Langkau ke kandungan utama

Patutkah makrolida digunakan untuk asma kronik?

Perkara utama: bukti sedia ada mencadangkan faedah makrolida berbanding plasebo untuk mengurangkan eksaserbasi yang memerlukan kemasukan ke hospital dan eksaserbasi teruk (ditakrif sebagai eksaserbasi yang memerlukan lawatan/rawatan jabatan kecemasan dengan steroid sistemik). Kesan makrolida terhadap hasil klinikal lain yang relevan seperti skala simptom dan fungsi paru-paru masih tidak jelas.

Latar belakang

Asma adalah penyakit kronik yang mana keradangan laluan udara menyebabkan batuk, berbunyi ketika bernafas dan masalah pernafasan. Mungkin ada beberapa sebab untuk keradangannya dan mengapa ia berterusan, dan ini mungkin memerlukan pelbagai rawatan. Jangkitan paru-paru mungkin adalah satu penyebab, dan makrolida adalah sejenis antibiotik yang boleh diguna untuk jangkamasa panjang bagi membantu mengurangkan gejala dikalangan mereka.

Bagaimana kami menjawab soalan tersebut

Kami mencari kajian dalam kalangan dewasa dan kanak-kanak dengan asma yang diberi makrolida atau plasebo (rawatan pura-pura) untuk sekurang-kurangnya 4 minggu untuk melihat sama ada ia membantu memperbaik gejala dan mengurangkan serangan asma yang disebut ‘eksaserbasi’. Kami menjalankan carian terkini kajian-kajian dalam pada March 2021. Selepas mendapatkan semua kajian yang relevan, kami mengumpul maklumat tentang serangan asma yang memerlukan kemasukan hospital, serangan asma yang memerlukan rawatan dengan steroid oral, skor gejala, kawalan asma, kualiti hidup, beberapa ukuran fungsi paru-paru, keperluan ubat inhaler bantuan, kesan sampingan serius dan ukuran aktiviti asma dalam darah dan kahak.

Apa yang kami temui

Kami menemui 25 kajian termasuk dua yang terbaharu yang diterbitkan sejak carian terakhir dibuat pada 2015. Secara keseluruhan, hampir 2000 orang menerima sama ada makrolida atau plasebo. Terdapat banyak masalah dalam cara kajian-kajian tersebut dijelaskan dan cara data dilaporkan yang membuatkan kami menganggap bukti adalah berkualiti rendah dan melemahkan keyakinan kami dalam semua keputusan. Kajian-kajian agak berbeza di antara satu sama lain, misalnya keterukan asma, jenis makrolid yang diberi dan jangkamasa rawatan.

Ulasan kami menunjukkan makrolida adalah lebih baik berbanding plasebo dalam mengurangkan eksaserbasi dan mungkin bermanfaat kepada sesetengah orang dalam memperbaik gejala asma, kawalan asma, kualiti hidup asma dan beberapa ukuran fungsi paru-paru, tetapi berapa banyak manfaat dan untuk siapa adalah tidak pasti. Berdasarkan satu kajian yang dijalankan dengan baik, macrolida azithromycin mungkin bermanfaat untuk orang dengan asma yang teruk tetapi secara keseluruhan dapatan ulasan ini tidak menyokong penggunaan makrolida untuk semua jenis asma sebarang gred atau keterukan. Tiada laporan tentang kesan sampingan serius makrolida tetapi 16 kajian tidak melaporkan sama ada ianya berlaku.

Nota terjemahan

Diterjemah oleh Noorliza Mastura Ismail, (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Petikan
Undela K, Goldsmith L, Kew KM, Ferrara G. Macrolides versus placebo for chronic asthma. Cochrane Database of Systematic Reviews 2021, Issue 11. Art. No.: CD002997. DOI: 10.1002/14651858.CD002997.pub5.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan