Apakah cara-cara berbeza pemeriksaan mata dijalankan dan cermin mata disediakan dalam komuniti dan klinik kesihatan di seluruh dunia?

Mesej utama

1. Jangkauan (pendekatan berasaskan komuniti untuk menyediakan penjagaan mata dalam pelbagai tetapan, yang selalunya bukan lokasi tetap), dan pendekatan penyampaian perkhidmatan berasaskan sekolah digunakan kebanyakannya untuk menyediakan penjagaan mata dalam komuniti, manakala pusat penglihatan digunakan kebanyakannya dalam penjagaan primer (penjagaan kesihatan barisan pertama).

2. Di Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) rantau Asia Tenggara, penjagaan mata paling kerap disampaikan menggunakan jangkauan dan pusat penglihatan, manakala di rantau Afrika, penyampaian berasaskan sekolah dan jangkauan adalah yang paling banyak dilaporkan. Di Amerika, jangkauan kebanyakannya digunakan.

3. Kami memerlukan lebih banyak maklumat dari WHO rantau wilayah Mediterranean Timur, dan kami memerlukan penyelidikan untuk menilai pendekatan mana yang paling berkesan.

Mengapakah penting untuk menyediakan ujian-ujian mata dan cermin mata?

Banyak masalah penglihatan mudah diselesaikan dengan memakai cermin mata. Walau bagaimanapun, berjuta-juta orang di seluruh dunia tidak mempunyai akses kepada ujian dan kemudahan yang mereka perlukan untuk mendapatkan cermin mata yang betul. Ini adalah masalah bagi ramai orang kerana perkhidmatan penjagaan mata mungkin mahal, atau terletak jauh. Penglihatan yang lemah boleh menjejaskan keupayaan kanak-kanak untuk belajar di sekolah, dan menyebabkan orang tidak dapat bekerja.

Kerajaan, perkhidmatan kesihatan, organisasi penjagaan mata, dan badan amal menggunakan pelbagai pendekatan untuk menyediakan perkhidmatan penjagaan mata kepada pelbagai golongan. Ini mungkin dengan membawa perkhidmatan kepada orang ramai dalam komuniti atau dengan menyediakan perkhidmatan penjagaan mata primer yang boleh diakses di kawasan setempat.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sedang berusaha memberikan nasihat kepada negara-negara untuk membantu mereka memperbaiki perkhidmatan penjagaan mata mereka. Langkah pertama adalah untuk memahami apakah perkhidmatan penjagaan mata yang tersedia di seluruh dunia, di mana ia beroperasi, dan bagaimana ia berfungsi. Maklumat ini membolehkan kami mengenal pasti jurang dalam bukti, melihat di mana penyelidikan masa depan perlu difokuskan, dan akan membantu dengan panduan WHO.

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari bukti mengenai cara-cara berbeza orang boleh mendapatkan ujian mata dan cermin mata dalam komuniti serta di pusat kesihatan tempatan atau klinik doktor (penjagaan primer) di mana-mana sahaja di dunia. Kami memerlukan sebanyak mungkin maklumat, jadi kami mengumpulkan bukti daripada kajian perubatan, dan juga daripada laporan tahunan dan laman web organisasi penjagaan mata. Kami mengumpulkan bukti mengikut cara-cara berbeza ujian mata dan cermin mata disediakan, dan kami menerangkan bagaimana dan di mana perkhidmatan tersebut diberikan.

Apakah yang kami temui?

Kami menemui 175 kajian, 146 rekod dari organisasi penjagaan mata dan 81 rekod dari laman web (sejumlah 402 sumber), yang melaporkan cara-cara perkhidmatan penjagaan mata disampaikan dalam komuniti atau dalam penjagaan primer. Kebanyakan perkhidmatan penjagaan mata merangkumi ujian mata, menilai keperluan untuk cermin mata, dan menyediakan cermin mata. Perkhidmatan ini terutamanya dijalankan oleh penyedia penjagaan mata dan kadang-kadang dengan orang lain, seperti jururawat, doktor dan guru.

Perkhidmatan penjagaan mata komuniti disediakan di tempat orang tinggal atau bekerja.

  • Sekolah (154 sumber): guru dilatih untuk memberikan ujian penglihatan di sekolah, atau pekerja penjagaan mata melawat sekolah untuk menjalankan ujian. Kadang-kadang sebuah van atau bas, yang dilengkapi sebagai pusat ujian mata, melawat sekolah. Cermin mata biasanya dipreskripsikan jika diperlukan, dan susulan atau rujukan untuk penjagaan mata lanjutan boleh diaturkan. Sekolah kadang-kadang bekerjasama dengan pusat penjagaan kesihatan komuniti atau primer untuk menyediakan perkhidmatan penjagaan mata.

  • Farmasi (3 sumber): farmasi komuniti menyediakan ujian penglihatan dan cermin mata.

  • Jangkauan (157 sumber): penyedia penjagaan mata pergi ke dalam komuniti untuk memberikan penjagaan, contohnya di tempat kerja atau di rumah. Perkhidmatan jangkauan tidak berada di tempat tetap tetapi mungkin berada di sesuatu tempat untuk tempoh yang singkat. Mereka sering melawat kawasan yang sangat terpencil. Mereka mungkin menawarkan ujian mata dan cermin mata percuma.

Dalam penjagaan primer, pesakit melawat lokasi tetap untuk menerima perkhidmatan penjagaan mata.

  • Pusat penglihatan (53 sumber) adalah klinik penjagaan mata yang dikendalikan oleh pekerja penjagaan mata terlatih. Mereka menjalankan ujian dan menyediakan cermin mata. Pesakit biasanya membayar untuk cermin mata, tetapi mereka mungkin mendapat baucar untuk membantu dengan kos tersebut.

  • Pusat kesihatan (16 sumber) adalah kemudahan penjagaan kesihatan tetapi bukan klinik penjagaan mata. Mereka biasanya menyediakan ujian mata dan cermin mata.

  • Pusat penglihatan dan kesihatan serta penghantaran pintu ke pintu (11 sumber): gabungan perkhidmatan yang disediakan oleh pusat penglihatan dan kesihatan dan lawatan ke rumah.

Di WHO rantau Asia Tenggara, pendekatan jangkauan dan pusat penglihatan adalah yang paling biasa. Di WHO rantau Afrika, pendekatan berasaskan sekolah dan jangkauan adalah yang paling banyak dilaporkan. Di WHO rantau Amerika, pendekatan jangkauan paling banyak digunakan.

Apakah had bukti tersebut?

Kami menemui sangat sedikit laporan mengenai bagaimana perkhidmatan penjagaan mata disampaikan di WHO rantau Mediterranean Timur, jadi gambaran kami tentang perkhidmatan di sana adalah terhad. Terdapat maklumat yang terhad mengenai keberkesanan kaedah penyampaian tersebut, jadi lebih banyak penyelidikan diperlukan mengenai perkara ini.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti dikemas kini sehingga November 2022.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemahkan oleh Leong Siew Lian (Monash University Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia)

Tools
Information