Mesej utama
-
Ubat pembekuan asid tranexamic (TXA) yang diberikan semasa kelahiran secara caesarean tidak dapat mencegah pendarahan yang teruk apabila kehilangan darah diukur dengan mengumpul darah dan menimbang span pembedahan, atau apabila pengamal perubatan menganggar jumlah kehilangan darah. Apabila kehilangan darah dikira dengan menggunakan kadar sel darah merah dalam darah sebelum dan selepas kelahiran secara caesarean, terdapat sedikit pengurangan dalam pendarahan teruk.
-
TXA mungkin tidak menunjukkan perbezaan dalam bilangan wanita yang memerlukan rawatan lanjut untuk mengawal pendarahan teruk.
-
kesan sampingan TXA adalah tidak pasti.
Apakah isunya?
Pendarahan teruk selepas kelahiran (pendarahan lepas bersalin) adalah komplikasi kelahiran yang biasa dan kadang kala mengancam nyawa. Kebanyakan wanita mengambil ubat yang merangsang rahim untuk mengecut (uterotonik) selepas kelahiran faraj atau caesarean untuk mengelakkan pendarahan lepas bersalin . Asid tranexamic (TA) adalah ubat yang digunakan untuk mengurangkan kehilangan darah dalam pembedahan dan masalah kesihatan yang berkaitan dengan perdarahan berlebihan. Ia berfungsi dengan membantu menghalang pemecahan pembekuan darah. Jika seseorang wanita mengalami pendarahan teruk selepas kelahiran, ia mengurangkan kehilangan darah. Kita tidak tahu sama ada TXA dapat membantu mencegah pendarahan teruk selepas kelahiran secara caesarean .
Apakah yang hendak kami ketahui?
Kami ingin mengetahui sekiranya sedikit wanita yang mengambil TXA pada masa pembedahan mengalami pendarahan teruk selepas pembedahan caesarean. Kami juga ingin mengetahui sama ada menerima TXA semasa pembedahan dikaitkan dengan sebarang kesan yang memudaratkan .
Apakah yang kami lakukan?
Kami telah mencari dan memilih semua kajian yang membincangkan persoalan ini. Kami menggunakan senarai semak untuk memastikan hanya kajian yang boleh dipercayai sahaja dimasukkan. Kami membuat penilaian tentang kualiti kajian sebelum membandingkan dan merumuskan keputusan kajian. Akhir sekali, kami menilai tahap keyakinan kami terhadap penemuan tersebut.
Mengapakah ini penting?
Kita perlu mengetahui sama ada TXA berkesan dalam mencegah pendarahan teruk selepas kelahiran dan diberikan kepada wanita semasa kelahiran secara caesarean. Jika TXA berkesan, ia boleh mengurangkan kehilangan pendarahan berlebihan, rawatan lanjut, dan mungkin komplikasi daripada pendarahan teruk dan kematian.
Apakah yang telah kami temui?
Kami telah mengenal pasti enam kajian dengan sejumlah 15,981 wanita yang mengkaji kesan pencegahan TXA. Kami mendapati bahawa TXA menghasilkan sedikit atau tiada perbezaan dalam pendarahan teruk selepas kelahiran apabila kehilangan darah diukur dengan pengumpulan darah dan penimbangan span pembedahan, atau apabila pengamal perubatan menganggarkan jumlah kehilangan darah, dibandingkan dengan plasebo (rawatan dummy). Apabila kehilangan darah dikira dengan menggunakan kadar sel darah merah dalam darah sebelum dan selepas kelahiran secara caesarean, terdapat sedikit pengurangan dalam pendarahan teruk dengan TXA. Kami sangat tidak pasti tentang kesan TXA terhadap kematian ibu, dan tiada bukti mengenai kesan TXA terhadap wanita yang mengalami penyakit serius.
Berkemungkinan TXA tidak mempunyai kesan ke atas keperluan untuk menerima pemindahan darah, dan tidak mempunyai perbezaan sama ada wanita memerlukan rawatan pembedahan lanjut. Kami sangat tidak pasti tentang kesan TXA pada pembekuan darah. TXA menghasilkan sedikit atau tiada perbezaan sama ada wanita memerlukan ubat tambahan untuk membantu pengecutan rahim, dan kami sangat tidak pasti tentang kesan TXA terhadap keperluan untuk membuang rahim melalui pembedahan . Oleh itu, tidak ada perbezaan antara kumpulan dalam kepuasan ibu, dan tiada bukti tentang kesan TXA terhadap penyusuan susu ibu.
Apakah batasan bukti?
Kebanyakan kajian melibatkan wanita yang berisiko rendah mengalami pendarahan teruk selepas kelahiran, menyukarkan sebarang kesimpulan tentang wanita yang risiko tinggi mengalami pendarahan teruk selepas kelahiran. Dalam kajian-kajian tersebut, hanya sebilangan kecil wanita yang mengalami kesan sampingan berbahaya; namun, kami tidak dapat memastikan bahawa ini juga berlaku dalam situasi dunia nyata.
Apakah maksud ini?
Kami mendapati tiada atau hanya sedikit perbezaan dalam jumlah wanita yang mengalami pendarahan teruk selepas bersalin setelah diberikan TXA secara pencegahan semasa pembedahan caesarean, dan kami sangat tidak pasti tentang kesan TXA terhadap kematian, pembekuan darah, dan pembuangan rahim secara pembedahan. Disebabkan terdapat kesan berbahaya, penyedia kesihatan harus mengambil kira manfaat dan potensi bahaya apabila mempertimbangkan rawatan rutin dengan TXA wanita semasa kelahiran secara caesarean.
Nampaknya tidak ada perbezaan dalam bilangan wanita yang memerlukan rawatan tambahan untuk pendarahan teruk selepas menerima TXA.
Memberikan TXA secara pencegahan kepada setiap wanita yang melahirkan melalui pembedahan caesarean adalah keputusan yang serius dengan banyak implikasi. Kami perlu menilai hasil kehilangan darah, serta kadar penyakit serius yang agak rendah selepas pendarahan lepas lahir dan ketidakpastian mengenai kesan sampingan yang serius.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini sehingga 20 Februari 2024.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Wilfred Mok Kok Hoe (Institut Kesihatan Negara). Disunting oleh Khaw Loke Tim (IMU University).