Apakah jenis masalah jantung dan saluran darah yang merumitkan jangkitan COVID-19, seberapa kerapkah ia dan keadaan perubatan lain yang ada pada pesakit ini?

Latarbelakang

Ramai orang yang dijangkiti COVID-19 mempunyai sedikit atau tidak ada gejala. Walau bagaimanapun, COVID-19 boleh menjadikan darah ‘melekit’, menyumbat saluran darah kecil (kapilari) dan besar, yang boleh menyebabkan serangan jantung, strok atau gumpalan darah di kaki atau paru-paru. Ini boleh membawa maut. Orang yang menghidap diabetes, tekanan darah tinggi atau masalah jantung yang sedia ada sebelumnya adalah lebih berisiko mengalami komplikasi seperti itu jika mereka dijangkiti COVID-19.

Persoalan kajian kami

Kami ingin mengetahui, dalam kes COVID-19 yang disahkan atau disyaki:

- apakah yang paling biasa ada dalam masalah jantung dan saluran darah (kardiovaskular) (contohnya, diabetes, tekanan darah tinggi dan obesiti)

- apakah komplikasi yang paling biasa yang mempengaruhi jantung dan saluran darah (contohnya, degupan jantung yang tidak teratur, pembekuan darah, kegagalan jantung dan strok) dalam keadaan yang berbeza (di komuniti, rumah jagaan atau di hospital).

Apa yang kami lakukan

Kami mencari kajian yang telah diterbitkan yang melaporkan masalah jantung dan saluran darah pada orang yang mungkin atau disahkan mempunyai COVID-19. Kajian boleh dibuat dengan reka bentuk apa pun dan dilakukan di mana saja, tetapi mereka mesti diperiksa oleh penyelidik lain (ditinjau oleh rakan sebaya), ditulis dalam bahasa Inggeris, dan melibatkan sekurang-kurangnya 100 kes.

Bukti adalah terkini sehingga Julai 2020.

Apa yang kami temui

Kami menemui 220 kajian yang melaporkan maklumat yang berkaitan, tetapi kualiti maklumat adalah selalunya lemah. Sebilangan besar kajian adalah dari China dan Amerika Syarikat. Sebilangan besar kajian hanya mempunyai maklumat mengenai sebilangan kecil kes yang dimasukkan ke hospital dengan COVID-19, sering ke unit rawatan rapi.

Kami mendapati bahawa tekanan darah tinggi, diabetes dan penyakit jantung adalah sangat biasa pada orang yang dimasukkan ke hospital dengan COVID-19 dan dikaitkan dengan peningkatan risiko kematian. Lebih daripada satu pertiga pesakit dengan COVID-19 mempunyai sejarah tekanan darah tinggi, 23.5% mempunyai masalah sedia ada berkaitan jantung atau saluran darah, 22.1% menghidap diabetes, dan 21.6% mengalami obesiti (banyak orang mempunyai lebih dari satu keadaan ini).

Komplikasi kardiovaskular yang paling biasa pada orang dengan COVID-19 adalah degupan jantung yang tidak teratur (fibrilasi atrium; 8.5%). Pembekuan darah di kaki (6.1%) atau paru-paru (4.3%), dan kegagalan jantung (6.8%) juga adalah biasa, tetapi kadar yang dilaporkan mungkin kurang dari jumlah sebenar kerana kajian tidak selalunya melakukan penyelidikan yang sesuai. Serangan jantung (1.7%) dan strok (1.2%) dilaporkan lebih jarang. Ujian darah juga sering menunjukkan kerosakan jantung atau tekanan.

Langkah seterusnya

Kajian ini bertumpu kepada orang yang berada di hospital, dengan COVID-19 yang teruk, jadi hasilnya mungkin tidak berlaku untuk orang yang menghidap COVID-19 yang lebih ringan dan tidak dimasukkan ke hospital. Kajian-kajian adalah sangat berbeza antara satu sama lain dan tidak selalu melaporkan hasil dengan cara yang sama atau menggunakan kaedah yang paling dipercayai. Oleh itu, keyakinan kami terhadap ketepatan kelaziman penyakit yang sedia ada dan komplikasi kardiovaskular adalah idak tinggi.

Kami merancang untuk mengemas kini ulasan ini. Walau bagaimanapun, pada masa akan datang, kami hanya akan menumpukan pada bukti berkualiti tinggi untuk meningkatkan kekuatan penemuan kami.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Nor Amirah Mohd Shukor. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang soalan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information