dengan baik, kualiti keseluruhan bukti hanya sederhana untuk kematian dan kegagalan rawatan kerana ia tidak memasukkan kanak-kanak kurang dari dua bulan, wanita hamil, dan oranng yang sakit teruk. Kualiti bukti adalah lebih rendah untuk ketidakupayaan neurologi kerana tempoh susulan yang pendek.

Oleh kerana penyakit meningokokus mempunyai akibat yang serius, tidak memberi antibiotik secara empirik adalah tidak beretika. Walau bagaimanapun, penyelidikan masa hadapan yang membandingkan pengunaan antibiotik yang berbeza dalam kalangan pesakit dari semua peringkat umur dan keterukan penyakit diperlukan untuk menyediakan bukti boleh percaya di dalam pelbagai persekitaran klinikal.

Nota terjemahan

Diterjemah oleh Manisha Coran (RCSI-UCD Malaysian Campus). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi manisha@ms.pmc.edu.my

Petikan
Sudarsanam TD, Rupali P, Tharyan P, Abraham OC, Thomas K. Pre-admission antibiotics for suspected cases of meningococcal disease. Cochrane Database of Systematic Reviews 2017, Issue 6. Art. No.: CD005437. DOI: 10.1002/14651858.CD005437.pub4.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan