Penajaan industri dan hasil penyelidikan

Hasil daripada kajian klinikal mengenai ubat dan peranti perubatan mempengaruhi cara doktor mengamalkan perubatan dan rawatan yang ditawarkan kepada pesakit. Walau bagaimanapun, penyelidikan klinikal semakin ditaja oleh syarikat yang menghasilkan produk tersebut, sama ada kerana syarikat menjalankan kajian secara langsung, atau membiayai kajian sepenuhnya atau sebahagian daripadanya. Penyelidikan terdahulu mendapati bahawa kajian tajaan industri farmaseutikal lebih cenderung memihak kepada ubat penaja berbanding kajian dengan sumber tajaan lain. Ini mencadangkan bahawa kajian tajaan industri mempunyai bias memihak kepada produk penaja.

Ulasan ini adalah kemas kini ulasan terdahulu ini yang melihat kepada penajaan kajian ubat dan peranti. Matlamat utama ulasan adalah untuk mengetahui sama ada keputusan yang diterbitkan dan kesimpulan keseluruhan kajian ubat dan peranti tajaan industri lebih berkemungkinan memihak kepada produk penaja, berbanding dengan kajian dengan sumber tajaan lain. Matlamat kedua adalah untuk mengetahui sama ada kajian tajaan industri tersebut menggunakan kaedah yang meningkatkan risiko bias, berbanding dengan kajian dengan sumber tajaan lain. Dalam ulasan yang dikemas kini, kami menjalankan carian menyeluruh bagi semua kajian empirikal yang berkaitan yang diterbitkan dari 2010 hingga Februari 2015 dan menyertakan 27 artikel baharu, menghasilkan sejumlah 75 artikel yang disertakan dalam ulasan kami.

Kajian ubat dan peranti tajaan industri lebih kerap mempunyai hasil keberkesanan yang memihak kepada produk penaja, (nisbah risiko (risk ratio) (RR)): 1.27, 95% selang keyakinan (confidence interval) (CI): 1.17 hingga 1.37), hasil kemudaratan yang serupa (RR: 1.37, 95% CI: 0.64 hingga 2.93) dan kesimpulan keseluruhan yang memihak kepada produk penaja (RR: 1.34, 95% CI: 1.19 hingga 1.51), berbanding dengan kajian ubat dan peranti bukan tajaan industri. Kami tidak menemui perbezaan antara kajian tajaan industri dan bukan industri berkenaan dengan faktor metodologi standard yang boleh meningkatkan risiko bias, kecuali untuk pembutaan (blinding): kajian tajaan industri melaporkan pembutaan yang memuaskan dengan lebih kerap berbanding kajian tajaan bukan industri. Dalam kajian tajaan industri, terdapat kurang persetujuan antara hasil kajian dan kesimpulan berbanding kajian tajaan bukan industri, RR: 0.83 (95% CI: 0.70 hingga 0.98). Kami tidak menemui perbezaan antara kajian ubat dan peranti dalam perkaitan antara penajaan dan kesimpulan. Analisis kami mencadangkan bahawa kajian ubat dan peranti tajaan industri lebih kerap memihak kepada produk penaja berbanding kajian ubat dan peranti bukan tajaan industri disebabkan oleh bias yang tidak dapat dijelaskan oleh alat penilaian 'risiko bias' standard.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Tang Kar Foong. Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information