Adakah kortikosteroid (ubat anti-radang) yang diberikan secara oral atau melalui suntikan merupakan rawatan yang berkesan untuk pesakit COVID-19?

Mesej utama

• Kortikosteroid (ubat anti-radang) yang diberikan secara oral atau melalui suntikan (sistemik) dinilai untuk rawatan penyakit coronavirus 2019 (COVID-19).

• Kortikosteroid berkesan dalam mengurangkan sedikit kematian.

• Kami tidak tahu sama ada jenis atau dos kortikosteroid yang tertentu adalah berkesan.

• Tiada data untuk orang yang tidak dimasukkan ke hospital.

• Kami menemui 42 kajian yang sedang berjalan dan 23 yang telah selesai tetapi belum diterbitkan keputusannya atau maklumat berkaitan tentang reka bentuk kajian, jadi penemuan kami mungkin berubah pada masa hadapan.

Apa itu kortikosteroid?

Kortikosteroid ialah ubat anti-radang yang mengurangkan kemerahan dan bengkak yang timbul akibat kerosakan (cth kecederaan, kerengsaan) pada badan. Kortikosteroid juga mengurangkan aktiviti sistem imun badan, yang melindungi badan daripada penyakit dan jangkitan. Kortikosteroid digunakan untuk merawat pelbagai keadaan, seperti lelah, ekzema, ketegangan sendi, dan arthritis rheumatoid. Kortikosteroid sistemik boleh ditelan atau diambil sebagai suntikan untuk merawat masalah pada mana-mana bahagian badan. Pengambilan jangka pendek dos yang tinggi boleh meningkatkan risiko jangkitan selanjutnya (termasuk jangkitan kulat) serta gula darah dan tekanan darah tinggi. Tambahan pula, ia boleh menyebabkan badan bengkak dan kesan sampingan psikiatri seperti psikosis steroid dan delirium.

Mengapa kortikosteroid berkemungkinan menjadi rawatan untuk COVID-19?

COVID-19 memberi kesan pada paru-paru dan saluran pernafasan. Apabila sistem imun melawan virus, paru-paru dan saluran pernafasan tercedera dan meradang, menyebabkan kesukaran bernafas, dan menghalang pengangkutan oksigen ke organ penting yang lain. Sistem imun badan sebilangan pesakit bertindak balas secara berlebihan terhadap virus yang menyerang seterusnya menyebabkan keradangan dan kerosakan tisu seluruh badan; kortikosteroid mungkin membantu mengawal tindakbalas ini.

Kami ingin tahu:

• sama ada dan dos mana kortikosteroid sistemik adalah rawatan yang berkesan untuk pesakit COVID-19;

• sama ada ia menyebabkan kesan yang tidak diingini; dan

• sama ada faedah dan bahayanya berbeza dari aspek berkaitan ekuiti (cth umur, jantina, etnik, pendapatan mengikut negara).

Kami berminat dengan:

• kematian akibat sebarang sebab sehingga 30 dan 120 hari selepas rawatan bermula;

• sama ada pesakit menjadi lebih baik atau lebih teruk selepas rawatan;

• kesan yang tidak diingini, contohnya jangkitan daripada hospital.

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari kajian yang menyiasat kegunaan kortikosteroid sistemik untuk pesakit COVID-19. Pesakit boleh terdiri daripada sebarang umur, jantina, atau etnik.

Kajian boleh membandingkan kortikosteroid:

• ditambah dengan penjagaan biasa berbanding penjagaan biasa dengan atau tanpa plasebo (ubat palsu);
• berbanding jenis kortikosteroid lain;
• berbanding ubat yang berbeza;
• dalam dos yang berbeza;
• diberikan sebagai rawatan awal berbanding lewat.

Kami membuat perbandingan dan rumusan keputusan kajian tersebut serta menilai tahap keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apa yang kami temui?

Kami menemui 16 kajian dengan 9549 orang. Kira-kira 4532 orang menerima kortikosteroid, kebanyakannya dexamethasone (3766 orang). Kajian ini menyertakan peserta yang kebanyakannya berumur lebih daripada 50 tahun, lelaki, dan daripada negara berpendapatan tinggi.

