Adakah pekatan antibodi diambil daripada individu yang telah pulih daripada COVID-19 atau haiwan merupakan rawatan yang berkesan untuk penghidap COVID-19?

Mesej utama

Kami tidak tahu sama ada immunoglobulin hiperimum (persediaan yang diperbuat daripada antibodi orang yang telah pulih daripada COVID-19) mengurangkan kematian atau kesan serius yang tidak diingini dalam orang yang mengalami COVID-19 sederhana hingga teruk. Tetapi suatu persediaan serupa yang dibuat secara menyuntik haiwan dengan antibodi tertentu mungkin boleh mengurangkan kematian, dan kesan serius yang tidak diingini dan mungkin menghalang keadaan orang menjadi lebih teruk.

Kami tidak menemui kajian yang menyelidik orang yang menghidap COVID-19 tetapi tanpa simptom atau orang yang menghidapi COVID-19 yang ringan, jadi kami tidak mengetahui keberkesanan immunoglobulin hiperimum manusia atau haiwan untuk mereka.

Kami menemui 10 kajian yang sedang berlangsung. Kami akan mengemaskini ulasan ini apabila keputusan kajian mereka tersedia.

Apakah imunoglobulin hiperimun?

Tubuh menghasilkan antibodi sebagai salah satu pertahanannya terhadap jangkitan. Antibodi, atau ‘immunoglobulin’, dijumpai dalam plasma darah. Mereka bertindak sebagai bahagian kritikal tindak balas imum.

Plasma daripada orang yang telah pulih daripada COVID-19 mengandungi antibodi COVID-19, dan boleh digunakan untuk membuat dua persediaan. Pertama sekali, ia boleh digunakan untuk membuat plasma pemulihan, iaitu plasma yang mengandungi antibodi ini. Kedua, ia boleh digunakan untuk membuat immunoglobulin hipermun yang lebih pekat, dan sebab itu mengandungi lebih banyak antibodi. Proses pembuatan immunoglobulin hiperimun adalah kompleks dan memerlukan himpunan besar plasma manusia.

Antibodi yang serupa boleh dihasilkan daripada sumber haiwan dan digunakan pada manusia.

Mengapa imunoglobulin hiperimun merupakan rawatan yang sesuai untuk COVID-19?

Produk imunoglobulin hiperimun ada kandungan tinggi antibodi yang menyasarkan SARS-COV-2, virus yang menyebabkan COVID-19. Produk tersebut dianggap menyahaktifkan zarah virus.

Apa yang kami ingin ketahui?

Kami ingin ketahui sama ada imunoglobulin hiperimun merupakan rawatan yang efektif dan membantu orang yang disyaki atau disahkan COVID-19 dalam sebarang keadaan (contohnya, rumah atau hospital).

Kami berminat dengan:

• kematian akibat sebarang sebab sehingga 30 hari selepas rawatan, 60 hari, atau lebih lama jika dilaporkan;

• simptom yang bertambah baik atau bertambah buruk;

• kualiti hidup;

• kesan yang tidak diingini.

Apa yang kami lakukan?

Kami mencari kajian yang menyelidik imunoglobulin hiperimun dan penjagaan biasa berbanding penjagaan biasa sahaja, atau sebagai tambahan kepada ubat tiruan yang tidak mengandungi sebarang bahan aktif (plasebo).

Untuk membuat perbandingan yang adil, semua pesakit dalam kajian mesti mempunyai peluang rawak yang sama (seperti melambung syiling) untuk menerima immunoglobulin hiperimun atau rawatan lain. Kajian boleh melibatkan orang daripada mana-mana usia, jantina, atau etnik.

Kami membandingkan dan merumuskan keputusan kajian. Kami menggunakan kaedah piawai untuk menilai keyakinan kami terhadap bukti. Keyakinan itu berdasarkan ciri kajian seperti bagaimana ia direka dan bilangan orang di dalamnya.

Apa yang kami dapati?

Kami menemui lima kajian dengan 957 orang. Kajian berlaku di Pakistan, India, Perancis dan Argentina, dan satu kajian dijalankan di beberapa negara, termasuk Denmark, Greece, Jepun, Nigeria, Sepanyol, UK dan Amerika Syarikat. Kajian-kajian itu berlaku sebelum atau semasa kemunculan beberapa varian COVID-19 baharu dan sebelum pelancaran vaksin yang meluas. Semua peserta dalam empat kajian tidak divaksin. Dalam satu kajian, 12 daripada 579 peserta telah diberi vaksin.

Kami juga menemui 10 kajian yang sedang dijalankan.

Keputusan utama

Semua kajian membandingkan imunoglobulin hiperimun daripada sumber manusia atau haiwan dengan penjagaan biasa atau plasebo. Kajian itu hanya sertakan orang yang dimasukkan ke hospital dengan penyakit sederhana hingga teruk. Tiada kajian melihat orang tanpa gejala COVID-19 atau COVID-19 ringan. Tiada kajian yang melaporkan kualiti hidup.

Kami tidak pasti sama ada imunoglobulin hiperimun yang disediakan daripada manusia menjejaskan risiko kematian akibat sebarang sebab sehingga 28 hari selepas rawatan. Ia mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan ke atas penambahbaikkan atau kemerosotan gejala sehingga 28 hari selepas rawatan. Kami tidak pasti tentang kemungkinan perbezaan dalam kesan yang tidak diingini atau serius yang tidak diingini. Kajian individu memutuskan peristiwa yang mana untuk diklasifikasikan sebagai kesan tidak diingini yang serius, tetapi ini biasanya bermaksud sesuatu yang boleh menyebabkan kemasukan ke hospital atau kemudaratan kekal.

Imunoglobulin hiperimun daripada haiwan boleh mengurangkan kematian sehingga 28 hari selepas rawatan, boleh mengurangkan gejala yang semakin teruk, boleh memperbaiki keadaan pesakit dan mungkin mengurangkan kejadian serius yang tidak diingini.

Apakah batasan bukti?

Kami tidak pasti sama ada imunoglobulin hiperimun adalah rawatan yang berkesan untuk orang yang dimasukkan ke hospital dengan COVID-19, dan sama ada ia menjejaskan bilangan kesan yang tidak diingini atau serius yang tidak diingini kerana kajian itu kecil dan tidak semuanya memberikan bukti tentang semua tempat menarik kami. Kajian dijalankan terutamanya pada orang dari negara kaya, sebelum pelancaran vaksin COVID-19 secara meluas dan kemunculan varian omicron, jadi hasilnya mungkin tidak terpakai kepada orang yang mempunyai jangkitan varian omicron, atau orang yang telah diberi vaksin sebelum jatuh sakit.

Tiada bukti untuk orang tanpa gejala atau dengan COVID-19 ringan.

Sejauh mana bukti ini terkini?

Bukti ini adalah terkini sehingga 31 Mac 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wan Rosalina Wan Rosli (Cybermed). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information