Adakah ubat-ubatan yang melemahkan sistem imum membantu meningkatkan hasil kesihatan yang lebih baik di kalangan mereka yang mempunyai aterosklerosis atau yang berisiko aterosklerosis ?

Adakah ubat-ubatan yang melemahkan sistem imum membantu meningkatkan hasil kesihatan yang lebih baik di kalangan mereka yang mempunyai aterosklerosis atau yang berisiko aterosklerosis ?

Mesej utama

- Kami telah menemui beberapa bukti yang terhad bahawa sesetengah ejen mungkin boleh mengurangkan risiko berlakunya lemah jantung, tetapi kami amat kurang yakin tentang keputusan tersebut.
- Kami menemui tiada perbezaan terhadap kadar kematian atau sebarang bukti bahawa ejen-ejen tersebut mengurangkan risiko serangan jantung atau strok.
- Disebabkan batasan-batasan bukti kajian yang sedia ada, kajian yang lebih mantap diperlukan untuk membuat kesimpulan yang kukuh tentang keberkesanan ejen-ejen tersebut dalam mencegah kejadian kardiovaskular yang bahaya.

Apakah penyakit vaskular aterosklerotik?

Atherosclerosis ialah proses penyempitan dan penyekatan salur arteri. Tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi, diabetes, dan merokok meningkatkan risiko perkara ini berlaku, seperti juga usia dan faktor genetik. Apabila aterosklerosis berlaku, arteri akan menjadi sempit atau tersumbat, mengakibatkan angina, serangan jantung, strok, dan masalah dengan peredaran darah di tapak kaki dan kaki (penyakit vaskular periferal). Penyakit-penyakit tersebut, yang terhasil daripada penyempitan arteri di dalam badan yang diakibatkan oleh proses aterosklerosis ini, dikenali secara umum sebagai penyakit vaskular aterosklerotik (ACVD). Inflamasi kronik juga telah dikenali dapat meningkatkan risiko aterosklerosis, dan banyak kajian telah dilakukan untuk melihat sama ada ubat-ubatan yang mempengaruhi sistem imun dan merendahkan inflamasi boleh menjejaskan proses tersebut.

Apakah ejen yang telah kami teliti yang menjejaskan sistem imun?

Interleukin-1 (IL-1) adalah bahan yang mengakibatkan proses inflamasi apabila ia mengikat kepada reseptornya (IL-1R). Anakinra dan canakinumab ialah ubat-ubatan yang menyekat (“antagonisasi”) pengikatan IL-1 kepada IL-1 reseptor dan disebut sebagai IL-1RAs. Anakinra digunakan, sebagai contohnya, untuk merawat atritis reumatoid.

Interleukin-6 (IL-6) juga sama, begitu juga dengan sejenis ubat yang dikenali sebagai tocilizumab bertindak dengan menyekat reseptor IL-6 untuk mencegah proses inflamasi daripada berkembang.

Faktor nekrosis tumor-alpha (TNF-a) adalah sejenis sitokin. Sitokin ialah satu protein yang kecil. TNF-a adalah ejen yang terlibat dalam proses inflamasi. Ubat-ubatan seperti infliximab, etanercept, dan adalimumab menghalang aktiviti TNF dan mengurangkan inflamasi.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada terdapat sebarang bukti bahawa ubat-ubatan tersebut, yang menyekat inflamasi, boleh menjejaskan perkembangan ACVD dan mengurangkan risiko kematian atau terjadinya serangan jantung, strok atau komplikasi yang lain.

Apa yang kami lakukan?

Kami telah mengumpulkan semua data yang kami dapat tentang kajian-kajian yang menggunakan ejen-ejen tersebut dan melaporkan penemuan tentang kematian, serangan jantung, strok, penyakit vaskular periferal, kegagalan/lemah jantung, dan juga kesan-kesan sampingan yang lebih luas. Kami telah meneliti 58 kajian-kajian dengan jumlah peserta melebihi 20,000. Sebahagian daripada kajian (34) meneliti pencegahan ACVD daripada berkembang. Baki kajian yang (24) melihat kepada impak pemberian ubat-ubatan tersebut kepada individu yang telah mempunyai ACVD untuk melihat sama ada ubatan tersebut boleh mencegah komplikasi daripada berlaku.

Apakah yang kami temui?

Kami telah menemui, secara umum, bahawa ejen tersebut mempunyai impak yang sangat terhad, sekiranya ada, terhadap perkembangan atau progres ACVD. Kami tidak menemui bukti yang konklusif tentang kesan terhadap risiko kematian, serangan jantung, strok atau penyakit vaskular periferal. Ubatan tersebut mungkin memberi sedikit impak terhadap kegagalan/lemah jantung, tetapi kami sangat tidak pasti tentang keputusan tersebut.

Apakah batasan bukti?

Kami telah menemui percubaan-percubaan yang mengandungi beberapa kelemahan dalam cara ia dikendalikan dan juga bilangan peserta yang terhad, yang menghalang kami daripada membuat kesimpulan yang pasti.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Kami telah mencari kajian yang diterbitkan sehingga 20 Februari 2024.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Kuan Pei Xuan (Institute for Clinical Research). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia).

Tools
Information