Mesej utama
• Kami tidak menemui kualiti bukti yang mencukupi mengenai benzoyl peroksida, antibiotik topikal, dan retinoid topikal untuk merawat jerawat. Kami mendapati bahawa ulasan sistematik yang disertakan hanya memberikan sejumlah kecil bukti mengenai ubat-ubatan penting secara klinikal ini untuk kita ringkaskan.
• Penyelidikan masa depan harus memberi tumpuan kepada kawasan yang penting bagi pesakit, para penyelidik, dan pembuat keputusan, seperti ubat baru untuk rawatan jerawat, antibiotik topikal dan retinoid, dan komplikasi jerawat, termasuk parut dan tekanan psikologi.
Apakah itu jerawat dan komplikasinya?
Jerawat adalah penyakit kulit keradangan biasa yang berlaku di semua peringkat umur, tetapi terutamanya berlaku pada orang muda. Orang dengan jerawat mengalami bintik hitam, bintik putih, atau jerawat. Ia terutamanya muncul di muka, tetapi juga boleh muncul di belakang dan dada. Komplikasi utama jerawat adalah parut jerawat yang bertahan lama. Satu lagi adalah tekanan psikologi. Sesetengah orang dengan jerawat menghargai imej diri mereka dan jerawat boleh menjejaskan mood mereka, menyebabkan kegelisahan, kemurungan, dan juga bunuh diri.
Apakah yang ingin kami ketahui?
Kami ingin mengetahui sama ada terapi topikal (ubat dalam bentuk krim, busa, gel, losyen, atau salap yang diletakkan pada permukaan kulit), terapi cahaya (kaedah rawatan menggunakan warna cahaya yang berbeza untuk menyinari kawasan lesi kulit (rosak), dan terapi komplementari (terapi tambahan selain ubat konvensional, seperti akupunktur, pemakanan, dan ubat herba) mempunyai kesan dengan mengurangkan jumlah lesi, menambahbaik keterukan jerawat seperti yang dinilai oleh peserta dan penyiasat, meningkatkan kualiti hidup, dan mengurangkan kejadian buruk yang serius atau kurang serius (tidak diingini atau memudaratkan).
Apakah yang telah kami lakukan?
Kami mencari ulasan sistematik yang melihat kepada intervensi topikal, berasaskan cahaya, dan komplementari untuk parut jerawat dan jerawat. Kami meringkaskan keputusan ulasan sistematik dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apakah yang telah kami temui?
Gambaran keseluruhan ini merangkumi enam ulasan sistematik, yang melibatkan 40,910 orang dengan jerawat dari 275 kajian dan 1316 orang dengan parut jerawat dari 37 kajian. Umur peserta berkisar antara 10 hingga 59 tahun, dengan usia purata antara 18 hingga 30 tahun. Empat ulasan menyertakan kajian asal yang melibatkan hanya peserta wanita dan tiga ulasan disertakan kajian asal dengan peserta lelaki sahaja.
Kami tidak tahu sama ada benzoyl peroksida, jika dibandingkan dengan plasebo atau tiada rawatan, mempunyai kesan pada jumlah lesi, keterukan jerawat seperti yang dinilai oleh peserta dan penyiasat, atau kadar kejadian buruk yang kurang serius. Untuk perbandingan antara benzoyl peroksida dan plasebo atau tiada rawatan, kami tidak menemui ulasan untuk membantu kami menjawab soalan mengenai kejadian buruk yang serius atau kualiti hidup.
Kami tidak tahu sama ada benzoyl peroksida, jika berbanding dengan adapalene (retinoid topikal: salah satu ubat yang paling biasa untuk merawat jerawat), mempunyai kesan pada jumlah lesi dan kejadian buruk yang kurang serius. Benzoyl peroksida mungkin tidak banyak membezakan keterukan jerawat seperti yang dinilai oleh peserta (1123 orang dalam empat kajian) atau penyiasat (1965 orang dalam tiga kajian) jika berbanding dengan adapalene. Untuk perbandingan antara benzoyl peroksida dan adapalene, kami tidak menemui ulasan untuk membantu kami menjawab soalan mengenai kejadian buruk yang serius atau kualiti hidup.
Tidak jelas jika benzoyl peroksida, berbanding dengan clindamycin (antibiotik topikal: ubat yang membunuh bakteria dan kulat, atau menghentikan bakteria tumbuh), mempunyai kesan pada jumlah lesi atau penilaian penyiasat mengenai keterukan jerawat. Berbanding dengan clindamycin, benzoyl peroksida mungkin tidak banyak membezakan penilaian diri peserta terhadap keterukan jerawat (240 orang dalam satu kajian) atau kadar kejadian buruk yang kurang serius (2842 orang dalam lima kajian). Untuk perbandingan antara benzoyl peroksida dan clindamycin, kami tidak menemui ulasan untuk membantu kami menjawab soalan mengenai kejadian buruk yang serius atau kualiti hidup.
Kami tidak menemui ulasan untuk membantu kami menjawab soalan untuk perbandingan berikut: antibiotik topikal berbanding dengan plasebo atau tiada rawatan, retinoid topikal berbanding dengan plasebo atau tiada rawatan, dan retinoid topikal berbanding dengan antibiotik topikal.
Apakah batasan bukti?
Kami mempunyai sedikit atau sangat sedikit keyakinan terhadap penemuan kami, dan keeputusan penyelidikan lebih lanjut dapat mengubah keputusan gambaran keseluruhan ini.
Faktor utama yang mengurangkan keyakinan kita terhadap bukti adalah seperti berikut. Pertama sekali, mungkin orang dalam kajian mengetahui rawatan yang mereka diberikan. Kedua, bukan semua kajian memberikan data tentang semua perkara yang mereka minati. Ketiga, tidak ada kajian yang mencukupi untuk memastikan hasil yang kita lihat. Akhirnya, kajian dilakukan pada pelbagai jenis orang atau menggunakan cara yang berbeza untuk menyampaikan rawatan.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini sehingga Disember 2021.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Kuala Lumpur). Disunting oleh Khaw Loke Tim (IMU University).