Langkau ke kandungan utama

Pemekat makanan untuk bayi sehingga enam bulan dengan refluks gastro-esofagus

Soalan ulasan

Kami mengulas bukti untuk kesan pemekat makanan terhadap refluks gastro-esofagus (GOR) dalam kalangan bayi sehingga enam bulan.

Latar belakang

Refluks gastro-esofagus adalah satu keadaan lazim dalam kalangan bayi. Ia berlaku apabila kandungan perut (susu dan asid) kembali ke kerongkong atau mulut. Walaupun keadaan ini biasanya bertambah baik apabila bayi lebih berusia, kadang-kadang ia boleh menjadi masalah dan rawatan mungkin diperlukan. Memekatkan susu adalah kaedah mudah yang biasa diguna untuk merawat GOR. Walau bagaimanapun, adalah tidak jelas jika menggunakan pemekat makanan dapat memperbaiki GOR.

Ciri-ciri kajian

Kami mengkaji penyelidikan yang diterbitkan sehingga 22 November 2016. Kami mendapati 8 kajian klinikal yang merekrut 637 bayi sehingga 6 bulan dengan gejala GOR. Bayi yang direkrut adalah kebanyakannya bayi 'sihat' (iaitu bayi yang lahir sekitar tiga minggu dari tarikh matang) yang menyusu botol. Tiga kajian dibiayai oleh sebuah syarikat farmaseutikal, oleh itu kualiti bukti yang dikemukakan mesti ditafsirkan dengan berhati-hati.

Keputusan utama

Kami mendapati bahawa bayi lahir cukup masa dengan GOR yang diberi pemekat makanan mempunyai dua kurang episod refluks setiap hari. Bayi dengan GOR juga 2.5 kali lebih mungkin tidak mempunyai gejala refluks jika pemekat makanan digunakan. Tiada kajian melaporkan maklumat tentang kegagalan untuk berkembang (iaitu pertumbuhan yang lemah). Kami mendapati bayi dengan GOR yang diberi pemekat makanan menunjukkan penambahbaikan dalam ukuran penting refluks asid yang diperolehi daripada kajian pH. Indeks refluks (iaitu peratus masa refluks berasid pH <4) adalah 5% lebih rendah dalam kalangan bayi yang diberi pemekat makanan. Tiada kemudaratan utama dilaporkan dalam lapan kajian tersebut.

Kualiti bukti

Disebabkan oleh batasan reka bentuk kajian, kami agak yakin dengan bukti untuk pengurangan dua episod refluks setiap hari. Oleh itu, pemekat makanan berguna dalam bayi lahir cukup masa yang diberi penyusuan botol dan mempunyai GOR yang menyusahkan.

Kami menilai kualiti bukti untuk hasil yang lain sebagai rendah kerana bilangan kajian yang kecil dengan bilangan bayi yang direkrut juga kecil. Kajian lanjut diperlukan untuk menentukan jenis pemekat makanan yang lebih baik dan sama ada pemekat makanan berguna untuk bayi dengan GOR yang menyusu susu badan atau lahir tidak cukup masa.

Nota terjemahan

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.

Petikan
Kwok TC, Ojha S, Dorling J. Feed thickener for infants up to six months of age with gastro-oesophageal reflux. Cochrane Database of Systematic Reviews 2017, Issue 12. Art. No.: CD003211. DOI: 10.1002/14651858.CD003211.pub2.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan