Langkau ke kandungan utama

Bias penerbitan dalam kajian klinikal disebabkan oleh kepentingan statistik atau arah keputusan kajian

Kesahihan ulasan sistematik bergantung kepada kaedah yang digunakan untuk menjalankan ulasan. Jika terdapat bias sistematik, supaya kajian dengan penemuan yang signifikan secara statistik atau positif lebih berkemungkinan untuk diterbitkan dan disertakan dalam ulasan sistematik berbanding kajian dengan penemuan yang tidak signifikan, maka kesahihan kesimpulan ulasan boleh terancam.

Ulasan metodologi ini mengenal pasti lima kajian yang menyiasat sejauh manakah penerbitan kajian klinikal (seperti yang diluluskan oleh lembaga ulasan etika) dipengaruhi oleh kepentingan statistik atau hala tuju keputusan kajian. Kajian-kajian ini menunjukkan bahawa kajian dengan penemuan positif (ditakrifkan sama ada sebagai yang signifikan secara statistik (P <0.05), atau penemuan yang dianggap penting atau menarik, atau yang menunjukkan arah positif kesan rawatan), mempunyai hampir empat kali ganda kemungkinan untuk diterbitkan berbanding penemuan yang tidak statistik yang ketara (P ≥ 0.05), atau dianggap sebagai tidak penting, atau menunjukkan arah kesan rawatan yang negatif atau tiada. Ini sepadan dengan nisbah risiko 1.78 (95% CI 1.58 hingga 1.95), dengan mengandaikan bahawa 41% daripada kajian negatif telah diterbitkan. Dua kajian menemui bahawa kajian dengan penemuan positif juga cenderung untuk diterbitkan lebih cepat berbanding kajian dengan penemuan negatif . Saiz kajian (dinilai dalam tiga kajian) dan sumber dana, pangkat akademik dan jantina penyiasat utama (dinilai dalam satu kajian) nampaknya tidak mempengaruhi sama ada sesuatu kajian itu diterbitkan.

Keputusan ini memberikan sokongan untuk mewajibkan kajian klinikal didaftarkan sebelum merekrut peserta supaya pengarang ulasan mengetahui tentang semua kajian yang berpotensi layak, tanpa mengira penemuan mereka. Mereka yang menjalankan ulasan sistematik harus memastikan mereka menilai potensi masalah bias penerbitan dalam ulasan mereka dan mempertimbangkan kaedah untuk menangani isu ini dengan memastikan carian komprehensif untuk kedua-dua kajian diterbitkan dan tidak diterbitkan.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Syed Amirfaiz (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Kuantan). Disunting oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia).

Petikan
Hopewell S, Loudon K, Clarke MJ, Oxman AD, Dickersin K. Publication bias in clinical trials due to statistical significance or direction of trial results. Cochrane Database of Systematic Reviews 2009, Issue 1. Art. No.: MR000006. DOI: 10.1002/14651858.MR000006.pub3.