Apakah faedah dan kemudaratan brexpiprazole, suatu ubat antipsikotik baharu, untuk rawatan kemurungan jika dibandingkan dengan pil palsu atau ubat anti-kemurungan lain?

Mesej utama

– Brexpiprazole ditambah kepada antidepresan adalah lebih baik untuk mengurangkan simptom kemurungan daripada plasebo (ubat palsu) yang ditambah kepada antidepresan.

– Brexpiprazole mungkin lebih kerap dikaitkan dengan penambahan berat badan dan akathisia (iaitu perasaan resah yang mendorong keterdesakan untuk bergerak-geri sepanjang masa).

Apakah itu kemurungan?

Kemurungan adalah keadaan kesihatan mental biasa yang membawa kepada mood yang rendah, ketidakupayaan untuk mengalami keseronokan, gangguan tidur, penurunan berat badan, keletihan atau tenaga yang rendah, pertuturan dan pergerakan yang lebih perlahan, rasa tidak bernilai atau bersalah secara berlebihan, tidak dapat menumpukan perhatian dan mempunyai pemikiran untuk membunuh diri. Untuk menegakkan diagnosis kemurungan, seseorang pesakit harus mengalami lima atau lebih gejala berikut, termasuk suasana perasaan yang suram atau ketidakupayaan menghayati rasa seronok selama sekurang-kurangnya dua minggu.

Bagaimanakah penyakit ini dirawat?

Melainkan gejala kemurungan yang dialami ringan, pilihan rawatan barisan pertama untuk kemurungan adalah ubat anti-kemurungan, tetapi ubat anti-kemurungan hanya berkesan dalam separuh daripada kes apabila dipreskrib untuk kali pertama. Apabila antidepresan tidak mencukupi untuk merawat kemurungan, satu pilihan yang ada ialah menambah ubat lain untuk membantu kesan antidepresan. Pilihan-pilihan rawatan lain termasuk penggantian suatu ubat anti-kemurungan dengan ubat anti-kemurungan yang lain, terapi bicara atau rangsangan otak menerusi gelombang elektrik. Brexpiprazole merupakan suatu ubat baru yang boleh diimbuhkan dengan suatu ubat anti-kemurungan yang tidak berkesan apabila digunakan secara tunggal. Brexpiprazole boleh diberikan dalam dos menurut julat 0.5 mg sehingga 3 mg untuk rawatan kemurungan. Ia juga telah diluluskan untuk rawatan skizofrenia.

Apakah yang kami ingin tahu?

Kami ingin mengkaji kesan brexpiprazole dalam rawatan kemurungan apabila diberikan secara tunggal atau apabila diimbuhkan dengan ubat anti-kemurungan lain dan membandingkan kesannya dengan kesan uabt anti-kemurungan lain ataupun rawatan plasebo. Untuk berbuat demikian kami menerokai beberapa kesan. Pertama sekali, kami meneliti sejauh manakah brexpiprazole mampu mengurangkan gejala kemurungan. Keduanya, kami menerokai seberapa ramai peserta yang berhenti mengambil bahagian dalam kajian atas sebarang sebab. Ketiga, kami menyiasat berapa ramai yang berhenti mengambil bahagian kerana kesan tidak diingini yang mereka alami. Keempat, kami meneliti kesan-kesan sampingan yang timbul apabila brexpiprazole digunakan. Kami juga ingin mengetahui cara brexpiprazole mempengaruhi kualiti hidup peserta dan cara ia mempengaruhi cara mereka berfungsi dalam kehidupan seharian mereka.

Apa yang telah kami lakukan?

Kami mencari pangkalan data saintifik untuk kajian yang telah membandingkan kesan brexpiprazole dengan rawatan plasebo atau ubat anti-kemurungan lain untuk rawatan kemurungan. Kami hanya menyertakan kajian di mana peserta diagihkan secara rawak kepada jenis rawatan yang diterima. Baik peserta mahupun pasukan penilai yang menaksir hasil rawatan tidak mengetahui jenis rawatan yang telah diberikan, dan tanpa pengaruh pengetahuan tentang jenis rawatan yang diberikan kepada peserta, para penilai mampu menilai hasil kajian secara objektif. Kami membandingkan dan merumuskan keputusan kajian-kajian itu dan menilai tahap keyakinan kami bahawa hasil kajian merupakan cerminan kesan sebenar ubat. Kami mengasaskan keyakinan kami berdasarkan beberapa faktor seperti saiz kesan, kaedah kajian yang digunakan, dan apakah hasil kajian dan bagaimanakah caranya suatu hasil kajian itu dilaporkan.

Apakah yang kami temui dan apakah keterbatasan hasil penemuan kami?

Kami mengenal pasti sembilan kajian yang menyertakan 3424 orang peserta; dua pertiga daripada mereka terdiri daripada peserta wanita dan satu pertiga lagi terdiri daripada peserta lelaki.

Kami hanya dapat mengenal pasti kajian di mana brexpiprazole diimbuhkan masuk selepas peserta telah menjalani swarawatan dengan dua atau lebih ubat anti-kemurungan. Kami mempunyai tahap keyakinan yang tinggi bahawa brexpiprazole ditambah kepada antidepresan mengurangkan simptom kemurungan lebih selepas lapan minggu rawatan daripada plasebo ditambah kepada antidepresan. Brexpiprazole juga lebih cenderung menjurus kepada ketiadaan gejala kemurungan berbanding dengan penggunaan plasebo apabila salah satu rawatan ini diimbuhkan dengan suatu ubat anti-kemurungan. Kami cukup yakin bahawa brexpiprazole menyebabkan penambahan berat badan atau perasaan subjektif kegelisahan lebih kerap daripada plasebo. Kami kurang yakin tentang keputusan berkenaan kesan yang tidak diingini ini kerana kami tidak dapat mencari maklumat tentang cara ia diukur dan sama ada semua kajian menggunakan kaedah yang sama untuk mengukurnya.

Apa yang kami gagal temui?

Kami tidak menemui kajian yang menyelidiki kesan brexpiprazole terhadap golongan kanak-kanak atau warga emas yang mengalami kemurungan. Kami ingin mencari cara brexpiprazole akan berfungsi apabila diberikan untuk kemurungan untuk jangka masa yang lebih lama, seperti 18 hingga 24 minggu, tetapi kami mendapati hanya satu kajian dan keputusannya tidak mencukupi untuk membuat kesimpulan.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini setakat 1 November 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nathanael Lee Yong Sheng (Hospital Seberang Jaya). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia. Untuk sebarang pertanyaan yang berkaitan dengan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information