Latar belakang
Jangkitan akut saluran pernafasan atas (URTI) ialah penyakit berjangkit akut yang paling biasa di kalangan kanak-kanak, terutama di kalangan kanak-kanak prasekolah. Vitamin A mempunyai peranan positif dalam sistem imun dan boleh meningkatkan pertahanan perumah terhadap jangkitan. Kajian menunjukkan bahawa kanak-kanak yang kekurangan vitamin lebih berkemungkinan mengalami jangkitan saluran pernafasan. Oleh itu, kami menilai peranan suplemen vitamin A dalam pencegahan jangkitan akut saluran pernafasan atas di kalangan kanak-kanak prasekolah (sehingga umur tujuh tahun).
Soalan ulasan
Apakah peranan suplemen vitamin A dalam pencegahan URTI akut di kalangan kanak-kanak prasekolah (sehingga umur tujuh tahun), dibandingkan dengan tanpa suplemen?
Tarikh pencarian
Kami mencari bukti sehingga 8 Jun 2023.
Ciri-ciri kajian
Semua kajian yang disertakan telah dijalankan di negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana (dua di India, dua di Afrika Selatan, satu di Ecuador, dan satu di Haiti). Tiga kajian melibatkan kanak-kanak sihat yang tidak mempunyai kekurangan vitamin A, satu kajian melibatkan kanak-kanak yang dilahirkan oleh wanita yang dijangkiti HIV, satu kajian melibatkan neonat dengan berat lahir yang rendah, dan satu kajian melibatkan kanak-kanak di kawasan yang lebih cenderung mengalami kekurangan zat makanan dan kekeringan mata. Dalam dua kajian, vitamin E ialah rawatan bersama yang diberikan sebagai tambahan kepada vitamin A.
Keputusan utama
Kami menyertakan enam kajian yang melibatkan 27,351 peserta. Kami mempunyai keyakinan yang sangat rendah hingga rendah terhadap bukti yang diberikan oleh kajian.
Lima kajian melaporkan bilangan URTI akut dalam satu tempoh masa. Kajian yang disertakan berbeza dari segi populasi dan keputusannya dibentangkan dalam pelbagai bentuk, jadi kami hanya boleh menggabungkan tiga kajian bersama (analisa-meta). Kami tidak pasti jika suplemen vitamin A mengurangkan bilangan URTI akut sepanjang tempoh dua minggu (tiga kajian, 22,668 peserta). Dua kajian melaporkan kadar peserta dengan URTI akut. Kesan suplemen vitamin A terhadap kadar peserta dengan URTI akut adalah tidak pasti (dua kajian, 15,535 peserta). Hanya satu kajian sahaja (116 peserta) melaporkan kejadian buruk dan tiada yang berlaku pada bayi dalam kumpulan plasebo atau kumpulan vitamin A.
Dua kajian (296 peserta) melaporkan keterukan gejala subjektif, yang ditunjukkan menggunakan purata tempoh URTI akut. Vitamin A mungkin mempunyai sedikit hingga tiada kesan terhadap tempoh purata URTI akut.
Kesimpulan penulis
Daripada bukti yang mana kami mempunyai keyakinan yang sangat rendah hingga rendah, kami menemui bahawa mungkin tiada manfaat dalam menggunakan suplemen vitamin A untuk mencegah URTI akut di kalangan kanak-kanak berumur sehingga tujuh tahun. Kajian berkualiti tinggi yang menumpukan kepada kanak-kanak prasekolah yang kekurangan vitamin A diperlukan untuk mengetahui jika suplemen vitamin A mungkin berkesan.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemahkan oleh Muhammad Amirul Iman bin Ahmad Rizal. Disunting oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick, UK).