Bolehkah ubat dexrazoxane mencegah atau mengurangkan kerosakan jantung pada orang dewasa dan kanak-kanak yang menghidap kanser dan menerima anthracycline?

Soalan ulasan
Kami mengulas bukti mengenai keberkesanan ubat dexrazoxane untuk mencegah atau mengurangkan kerosakan jantung pada kanak-kanak dan orang dewasa dengan kanser yang dirawat dengan kemoterapi anthracycline. Kami juga melihat kemungkinan kesan dexrazoxane pada keberkesanan antitumor (iaitu, kelangsungan hidup dan kadar tindak balas tumor), kualiti hidup dan kesan buruk (iaitu kesan yang tidak diingini atau memudaratkan daripada sesuatu rawatan) selain daripada kerosakan jantung.

Latar belakang
Anthracycline adalah rawatan kemoterapi yang berkesan yang sedia ada untuk pelbagai jenis kanser. Walau bagaimanapun, terdapat risiko kerosakan pada jantung (kardiotoksisiti) bergantung kepada dos kumulatif (jumlah rawatan yang diberikan dalam satu jangka masa). Kardiotoksisiti boleh membawa kepada gangguan fungsi myocardial subklinikal (apabila terdapat bukti daripada ujian bahawa fungsi jantung adalah terhad, tetapi orang tersebut tidak mempunyai gejala), yang boleh menjadi kegagalan jantung klinikal (apabila orang tersebut mengalami gejala). Dexrazoxane adalah ubat yang mempunyai potensi untuk mencegah atau mengurangkan kerosakan ini.

Ulasan ini merupakan kemaskini ketiga untuk ulasan Cochrane yang diterbitkan sebelum ini. Ulasan asal, yang melihat semua kemungkinan agen kardioprotektif (ubat yang melindungi jantung), telah dibahagikan dan ulasan ini menumpu pada dexrazoxane sahaja.

Ciri-ciri kajian
Bukti adalah terkini sehingga Mei 2021.

Kami menemui tiga belas kajian rawak terkawal (kajian klinikal di mana peserta dibahagi secara rawak ke dalam satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan) yang melihat kepada dexrazoxane: 5 kajian pada kanak-kanak (1252 kanak-kanak dengan leukemia, limfoma atau tumor pepejal) dan 8 kajian pada orang dewasa (1269 orang dewasa yang kebanyakannya didiagnosa dengan kanser payudara).

Hasil utama
Analisis kami menunjukkan bahawa:

- pada orang dewasa, dexrazoxane dapat mencegah atau mengurangkan kerosakan jantung bagi mereka yang dirawat dengan anthracycline;
- pada kanak-kanak, terdapat perbezaan antara kumpulan rawatan yang memihak kepada dexrazoxane untuk hanya satu daripada keberhasilan berkaitan dengan jantung; iaitu, gabungan kegagalan jantung klinikal dan gangguan fungsi myocardial subklinikal;
- pada orang dewasa, tiada bukti yang dikenal pasti untuk kesan negatif terhadap kelangsungan hidup atau kadar tindak balas tumor yang lebih rendah;
- pada kanak-kanak, tiada bukti yang dikenal pasti untuk kematian keseluruhan yang lebih rendah atau kadar tindak balas tumor yang lebih rendah.

Terdapat pelbagai hasil untuk kesan buruk. Kanak-kanak yang dirawat dengan dexrazoxane mungkin mempunyai risiko kanser sekunder yang lebih tinggi (iaitu kanser baru). Hasil ini tidak dinilai pada orang dewasa.

Tiada kajian yang menilai kualiti hidup peserta yang mengambil bahagian.

Sebelum kesimpulan muktamad mengenai penggunaan dexrazoxane boleh dibuat, terutamanya pada kanak-kanak, lebih banyak penyelidikan berkualiti tinggi diperlukan. Kami menyimpulkan bahawa jika risiko kerosakan jantung daripada anthracycline dijangka tinggi, ia mungkin wajar untuk menggunakan dexrazoxane pada kanak-kanak dan orang dewasa dengan kanser yang dirawat dengan anthracycline. Walau bagaimanapun, pengamal perubatan dan pesakit harus menimbang antara kesan kardioprotektif dexrazoxane dan kemungkinan risiko kesan buruk, termasuk kanser sekunder, bagi setiap individu. Bagi kanak-kanak, Kumpulan Penyelarasan Garis Panduan Kesan Akhir Kanser Kanak-kanak Antarabangsa telah membangunkan satu garis panduan amalan klinikal (www.ighg.org).

Kualiti bukti
Dalam kalangan kanak-kanak, kami menilai kualiti bukti sebagai rendah untuk hampir semua keberhasilan yang dinilai dan sangat rendah untuk dua keberhasilan (satu definisi kegagalan jantung klinikal dan gangguan fungsi myocardial subklinikal yang digabungkan dan satu definisi kadar tindak balas tumor); untuk definisi keberhasilan yang lain, kami menilai kualiti bukti sebagai rendah. Dalam kalangan orang dewasa, kami menilai kualiti bukti sebagai sederhana untuk hampir semua keberhasilan yang dinilai, dan sama rendah untuk dua definisi kelangsungan hidup (untuk dua definisi kelangsungan hidup yang lain sebagai sederhana).

Kualiti bukti adalah terhad kerana isu berkaitan dengan reka bentuk kajian, bilangan peserta yang kecil dalam beberapa kajian, atau atas kedua-dua sebab.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Tang Kar Foong (Ministry of Health Malaysia). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information