Bolehkah program penjagaan harian kanak-kanak di bawah umur 6 tahun di negara berpendapatan rendah hingga sederhana dapat mengurangkan risiko lemas?

Mesej utama

Program penjagaan harian dengan ciri tambahan seperti pendidikan berasaskan komuniti, pendidikan ibu bapa, dan kandang main yang diberi kepada ibu bapa di luar fasiliti penjagaan harian mungkin mengurangkan risiko kematian akibat lemas dalam kalangan kanak-kanak di bawah 6 tahun yang tinggal di kawasan di mana sebilangan besar kanak-kanak lemas setiap tahun.

Mengapa kami membuat Ulasan Cochrane ini?

Kanak-kanak yang tinggal di kawasan luar bandar berhampiran air terbuka berisiko lemas, terutama jika mereka tidak hadir ke sekolah atau dibiarkan tanpa pengawasan. Pengawasan kanak-kanak disyorkan untuk mencegah kemalangan lemas, dan penjagaan harian yang teratur di pusat luar rumah dapat membantu.

Kami ingin tahu jika program penjagaan harian kanak-kanak di bawah 6 tahun di negara berpendapatan rendah hingga sederhana dapat membantu mengurangkan bilangan kemalangan lemas (maut dan tidak membawa maut).

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari kajian-kajian yang melihat kesan program penjagaan harian terhadap kemalangan lemas dalam kalangan kanak-kanak di bawah umur 6 tahun. Program pendidikanjagaan harian boleh merangkumi ciri-ciri seperti aktiviti pendidikan yang bertujuan mencegah kecederaan atau lemas dan aktiviti perkembangan awal kanak-kanak.

Adakah ulasan ini mutakhir?

Kami menyertakan bukti yang diterbitkan sehingga 18 Ogos 2020.

Apa yang kami temui?

Kami menemui 2 kajian yang melibatkan 252,631 kanak-kanak dan berlangsung di luar bandar Bangladesh.

Satu kajian berlangsung selama 4 tahun 8 bulan. Kajian ini menilai kesan program penjagaan harian yang menggabungkan pendidikan ibu bapa, kandang main yang diberi kepada ibu bapa, dan pendidikan komuniti berbanding dengan kesan-kesan tiada program penjagaan harian.

Kajian yang satu lagi berlangsung selama 3 tahun 4 bulan. Kesan program penjagaan harian sahaja dan kesan gabungan program penjagaan harian dengan kandang main yang diberi kepada ibu bapa, masing-masing dibanding dengan kesan hanya kandang main yang diberi kepada ibu bapa.

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Berbanding dengan tiada program penjagaan harian, program penjagaan harian kanak-kanak di bawah umur 6 tahun yang digabung dengan pendidikan ibu bapa, kandang main untuk ibu bapa, dan pendidikan masyarakat, mungkin mengurangkan risiko kematian akibat lemas (bukti daripada 1 kajian dalam 136,577 kanak-kanak). Bagi setiap 100,000 kanak-kanak di bawah 6 tahun yang tidak mengikuti program penjagaan harian, 77 kanak-kanak mungkin mati akibat lemas, berbanding 14 kanak-kanak yang mengikuti program penjagaan harian.

Penyediaan program penjagaan harian dengan aktiviti tambahan lebih murah daripada kos setiap tahun akibat penyakit, kecacatan, atau kematian awal akibat lemas (bukti daripada 1 kajian melibatkan 136,577 kanak-kanak).

Kami tidak pasti tentang kesan program penjagaan harian jika dibanding dengan kandang main yang diberi kepada ibu bapa, dan kami tidak pasti tentang kesan program penjagaan harian yang digabung dengan kandang main untuk ibu bapa apabila dibanding dengan kandang main sahaja.

Kedua-dua kajian tidak melaporkan keputusan tentang kemalangan lemas yang tidak membawa maut, pendedahan air yang tidak selamat, keselamatan program, atau kecederaan kemalangan lain.

Batasan bukti

Keputusan ini adalah daripada dua kajian pemerhatian, yang mana penyelidik memerhatikan kesan satu faktor (seperti program penjagaan harian) tanpa cuba mengubah siapa yang, atau tidak mengalaminya. Bukti daripada kajian pemerhatian tidaklah begitu boleh percaya seperti bukti daripada kajian rawak terkawal, yang mana program yang diterima ditentukan secara rawak.

Kami sederhana yakin tentang kesan program penjagaan harian (dengan ciri tambahan) terhadap risiko kematian akibat lemas dalam kalangan kanak-kanak di bawah umur 6 tahun. Penyelidikan lanjut mungkin meningkatkan keyakinan kami terhadap keputusan-keputusan ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Muhammad Amirul Iman bin Ahmad Rizal (PPM). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information