Apakah faedah dan risiko ubat berbeza yang digunakan untuk merawat pening postural-perseptual berterusan (PPPD)?

Mesej utama

Kami tidak mengenal pasti sebarang kajian yang menilai penggunaan ubat untuk merawat pening postural-perseptual berterusan (PPPD).

Kerja lanjut diperlukan dalam bidang ini untuk membantu menentukan sama ada terdapat sebarang rawatan yang mungkin berkesan untuk merawat penyakit ini, selain memeriksa sama ada ianya menyebabkan sebarang kesan yang tidak diingini atau berbahaya.

Apakah itu PPPD?

PPPD singkatan kepada pening postural-perseptual berterusan. Pesakit yang menghidap PPPD mempunyai gejala pening ataupun ketidakstabilan, yang diburukkan apabila pesakit berdiri atau bergerak, atau oleh rangsangan visual yang pelbagai (daripada corak yang rumit atau imej bergerak yang berkecamuk).

Bagaimanakah PPPD dirawat?

Kadang-kadang pesakit boleh mengambil ubat untuk cuba melegakan gejala PPPD mereka. Ini termasuk ubat-ubatan yang dikenali sebagai ‘perencat pengambil semula serotonin terpilih’ ['selective serotonin reuptake inhibitors' (SSRIs)] dan ‘perencat pengambil semula serotonin dan norepinephrine’ ['serotonin and norepinephrine reuptake inhibitors' (SNRIs)]. Rawatan lain juga boleh digunakan, misalnya sejenis fisioterapi yang dikenali sebagai rawatan pemulihan vestibular, atau terapi percakapan.

Apakah yang ingin kami cari?

Kami ingin mencari:

- sama ada terdapat bukti bahawa ubatan (SSRI dan SNRI) membantu mengurangkan gejala PPPD;

- sama ada rawatan tersebut mungkin menyebabkan sebarang kemudaratan.

Apakah yang telah kami lakukan?

Kami mencari kajian yang membandingkan SSRI dan SNRI sama ada tanpa rawatan atau rawatan plasebo (dummy).

Apa yang telah kami temui?

Kami tidak menemui sebarang kajian yang menilai penggunaan ubat-ubatan ini untuk PPPD. Oleh itu, kami tidak tahu sama ada SSRI dan SNRI berkesan untuk merawat PPPD, atau sama ada ianya boleh menyebabkan sebarang kemudaratan.

Apakah batasan bukti?

Penyelidikan lanjut diperlukan untuk mengenal pasti sama ada ubat-ubatan ini berguna dalam rawatan PPPD.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini setakat November 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nathanael Lee Yong Sheng (Hospital Seberang Jaya). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my). Untuk sebarang pertanyaan yang berkaitan dengan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information