Aktiviti pernafasan spontan dalam kegagalan paru-paru berkaitan COVID-19

Adakah pernafasan spontan awal bermanfaat dalam rawatan kegagalan paru-paru pada individu dengan COVID-19?

Orang yang mempunyai COVID-19 yang teruk boleh mengalami kegagalan paru-paru, yang dikenali sebagai sindrom sukar bernafas akut (ARDS). Ini memerlukan ventilasi mekanikal invasif melalui tiub pernafasan. Adalah mungkin untuk membolehkan pernafasan, yang dicetuskan oleh pesakit (dipanggil pernafasan spontan), semasa menggunkan ventilator. Walau bagaimanapun, tidak jelas sama ada ini bermanfaat untuk individu sedemikian, terutamanya dalam fasa awal ventilasi.

Mesej utama

Pengulas tidak menemui bukti jika pernafasan spontan bermanfaat dalam rawatan kegagalan paru-paru akibat COVID-19.

Apakah kelebihan pernafasan spontan awal dalam ARDS?

Kelebihan pernafasan spontan semasa ventilasi mekanikal adalah pergerakan terpelihara diafragma (otot utama untuk bernafas yang terletak di bawah paru-paru). Ia membawa kepada pengedaran lebih baik bagi udara yang disedut, terutamanya dalam alveoli pulmonari (kantung udara kecil di dalam paru-paru) berhampiran dengan diafragma. Secara umum, prosedur ventilasi dengan kemungkinan pernafasan spontan memerlukan dos sedatif yang lebih rendah (yang memperlahankan aktiviti otak). Oleh kerana ini boleh menyebabkan tekanan darah rendah, ia juga boleh mengurangkan pemberian ubat kardiovaskular.

Bolehkah pernafasan spontan awal menjadi berbahaya dalam rawatan ARDS?

Semasa pernafasan spontan di bawah ventilasi mekanikal, peningkatan tekanan yang berubah-ubah dalam paru-paru mungkin berlaku. Peningkatan perbezaan tekanan dalam paru-paru adalah punca utama kecederaan berkaitan dengan ventilator bagi paru-paru.

Apakah alternatif kepada penggunaan pernafasan spontan awal?

Pernafasan spontan mungkin disekat oleh peningkatan sedasi atau sekatan pada saraf yang pergi ke otot yang membolehkan pernafasan berlaku oleh ubat-ubatan (dipanggil sekatan neuromuskular). Kelebihan pernafasan berasaskan ventilator yang lengkap adalah penggunaan oksigen yang lebih rendah oleh otot dan pengurangan risiko kecederaan paru-paru yang disebabkan oleh diri sendiri.

Apakah yang pengulas ingin tahu?

Pengulas ingin menilai faedah dan kemudaratan aktiviti pernafasan spontan awal pada penghidap COVID-19 dengan ARDS yang diventilasi berbanding strategi ventilasi yang mengelakkan pernafasan spontan.

Apakah yang pengulas lakukan?

Pengulas mencari kajian yang membandingkan pernafasan spontan awal semasa ventilasi mekanikal invasif dengan ventilasi invasif mandatori dan sekatan neuromuskular pada penghidap ARDS yang berkaitan dengan COVID-19. Pesakit boleh terdiri daripada sebarang umur, jantina atau etnik.

Apakah yang pengulas temui?

Selepas carian sistematik, pengulas mendapati tiada rekod yang memenuhi kriteria serta.

Hasil-hasil utama

Pengulas mengenal pasti yang tiada kajian layak untuk ulasan ini.

Apakah batasan bukti tersebut?

Sehingga kini, tiada kajian yang membandingkan pernafasan spontan awal semasa ventilasi mekanikal invasif dengan ventilasi invasif mandatori tanpa pernafasan spontan pada penghidap ARDS yang berkaitan dengan COVID-19.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti ini adalah terkini sehingga 2 Mac 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Patricia Ponniah (Klinik Pergigian Seremban). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information