Kami juga menemui 42 kajian yang sedang berjalan dan 23 kajian yang telah selesai belum diterbitkan keputusannya atau maklumat berkaitan tentang reka bentuk kajian.

Keputusan utama

Sebelas kajian membandingkan kortikosteroid ditambah dengan penjagaan biasa berbanding dengan penjagaan biasa dengan atau tanpa plasebo. Hanya satu kajian membandingkan dua jenis kortikosteroid. Empat kajian membandingkan dos berbeza kortikosteroid bernama dexamethasone. Kajian-kajian hanya melibatkan pesakit di hospital yang disahkan atau disyaki menghidapi COVID-19. Tiada kajian yang melihat pada pesakit yang tidak dirawat di hospital atau masa rawatan yang berbeza.

Kortikosteroid sistemik serta penjagaan biasa berbanding dengan penjagaan biasa dengan atau tanpa plasebo:

• mungkin mengurangkan sedikit jumlah kematian akibat sebarang sebab, sehingga 30 hari selepas rawatan;

• mungkin meningkatkan sedikit peluang untuk discaj hidup dari hospital dan mungkin mengurangkan sedikit risiko memerlukan bantuan pernafasan atau kematian;

• kami tidak tahu sama ada kortikosteroid meningkatkan atau mengurangkan jumlah kematian akibat sebarang sebab sehingga 120 hari selepas rawatan, sebarang kesan yang tidak diingini, atau jangkitan daripada hospital.

Methylprednisolone berbanding dexamethasone:

Bukti untuk jumlah kematian sehingga 30 hari adalah sangat tidak pasti (satu kajian kecil sahaja).

Dexamethasone dos tinggi (12 mg atau lebih tinggi) berbanding dexamethasone dos rendah (6 mg hingga 8 mg)

Dexamethasone dos tinggi:

• mungkin mengurangkan sedikit bilangan kematian akibat sebarang sebab, sehingga 30 hari selepas rawatan;
• mungkin memberi sedikit atau tiada perbezaan pada peluang untuk discaj hidup dari hospital;
• kami tidak tahu sama ada dexamethasone meningkatkan atau mengurangkan jumlah kematian akibat sebarang sebab sehingga 120 hari selepas rawatan, sebarang kesan yang tidak diingini, atau jangkitan daripada hospital.

Analisis subkumpulan berkaitan ekuiti

Kami meneliti aspek berkaitan ekuiti seperti berikut: etnik (Hitam, Asia atau lain-lain berbanding Putih berbanding tidak diketahui) dan tempat kediaman (negara berpendapatan tinggi berbanding berpendapatan rendah dan sederhana). Bagi kebanyakan subkumpulan, kecuali umur dan etnik, tiada bukti perbezaan dapat dikenalpasti. Untuk kematian akibat sebarang sebab sehingga 30 hari, peserta yang berumur kurang dari 70 tahun nampaknya mendapat manfaat daripada kortikosteroid berbanding peserta yang berumur 70 tahun ke atas. Tambahan pula, beberapa peserta daripada kumpulan etnik Hitam, Asia, atau minoriti mempunyai kesan anggaran yang lebih besar daripada kebanyakan peserta Putih, tetapi keputusan subkumpulan ini memerlukan tafsiran yang berhati-hati.

Apakah batasan bukti?

Kami agak yakin pada bukti tentang kesan kortikosteroid terhadap kematian akibat sebarang sebab dalam tempoh 30 hari selepas rawatan. Namun, keyakinan kami terhadap bukti lain adalah rendah hingga sangat rendah, kerana kajian tidak menggunakan kaedah kajian yang paling kukuh, dan cara keputusannya diukur dan dilaporkan berbeza antara kajian.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Ulasan ini mengemaskini ulasan kami yang terdahulu. Bukti adalah terkini sehingga 6 Januari 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Patricia Ponniah (Klinik Pergigian Seremban). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information