Adakah pembedahan membuang bahagian bawah kaki (amputasi) pada lutut menawarkan pemulihan pembedahan yang lebih baik dan rehabilisasi yang lebih baik daripada amputasi di atas lutut?

Latar belakang

Setiap tahun, beribu-ribu orang di seluruh dunia perlu membuang kaki bawah mereka melalui pembedahan (amputasi anggota bawah) kerana masalah seperti penyumbatan dalam saluran darah (penyakit vaskular), diabetes dan kecederaan. Apabila amputasi dirancang, pakar bedah perlu memutuskan berapa tinggi kaki yang perlu diamputasi, dan oleh itu berapa banyak kaki yang perlu ditinggalkan. Keputusan ini berdasarkan keseimbangan antara meninggalkan sebanyak mungkin kaki untuk meningkatkan keupayaan seseorang untuk berjalan dengan kaki buatan (prostesis) dan mengeluarkan apa-apa yang tidak akan bertahan atau mampu sembuh. Jika boleh, pakar bedah akan memilih untuk mengekalkan lutut, kerana lutut yang berfungsi akan memastikan peluang terbaik seseorang untuk berjalan. Dalam sesetengah kes, ianya tidak mungkin, dan pada masa ini hampir semua orang dalam keadaan ini akan mengalami amputasi di bahagian tengah paha (di atas lutut). Walau bagaimanapun, pilihan lain ialah amputasi yang boleh dilakukan melalui sendi lutut itu sendiri. Ini mempunyai kelebihan, kerana semua otot yang mengawal pergerakan tulang paha tidak rosak. Baki kaki yang lebih panjang dijangka bertindak sebagai tuas untuk mengurangkan usaha mengayunkan anggota prostetik semasa berjalan dan untuk membantu keseimbangan duduk dan pemindahan dari katil ke kerusi. Dengan mengelakkan pemotongan otot, adalah mungkin untuk meminimumkan trauma fizikal pembedahan, mengizinkan prosedur dengan kehilangan darah yang kurang dan masa prosedur yang singkat. Tambahan pula, hujung tulang peha dan penutup lutut kekal dalam beberapa kes. Tulang ini boleh menyokong berat badan pada hujung anggota yang tinggal melalui mekanisme yang sama seperti melutut. Sebaliknya, sesetengah pakar bedah berpendapat bahawa masalah dengan penyembuhan mungkin lebih dengan pendekatan ini. Oleh itu, adalah tidak jelas sama ada amputasi pada lutut merupakan operasi yang lebih baik, membolehkan pemulihan yang lebih baik, kemungkinan lebih besar untuk dapat berjalan dengan kaki buatan, dan kualiti hidup yang lebih baik, atau sama ada ia dikaitkan dengan hasil yang lebih buruk akibat kegagalan penyembuhan luka dan keperluan untuk pembedahan selanjutnya. Matlamat ulasan ini adalah untuk melihat bukti terbaik yang tersedia bagi melihat perbandingan operasi ini.

Ulasan ini mencari kajian yang melihat sama ada amputasi melalui lutut atau atas lutut menghasilkan penyembuhan luka yang lebih baik selepas amputasi, meningkatkan kemandirian pesakit, dan mengurangkan kesakitan (hasil klinikal), serta kadar penggunaan prostesis yang lebih baik, kelajuan berjalan, dan kualiti hidup (hasil rehabilisasi).

Ciri-ciri kajian dan keputusan utama

Pencarian menyeluruh terhadap literatur yang ada telah dilakukan (sehingga 17 Februari 2021) untuk mencari kajian yang membandingkan amputasi pada lutut dan atas lutut. Kami mengenal pasti tiada kajian yang membandingkan kedua-dua prosedur ini.

Kepastian bukti

Kami tidak dapat menilai kualiti bukti kerana tiada kajian disertakan dalam ulasan ini.

Kesimpulan

Disebabkan kekurangan ujian rawak, kami tidak dapat menentukan sama ada amputasi pada lutut mempunyai hasil yang berbeza daripada amputasi di atas lutut. Kajian rawak terkawal yang berkualiti tinggi diperlukan untuk memberikan bukti bagi topik ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Syed Amirfaiz (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information