Kesan strategi-strategi diagnostik untuk tuberkulosis menggunakan ujian lipoarabinomannan air kencing aliran lateral pada orang yang hidup dengan HIV

Apakah matlamat ulasan ini?

Tuberkulosis adalah penyebab utama kematian pada orang yang hidup dengan HIV. Penyakit ini sangat sukar didiagnosis pada orang yang hidup dengan HIV, kerana sering kali mencabar untuk menghasilkan kahak untuk tujuan diagnosis. Ujian lipoarabinomannan air kencing aliran lateral (LF-LAM) adalah ujian pantas yang disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk membantu dalam pengesanan tuberkulosis aktif pada orang yang hidup dengan HIV. Ulasan ini terhad kepada kajian yang menggunakan ujian Alere Determine TB LAM Ag (AlereLAM), yang merupakan satu-satunya ujian LF-LAM yang disarankan oleh WHO; oleh itu LF-LAM merujuk hanya kepada AlereLAM dalam ulasan ini. Diagnosis tuberkulosis yang cepat dan awal memungkinkan untuk mendapatkan rawatan segera dan mengurangkan sakit teruk dan kematian. Tujuan ulasan ini adalah untuk menentukan sama ada penggunaan ujian LF-LAM mempunyai kesan terhadap kematian dan hasil penting pesakit pada orang yang hidup dengan HIV.

Mesej utama

Dalam tetapan pesakit dalam, penggunaan LF-LAM sebagai sebahagian daripada strategi pengujian diagnostik tuberkulosis mungkin mengurangkan kematian dan mungkin menyebabkan sedikit peningkatan dalam memulakan rawatan tuberkulosis pada orang yang hidup dengan HIV.

Dalam tetapan pesakit luar, penggunaan ujian LF-LAM sebagai sebahagian daripada strategi diagnostik tuberkulosis mungkin mengurangkan kematian dan mungkin menyebabkan peningkatan besar dalam memulakan rawatan tuberkulosis pada orang yang hidup dengan HIV.

Apakah yang dikaji dalam ulasan?

Kami mencari kajian pada orang dewasa (15 tahun ke atas) yang menilai kesan strategi diagnostik tuberkulosis yang merangkumi ujian LF-LAM berbanding dengan penjagaan standard menggunakan ujian diagnostik lain yang disyorkan WHO pada orang dewasa yang hidup dengan HIV.

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Kami mengenalpasti tiga kajian, dua dalam tetapan pesakit dalam dan satu dalam tetapan pesakit luar.

Tetapan pesakit dalam

Dalam tetapan pesakit dalam, penggunaan ujian LF-LAM sebagai sebahagian daripada strategi diagnostik tuberkulosis mungkin mengurangkan kematian pada orang yang hidup dengan HIV pada lapan minggu berbanding dengan ujian diagnostik tuberkulosis rutin tanpa LF-LAM (2 kajian, 5102 peserta, bukti berkepastian sederhana ).

Dalam keadaan pesakit dalam, penggunaan ujian LF-LAM sebagai sebahagian daripada strategi diagnostik tuberkulosis mungkin mengakibatkan sedikit peningkatan dalam jumlah orang yang hidup dengan HIV yang memulakan rawatan tuberkulosis dibandingkan dengan ujian diagnostik tuberkulosis rutin tanpa LF-LAM (2 kajian, 5102 peserta, bukti berkepastian sederhana).

Tetapan pesakit luar

Dalam tetapan pesakit luar, penggunaan ujian LF-LAM sebagai sebahagian daripada strategi diagnostik tuberkulosis dapat mengurangkan kematian pada orang yang hidup dengan HIV pada enam bulan berbanding dengan ujian diagnostik tuberkulosis rutin tanpa LF-LAM (1 kajian, 2972 peserta, bukti berkepastian rendah).

Dalam tetapan pesakit luar, penggunaan ujian LF-LAM sebagai sebahagian daripada strategi diagnostik tuberkulosis mungkin menyebabkan peningkatan besar dalam perkadaran jumlah orang yang hidup dengan HIV yang memulakan rawatan tuberkulosis dibandingkan dengan ujian diagnostik tuberkulosis rutin tanpa LF-LAM (1 kajian, 3022 peserta, bukti berkepastian rendah).

Hasil penting yang lain bagi pesakit

Kajian yang disertakan menilai hasil penting yang lain bagi pesakit dengan cara yang berbeza. Kajian menunjukkan bahawa lebih ramai orang yang hidup dengan HIV dapat menghasilkan air kencing dibandingkan dengan kahak untuk ujian diagnostik tuberkulosis, dan lebih ramai orang yang hidup dengan HIV didiagnosis dengan tuberkulosis dalam kumpulan yang menerima LF-LAM.

Sejauh mana ulasan ini terkini?

Kami mencari kajian-kajian yang relevan hingga 12 Mac 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Patricia Ponniah (Klinik Pergigian Seremban). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information