Langkau ke kandungan utama

Memberikan maklumat kepada mangsa strok dan penjaga mereka

Apakah matlamat ulasan ini?

Kami mengulas bukti tentang kesan memberikan maklumat kepada orang selepas strok. Mereka ialah orang yang mengalami strok atau strok mini (serangan iskemia sementara (TIA)), atau penjaga mereka, seperti rakan dan keluarga. Kami terutamanya melihat kesan terhadap pengetahuan mereka tentang strok dan penjagaan strok, emosi dan kualiti hidup mereka.

Latar belakang

Strok adalah kehilangan fungsi otak secara tiba-tiba yang disebabkan oleh kekurangan bekalan darah. Strok boleh membawa kepada kematian atau masalah fizikal dan mental. Ia boleh memberi kesan besar terhadap kehidupan seseorang dan orang sekitar.

Mangsa strok dan penjaga mereka sering mengatakan bahawa mereka tidak diberi fakta yang mencukupi tentang strok. Mereka sering tidak berasa bersedia untuk hidup selepas meninggalkan hospital. Sesetengah orang mengatakan mereka berasa lemah. Maklumat itu tidak dijelaskan kepada mereka atau diberikan pada masa yang salah. Maklumat boleh membantu individu mengurus kesihatan mereka dengan lebih baik dan menyesuaikan diri dengan kehidupan selepas strok.

Kami ingin tahu sama ada lebih baik atau lebih teruk untuk memberikan maklumat tambahan. Kami juga ingin tahu sama ada cara maklumat diberikan adalah penting.

Ciri-ciri kajian

Kami menemui 33 kajian melibatkan 5255 mangsa strok dan 3134 penjaga. Dalam 11 kajian, maklumat diberikan secara pasif seperti risalah, DVD, sejarah perubatan atau buku kecil yang diperibadikan. Dalam 22 kajian, maklumat diberikan secara aktif, selalunya menggabungkan cara seperti ceramah, demonstrasi, mesyuarat dan panggilan telefon.

Keputusan utama

Bagi mangsa strok, pemberian maklumat secara aktif boleh meningkatkan pengetahuan tentang strok dan penjagaan strok. Ia mungkin sedikit mengurangkan kebimbangan dan kemurungan, tetapi mungkin tidak ketara. Ia juga boleh meningkatkan kualiti hidup. Bukti adalah kurang jelas untuk memberikan maklumat secara pasif. Namun, ia mungkin sedikit memburukkan kebimbangan dan kemurungan. Sekali lagi, bukti ini mungkin bukan jumlah yang ketara. Bagi penjaga bukti adalah sangat tidak pasti atau tiada.

Keyakinan terhadap bukti

Kami secara amnya mempunyai keyakinan yang rendah atau sangat rendah terhadap bukti. Kami sederhana yakin bahawa gejala kemurungan bagi mangsa strok berkurangan sedikit dengan pemberian maklumat secara aktif. Keyakinan kami sering dihadkan dengan faktor-faktor berikut.

• Orang dalam kajian tahu sama ada mereka memberi atau menerima lebih banyak maklumat daripada biasa. Ini mungkin menjejaskan apa yang mereka lakukan atau perasaan mereka.
• Terlalu sedikit orang yang telah dikaji.
• Keputusannya tidak tepat, jadi ia boleh menunjukkan sama ada manfaat atau bahaya.
• Keputusan kajian individu tidak bersetuju antara satu sama lain.

Sejauh manakah ulasan ini terkini?

Kami mencari kajian pada bulan Mei dan Jun 2019 serta mencari semula di satu sumber pada September 2020. Kajian-kajian diterbitkan antara 1987 dan 2019.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemahkan oleh Muhammad Amirul Iman bin Ahmad Rizal. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).

Petikan
Crocker TF, Brown L, Lam N, Wray F, Knapp P, Forster A. Information provision for stroke survivors and their carers. Cochrane Database of Systematic Reviews 2021, Issue 11. Art. No.: CD001919. DOI: 10.1002/14651858.CD001919.pub4.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan