Bolehkah mesin 'perfusi' meningkatkan kualiti hati yang didermakan untuk pemindahan?

Mesej utama

– Perfusi mesin sejuk menambahbaik pemindahan hati bila dibandingkan dengan teknik kotak ais standard.

– Perfusi mesin suam nampaknya tidak mempunyai faedah ini, tetapi mungkin membolehkan pemindahan hati yang didermakan, sekiranya perfusi suam ini tidak dilakukan kemungkinan besar hati tersebut tidak akan digunakan.

Apakah isunya?

Pemindahan hati adalah satu-satunya peluang untuk menyembuhkan beribu-ribu individu yang mengalami kegagalan hati atau kanser hati peringkat serius. Kedua-dua masalah ini semakin meningkat di seluruh dunia. Keadaan ini telah menyebabkan ketidakseimbangan diantara bilangan individu yang memerlukan hati baharu dan bilangan hati berkualiti tinggi yang didermakan. Semakin ramai pakar bedah terdorong untuk memindahkan hati yang mungkin dianggap 'suboptimum'. Walaupun menerima salah satu daripada hati ini adalah lebih baik daripada kekal pada senarai menunggu pemindahan, namun hasilnya kurang baik berbanding dengan organ yang optimum. Ramai individu sedang meneliti mesin perfusi yang mengepam cecair yang mengandungi oksigen dan nutrien kepada hati dalam tempoh masa antara kematian penderma dan implan hati tersebut. Mesin perfusi ini berbeza dalam banyak cara termasuk suhu di mana ia mengekalkan organ.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin mengetahui teknik manakah yang terbaik untuk meningkatkan kualiti hati yang didermakan.

Apakah yang telah kami lakukan?

Kami melakukan carian mendalam untuk kajian klinikal yang membandingkan diantara mesin perfusi. Kami merancang untuk menyertakan kajian yang membandingkan mesin-mesin perfusi antara satu sama lain, atau pembandingan dengan pemeliharaan kotak ais standard. Hasil utama kami ialah kematian, kualiti hidup dan kesan sampingan yang serius (kejadian buruk yang serius). Kami juga menyiasat hasil sekunder tentang berapa lama hati yang ditransplantasikan dapat bertahan, kerosakan saluran hempedu (tiub nipis yang dari hati ke usus kecil), dan berapa bahagian hati yang didermakan yang boleh dipindahkan.

Apakah yang telah kami temui?

Kami menemui enam kajian dengan 854 penerima pemindahan daripada 1124 hati yang didermakan.

Keputusan utama

Tiada mesin menunjukkan keupayaan mengurangkan kematian, dan tiada kajian melihat kualiti hidup. Berbanding dengan teknik kotak ais standard, perfusi mesin sejuk meningkatkan kemandirian hati, mengurangkan bilangan kejadian buruk yang serius, dan mengurangkan kerosakan pada saluran hempedu. Perfusi mesin suam dengan oksigen tidak mempunyai faedah ini. Perfusi mesin suam nampaknya meningkatkan kadar hati yang didermakan yang boleh dipindahkan, tetapi lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk memahami sebabnya.

Apakah batasan bukti?

Kami menjumpai bilangan kajian yang terhad dan ada kajian yang mempunyai kualiti yang bercampur. Data yang dilaporkan juga tidak mencukupi untuk semua analisis yang dirancang. Tiada satu pun kajian yang melihat teknik perfusi mesin yang digunakan dalam penderma sebelum organ dikeluarkan (dikenali sebagai perfusi serantau normotermik).

Sejauh manakah bukti ini terkini?
Ulasan ini menyertakan kajian-kajian yang diterbitkan sehingga 10 Januari 2023.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemahkan oleh Patricia Ponniah (Universiti Malaya). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia).

Tools
Information