Adakah antibodi monoklonal buatan makmal yang khusus COVID-19 berkesan dalam pencegahan COVID-19 dalam kalangan pesakit dewasa?

Mesej utama

Profilaksis pra-pendedahan COVID-19:

– tixagevimab/cilgavimab mungkin mengurangkan bilangan orang yang dijangkiti COVID-19 dan perkembangan gejala COVID-19, dan boleh mengurangkan bilangan orang yang dimasukkan ke hospital;

– casirivimab/imdevimab boleh mengurangkan bilangan orang yang dijangkiti COVID-19 dan perkembangan gejala COVID-19, dan boleh meningkatkan sedikit bilangan kesan yang tidak diingini (sebarang keterukan).

Profilaksis selepas pendedahan COVID-19:

– bamlanivimab mungkin mengurangkan bilangan orang yang dijangkiti COVID-19;

– casirivimab/imdevimab mengurangkan bilangan orang yang dijangkiti COVID-19 dan perkembangan gejala COVID-19, serta mengurangkan bilangan kesan yang tidak diingini (sebarang keterukan).

Apakah antibodi 'monoklonal'?

Badan membuat antibodi untuk mempertahankan diri daripada penyakit. Walau bagaimanapun, antibodi juga boleh dihasilkan di makmal berasaskan sel-sel yang diambil daripada pesakit yang telah sembuh daripada suatu penyakit.

Antibodi yang menyasarkan hanya satu protein tertentu – dalam kes ini, protein pada virus SARS-CoV-2 (yang menyebabkan COVID-19) – adalah 'monoklonal'. Mereka melekat pada virus dan menghalangnya daripada memasuki dan mereplikasi dalam sel manusia untuk mencegah dan melawan jangkitan. Ia adalah relevan untuk orang yang tidak bertindak balas atau bertindak balas buruk terhadap vaksinasi.

Apa yang kami ingin ketahui?

Kami ingin tahu sama ada antibodi monoklonal khusus COVID-19 berkesan untuk mencegah COVID-19 pada orang yang terdedah kepada virus atau berisiko tinggi terdedah kepada virus. Kami melihat:

– jangkitan COVID-19 yang disahkan;

– perkembangan gejala COVID-19;

– kematian akibat sebarang sebab;

– kemasukan ke hospital;

– kualiti hidup;

– kesan yang tidak diingini, seperti jangkitan dan gangguan jantung;

– kesan serius yang tidak diingini, seperti mengancam nyawa, dimasukkan ke hospital, hilang upaya, atau kematian.

Apa yang kami buat?

Kami mencari kajian yang membandingkan antibodi monoklonal (cth bamlanivimab, tixagevimab/cilgavimab dan casirivimab/imdevimab) dengan plasebo (rawatan palsu), rawatan lain, atau tiada rawatan untuk mencegah COVID-19 pada orang dengan sebarang umur, jantina, atau etnik.

Kami merumuskan data dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apa yang kami dapati?

Empat kajian termasuk 9749 orang; dua orang yang disiasat sebelum terdedah kepada SARS-CoV-2 (profilaksis pra-pendedahan) dan dua orang yang disiasat yang bersentuhan dengan orang yang dijangkiti (profilaksis selepas pendedahan). Kajian telah dijalankan sebelum kemunculan varian Omicron dan sebelum atau semasa pelancaran vaksin secara meluas. Peserta tidak diberi vaksin pada peringkat awal.

Profilaksis pra-pendedahan

Satu kajian (5197 orang) membandingkan tixagevimab/cilgavimab dengan plasebo. Peserta telah didedahkan kepada varian jenis liar, Alpha, Beta, dan Delta.

Tixagevimab/cilgavimab:

– mengurangkan perkembangan gejala;

– mungkin mengurangkan bilangan orang yang dijangkiti;

– boleh mengurangkan bilangan kemasukan ke hospital;

– mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan ke atas kematian daripada sebarang sebab, kesan yang tidak diingini (sebarang keterukan), dan kesan tidak diingini yang serius.

Kami tidak menemui data untuk kualiti hidup, atau kesan tidak diingini yang ringan dan teruk.

Satu kajian (969 orang) membandingkan casirivimab/imdevimab dengan plasebo. Peserta mungkin telah terdedah kepada varian jenis liar, Alpha, dan Delta.

Casirivimab/imdevimab:

– boleh mengurangkan bilangan orang yang dijangkiti dan perkembangan gejala;

– tidak mengakibatkan kematian;

– boleh meningkatkan sedikit kesan tidak diingini (sebarang keterukan);

– kami tidak pasti sama ada casirivimab/imdevimab mungkin mempunyai kesan pada kesan tidak diingini yang teruk dan serius.

Kami tidak menemui data untuk bilangan orang yang mempunyai COVID-19 dalam tempoh 30 hari, perkembangan gejala dalam tempoh 30 hari, kemasukan ke hospital dalam tempoh 30 hari, kualiti hidup, dan kesan ringan yang tidak diingini.

Profilaksis selepas pendedahan (dua kajian)

Satu kajian (966 orang) membandingkan bamlanivimab dengan plasebo. Peserta mungkin telah terdedah kepada varian jenis liar.

Bamlanivimab:

– mungkin mengurangkan bilangan orang yang dijangkiti;

– mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan pada kematian daripada sebarang sebab;

– boleh meningkatkan sedikit kesan tidak diingini (sebarang keterukan) dan kesan serius tidak diingini.

Kami tidak menemui data untuk bilangan orang yang mengalami gejala, kemasukan ke hospital, kualiti hidup, kesan tidak diingini ringan, dan teruk.

Satu kajian (2617 orang) membandingkan casirivimab/imdevimab dengan plasebo. Peserta mungkin telah terdedah kepada varian jenis liar, Alpha, dan berpotensi, tetapi tidak mungkin varian Delta.

Casirivimab/imdevimab:

– mengurangkan bilangan orang yang dijangkiti, perkembangan gejala, dan kesan tidak diingini (sebarang keterukan);

– boleh mengurangkan sedikit kesan tidak diingini yang teruk;

– mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan pada kematian, kemasukan ke hospital, dan kesan tidak diingini yang serius.

Kami tidak menemui data untuk kualiti hidup dan kesan ringan yang tidak diingini.

Apakah batasan bukti?

Satu kajian melaporkan setiap perbandingan. Semua peserta tidak diberi vaksin pada permulaan kajian, yang dijalankan sebelum berlakunya Omicron. Keyakinan kami terhadap bukti adalah tinggi hingga sangat rendah. Walaupun kami mempunyai keyakinan tinggi terhadap bukti yang ditemui untuk hasil yang berkaitan, penemuan itu tidak boleh dipindahkan kepada orang yang diberi vaksin dan varian yang berlaku di luar tempoh kajian, seperti Omicron. Walaupun kajian makmal menunjukkan bahawa tixagevimab/cilgavimab berkesan terhadap Omicron, tiada data daripada kajian klinikal. Antibodi monoklonal lain yang dimasukkan dalam kajian ini tidak berkesan terhadap Omicron dalam kajian makmal.

Empat kajian yang sedang berlangsung mungkin mengubah kesimpulan kami dan mungkin membantu kami memahami cara varian baharu dan vaksin COVID-19 mempengaruhi keberkesanan antibodi monoklonal dalam mencegah COVID-19.

Sejauh mana bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga 27 April 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nathanael Lee Yong Sheng (Hospital Seberang Jaya). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information