Penyahmampatan pembedahan untuk orang yang mengalami bengkak otak yang teruk selepas strok

Soalan ulasan

Apakah kesan penyahmampatan pembedahan terhadap kematian atau hilang upaya pada orang yang mengalami bengkak otak selepas strok?

Latar belakang

Kebanyakan strok disebabkan oleh penyumbatan saluran darah ke otak (strok iskemia), yang merupakan punca utama kematian dan hilang upaya di seluruh dunia. Penyumbatan ini menghalang darah pembawa oksigen daripada membekalkan otak, dan sebahagian daripada otak yang dibekalkan oleh saluran ini akan mula mati (infarct). Dalam tempoh 24 hingga 48 jam berikutnya, otak yang rosak mula bengkak. Kadangkala bengkak boleh menjadi sangat dramatik, menyebabkan peningkatan tekanan di dalam tengkorak yang boleh menyebabkan otak di sekeliling terjejas dan segera menyebabkan kematian.

Penyahmampatan pembedahan boleh membantu melegakan tekanan dengan mencipta lubang yang cukup besar pada lapisan tengkorak dan tisu di sekeliling otak yang terjejas (craniectomy decompressive). Kajian terbaru mencadangkan bahawa penggunaan awal rawatan ini selepas strok besar boleh mencegah kematian atau hilang upaya bagi mangsa yang terselamat. Bukti awal hanya mengkaji penggunaan teknik ini pada pesakit yang lebih muda; namun, kajian yang lebih baru telah mula menangani penggunaannya pada pesakit yang lebih tua. Kami ingin mengetahui sama ada penggunaan penyahmampatan pembedahan adalah lebih baik atau lebih teruk daripada pengurusan perubatan standard sahaja pada orang yang mengalami strok yang besar.

Ciri-ciri kajian

Pada Julai 2022, kami mencari penulisan untuk kajian rawak terkawal (sejenis kajian di mana peserta diberikan secara rawak kepada salah satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan) yang membandingkan hasil untuk pesakit strok yang dirawat dengan penyahmampatan pembedahan awal berbanding dengan mereka yang dirawat tanpa pembedahan. Kami menemui sembilan kajian dengan sejumlah 526 peserta, di mana 13 peserta tidak dimasukkan dalam analisis akhir kerana mereka sama ada hilang untuk susulan atau tidak mengikut arahan kajian. Oleh itu kami mempertimbangkan 248 peserta yang menerima penyahmampatan pembedahan awal dan 265 peserta yang menerima rawatan perubatan sahaja selepas strok mereka. Kajian biasanya memilih orang yang mengalami strok teruk dengan kecacatan yang ketara yang tidak mempunyai sebarang penyakit teruk atau hilang upaya sebelum ini. Dua kajian merekrut pesakit sehingga 80 tahun, dan satu kajian hanya memasukkan pesakit yang berumur 60 tahun keatas. Enam kajian merawat pesakit dalam masa 48 jam apabila strok mereka pertama kali diperhatikan.

Keputusan utama

Penyahmampatan pembedahan menambahbaik hasil pada orang dengan strok besar jika dibandingkan dengan rawatan perubatan sahaja. Kumpulan penyahmampatan pembedahan mempunyai peluang kematian yang berkurangan dengan ketara dan kadar kematian yang berkurangan atau hilang upaya yang teruk berbanding kumpulan yang menerima rawatan perubatan sahaja. Menggunakan istilah yang lebih merangkumi 'hilang upaya sederhana', kami menemui terdapat juga penurunan kadar kematian atau hilang upaya sederhana dalam kumpulan pembedahan berbanding kumpulan yang menerima rawatan perubatan sahaja. Tiada perbezaan antara kumpulan dalam nisbah mangsa yang terselamat dengan hilang upaya yang teruk; namun, terdapat sedikit tahap ketidakpastian sekitar keputusan ini.

Kemudaratan pembedahan, atau sebarang intervensi termasuk pengurusan perubatan, tidak dilaporkan secara konsisten merentasi kajian yang dimasukkan, oleh itu kami tidak dapat membuat kesimpulan yang bermakna tentang potensi mudarat. Apabila peserta dikategorikan mengikut umur 60 tahun ke atas atau ke bawah, keputusan menunjukkan bahawa pesakit yang lebih tua secara amnya mempunyai prognosis yang lebih buruk daripada yang lebih muda, walaupun peserta yang berumur melebihi 60 tahun juga mendapat manfaat daripada pembedahan penyahmampatan.

Kualiti bukti

Kualiti keseluruhan bukti dalam ulasan ini adalah tinggi, oleh itu kami mempunyai tahap keyakinan yang tinggi terhadap penemuan utama ulasan ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Gurmeet Albail Singh. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information