Latar belakang
Inkontinens urinari stres adalah kehilangan air kencing semasa batuk, ketawa, bersin atau bersenam. Kerosakan pada otot yang menahan pundi kencing mungkin mengakibatkannya. Kira-kira satu pertiga wanita dewasa mungkin mengalami kebocoran kencing dan kira-kira satu pertiga daripadanya mungkin mengalami masalah yang cukup teruk sehingga memerlukan pembedahan. Sejumlah besar pendapatan wanita dan keluarga mereka boleh dibelanjakan untuk pengurusan inkontinens urinari stres.
Apabila kaedah bukan pembedahan, seperti senaman otot pada lantai pelvis (bahagian bawah abdomen) atau ubat-ubatan, tidak berkesan, pembedahan kadangkala digunakan untuk mengangkat dan menyokong leher pundi kencing untuk membantu menghentikan kebocoran kencing. Gantungan jarum melibatkan pengikatan jahitan antara faraj dan dinding abdomen.
Ciri kajian
Ulasan tersebut menemui 10 kajian, yang mengkaji 375 wanita yang menjalani enam jenis pembedahan gantungan jarum berbeza dan membandingkan mereka dengan 489 wanita yang telah menerima rawatan yang lain. Kebanyakan kajian adalah kecil atau berkualiti rendah, menyebabkan keputusan mereka kurang dipercayai.
Keputusan utama
Lebih banyak wanita sembuh selepas pembedahan abdomen seperti kolposuspensi (84%) berbanding dengan selepas gantungan jarum (71%): kedua-dua wanita yang telah dan tidak pernah menjalani pembedahan untuk inkontinens sebelum ini. Tidak terdapat bukti yang mencukupi tentang komplikasi, atau bagaimana gantungan jarum berbanding dengan pembedahan yang lain. Pembedahan gantungan jarum tidak dibandingkan dengan rawatan konservatif seperti senaman lantai pelvis atau ubat-ubatan. Secara ringkasnya, pembedahan gantungan jarum didapati kurang berkesan untuk inkontinens urinari berbanding dengan pembedahan abdomen, dan tidak mempunyai bukti yang mencukupi untuk membandingkannya dengan rawatan yang lain.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Kuan Pei Xuan (Institute for Clinical Research). Disunting oleh Khaw Loke Tim (IMU University).
Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.




