Mesej utama
• Pembedahan pembinaan semula payudara yang menggunakan tisu autologus (tisu wanita sendiri, seperti lemak atau otot) dan bukannya implan mungkin membawa kepada kesejahteraan mental dan seksual yang lebih baik dan kepuasan yang lebih besar dengan pembedahan secara keseluruhan. Selebihnya bukti adalah sangat tidak pasti; ia mencadangkan bahawa pembinaan semula autologus berbanding dengan implan dapat meningkatkan kepuasan wanita dengan rupa dan rasa payudara dan membawa kepada kesan jangka panjang yang tidak diingini yang lebih sedikit, tetapi mempunyai sedikit atau tiada kesan terhadap kesejahteraan fizikal, risiko kesan jangka pendek yang tidak diingini, atau keperluan untuk pembedahan tambahan. Pembedahan berasaskan implan boleh mengambil masa yang lebih sedikit, tetapi bukti adalah sangat tidak pasti.
• Tiada teknik pembinaan semula payudara yang terbaik untuk semua wanita. Kajian masa depan harus menyiasat faktor mana yang mempunyai pengaruh paling besar terhadap hasil setiap teknik (contohnya berat badan wanita, sama ada dia menghidap diabetes, sama ada dia merokok, dan sama ada dia telah menjalani radioterapi).
Apakah jenis pembinaan semula payudara yang sedia ada?
Wanita yang menjalani mastektomi (pembedahan untuk mengeluarkan payudara) untuk rawatan kanser payudara atau pengurangan risiko (dalam kes wanita berisiko tinggi untuk kanser payudara) boleh ditawarkan pilihan pembinaan semula payudara yang berbeza. Pembinaan semula payudara boleh berlaku pada masa yang sama dengan mastektomi atau ditangguhkan sehingga selepas semua rawatan kanser. Pembinaan semula boleh menggunakan tisu wanita sendiri (tisu autologus) atau implan.
Pilihan teknik pembinaan semula payudara bergantung kepada beberapa faktor. Ini termasuk pilihan peribadi, ciri-ciri payudara semula jadi, penyakit yang lain yang mungkin dihadapi oleh wanita, sama ada dia merokok, dan sama ada dia mempunyai radioterapi dada atau payudara.
Apakah yang ingin kami ketahui?
Kami ingin membandingkan pembinaan semula berasaskan implan dengan pembinaan semula berasaskan tisu autologus untuk mengetahui teknik mana:
• menghasilkan kualiti hidup yang lebih baik (kesejahteraan mental, seksual, dan fizikal);
• menghasilkan kepuasan yang lebih tinggi dengan pembedahan dan dengan payudara;
• mengehadkan kesan jangka pendek dan jangka panjang yang tidak diingini dan keperluan untuk lebih banyak pembedahan; dan
• mengambil masa yang lebih sedikit.
Apakah yang kami lakukan?
Kami telah mencari kajian yang membandingkan pembinaan semula payudara berasaskan tisu autologus dengan pembinaan semula payudara berasaskan implan pada wanita yang telah menjalani mastektomi untuk rawatan kanser atau pengurangan risiko. Kami telah membandingkan dan merumuskan keputusan tersebut dan menilai keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apakah yang kami temui?
Kami menyertakan 35 kajian yang melibatkan 57,555 wanita. Kebanyakan kajian dijalankan di Amerika Syarikat atau Eropah.
Berbanding dengan implan, pembinaan semula autologus mungkin membawa kepada kesejahteraan mental dan seksual yang lebih baik dan kepuasan yang lebih besar dengan pembedahan secara keseluruhan. Selebihnya bukti adalah sangat tidak pasti; ia mencadangkan bahawa pembinaan semula autologus berbanding dengan implan dapat meningkatkan kepuasan wanita dengan rupa dan rasa payudara dan membawa kepada kesan jangka panjang yang tidak diingini yang lebih sedikit, tetapi mempunyai sedikit atau tiada kesan terhadap kesejahteraan fizikal, risiko kesan jangka pendek yang tidak diingini, atau keperluan untuk pembedahan tambahan. Pembedahan berasaskan implan boleh mengambil masa yang lebih sedikit, tetapi bukti adalah sangat tidak pasti.
Apakah batasan bukti
Kami mempunyai sedikit atau sangat sedikit keyakinan terhadap bukti, kerana wanita dalam kajian tidak diletakkan secara rawak ke dalam kumpulan rawatan yang berbeza. Ini bermakna perbezaan antara kumpulan mungkin disebabkan oleh perbezaan antara peserta dan bukannya antara rawatan. Sesungguhnya, banyak faktor mempengaruhi pilihan teknik pembinaan semula.
Di samping itu, tidak ada maklumat mengenai ciri-ciri wanita yang boleh mendapat manfaat daripada satu teknik pembinaan semula payudara berbanding yang lain.
Sejauh mana bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini setakat Julai 2022.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Kuala Lumpur). Disunting oleh Khaw Loke Tim (IMU University).