Apakah manfaat dan mudarat pembedahan 'penyelamatan-kesuburan' bagi merawat neoplasia trofoblas gestasi risiko rendah yang belum menular ke bahagian lain badan?

Mesej utama

• Kami sangat tidak pasti tentang manfaat dan mudarat pembedahan yang tidak mempengaruhi kesuburan (intervensi surgikal 'penyelamatan kesuburan'), dengan atau tanpa kemoterapi, untuk neoplasia trofoblas gestasi risiko rendah yang belum menular ke bahagian lain badan ('bukan metastatik').

• Kajian lebih besar dengan reka bentuk yang baik diperlukan untuk menentukan manfaat dan mudarat pembedahan penyelamatan kesuburan’ bagi wanita dengan neoplasia trofoblas gestasi risiko rendah bukan metastatik

Apakah neoplasia trofoblas gestasi?

Neoplasia trofoblas gestasi (GTN) adalah kanser yang jarang terjadi, boleh terbentuk dalam rahim selepas hamil, terutama dalam kehamilan molar (di mana terdapat masalah dengan telur yang disenyawa, bermakna bayi dan plasenta tidak terbentuk mengikut cara yang sepatutnya). Ia boleh mengakibatkan perdarahan abnormal atau paras hormon abnormal yang tinggi. Rawatan biasanya melibatkan kemoterapi atau pembedahan, atau kedua-duanya, bergantung pada keparahan kanser tersebut. Kemoterapi adalah rawatan standard untuk pesakit dengan neoplasia trofoblas gestasi risiko rendah bukan metastatik (LR-NMGTN), tetapi rawatan ini boleh menjejaskan keupayaan wanita untuk hamil. Intervensi surgikal ‘penyelamatan kesuburan' boleh diguna sebagai alternatif dalam LR-NMGTN yang ingin mempertahankan kesuburan mereka. Rawatan pembedahan penyelamatan kesuburan dalam kalangan LR-NMGTN dapat mengelak kesan sampingan rawatan kemoterapi .

Apakah yang kami ingin tahu?

Kami ingin tahu bagaimana intervensi surgikal penyelamatan kesuburan mempengaruhi kadar kejayaan rawatan, masa remisi, relaps, kematian akibat penyakit, kematian akibat rawatan, kadar kehamilan, kualiti hidup, bilangan kitaran kemoterapi, sebarang peristiwa buruk dan keperluan kecemasan pembuangan rahim.

Apa yang kami lakukan?

Kami mencari kajian-kajian yang menyiasat keberkesanan intervensi surgikal penyelamatan kesuburan berbanding kemoterapi (perbandingan 1), atau gabungan intervensi surgikal penyelamatan kesuburan dan kemoterapi berbanding kemoterapi sahaja (perbandingan 2), dan sama ada intervensi surgikal menyebabkan sebarang kesan tidak diingini dalam kalangan wanita dengan LR-NMGTN. Kami membandingkan dan merumus keputusan-keputusan kajian, dan menilai keyakinan terhadap kepastian bukti.

Apakah yang kami temui?

Kami temui dua kajian melibatkan 62 orang untuk perbandingan 1 dan 89 orang untuk perbandingan 2. Intervensi surgikal penyelamatan kesuburan yang diguna dalam kedua-dua kajian adalah kuretaj rahim, di mana sel-sel abnormal dikikis dari lapisan rahim dengan mengguna alat seperti sudu.

Keputusan utama

Untuk perbandingan 1, kajian tunggal yang menilai intervensi surgikal penyelamatan kesuburan berbanding kemoterapi tidak melaporkan hasil yang diminati: kadar kejayaan rawatan, relaps, kematian akibat penyakit, kematian akibat rawatan , kadar kehamilan atau kualiti hidup, atau sebarang kesan sampingan (iaitu kesan tidak diingini atau memudaratkan).

Perbandingan 2 dinilai dalam satu kajian. Kami sangat tidak pasti jika kuretaj rahim diikuti kemoterapi berkesan terhadap kadar kejayaan rawatan, relaps, kematian akibat penyakit, kematian akibat rawatan, kadar kehamilan atau sebarang peristiwa buruk, apabila berbanding kemoterapi sahaja. Kualiti hidup tidak dilapor dalam kajian tersebut.

Apakah batasan bukti?

Kami sangat tidak pasti tentang manfaat dan mudarat intervensi surgikal penyelamatan kesuburan dalam LR-NMGTN. Kami tidak yakin terhadap bukti atas tiga sebab utama. Pertama, reka bentuk kajian yang disertakan berisiko bias tinggi. Kedua, hanya ada satu kajian untuk setiap satu perbandingan, dan setiap kajian mempunyai bilangan peserta yang kecil. Akhirnya, terdapat kesenjangan maklumat tentang hasil yang kami fikir paling penting untuk menilai keberkesanan pembedahan penyelamatan kesuburan dengan atau tanpa kemoterapi berbanding kemoterapi sahaja bagi LR-NMGTN.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Kami mencari bukti sehingga 31 Januari 2024.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Nathanael Lee Yong Sheng (Hospital Seberang Jaya). Diterjemah oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia).

Tools
Information