Langkau ke kandungan utama

Kemoterapi dan terapi sasaran paliatif (tanpa niat untuk penyembuhan) untuk kanser esofagus atau simpang gastroesofagus

Soalan ulasan

Ulasan ini bertujuan untuk menyiasat keberkesanan menambahkan sitostatik atau terapi sasaran kepada penjagaan sokongan bagi orang dengan kanser esofagus atau simpang gastroesofagus.

Latar belakang

Kanser esofagus adalah kanser kelapan yang paling lazim di dunia. Ramai orang didiagnosis hanya setelah penyakit tersebut telah merebak ke bahagian badan yang lain, apabila penyembuhan jarang berlaku. Orang-orang ini boleh dirawat dengan kemoterapi atau terapi sasaran (ubat yang ditujukan kepada komponen tumor yang tertentu) paliatif. Tujuan rawatan ini adalah untuk mengawal pertumbuhan tumor dan meningkatkan jangka hayat, tanpa mengurangkan kualiti hidup yang signifikan.

Ciri-ciri kajian

Kami mencari senarai rujukan, pangkalan data bioperubatan (Cochrane Central Register of Controlled Trials (CENTRAL), MEDLINE, Embase, Web of Science, PubMed Publisher, dan Google Scholar), dan daftar kajian sehingga 13 Mei 2015. Carian tambahan dijalankan pada September 2017 sebelum penerbitan, dan carian ini disenaraikan dalam bahagian ‘Kajian yang menunggu penilaian’.

Keputusan utama

Kami mengenal pasti 41 kajian rawak terkawal (RCTs) yang memenuhi kriteria penglibatan kami untuk dimasukkan ke dalam ulasan, serta 49 kajian yang masih berjalan. Ulasan dan metaanalisis ini menunjukkan bahawa orang yang menerima lebih banyak agen kemoterapi atau terapi sasaran hidup lebih lama dan dengan lebih sedikit perkembangan penyakit daripada orang yang menerima penjagaan sokongan terbaik atau lebih kurang terapi. Satu-satunya agen individu yang lebih daripada satu kajian mendapati meningkatkan jangka hayat adalah ramucirumab. Kami mendapati ketoksikan berkaitan rawatan yang teruk (gred 3 atau lebih) lebih kerap dalam lengan dengan kemoterapi atau agen terapi sasaran tambahan. Walau bagaimanapun, tiada bukti bahawa kemoterapi dan/atau terapi sasaran paliatif mengurangkan kualiti hidup. Metaanalisis kami menunjukkan kemoterapi dan terapi sasaran adalah rawatan paliatif yang berkesan untuk orang dengan kanser esofagus dan simpang gastroesofagus.

Kualiti bukti

Bukti bahawa lebih banyak agen kemoterapi atau terapi sasaran meningkatkan jangka hayat adalah berkualiti tinggi, begitu juga bukti bagi peningkatan jangka hayat berbanding penjagaan sokongan terbaik. Bukti untuk peningkatan kejadian ketoksikan berkaitan rawatan yang teruk adalah berkualiti sangat rendah, sementara bukti yang menunjukkan tiada penurunan kualiti hidup juga berkualiti rendah.

Nota terjemahan

Diterjemahkan oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Petikan
Janmaat VT, Steyerberg EW, van der Gaast A, Mathijssen RHJ, Bruno MJ, Peppelenbosch MP, Kuipers EJ, Spaander MCW. Palliative chemotherapy and targeted therapies for esophageal and gastroesophageal junction cancer. Cochrane Database of Systematic Reviews 2017, Issue 11. Art. No.: CD004063. DOI: 10.1002/14651858.CD004063.pub4.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan