Apa bukti yang ada bahawa pakej penjagaan boleh memperbaiki hasil bagi pesakit COVID-19 dalam keadaan rawatan intensif?

Apakah pakej penjagaan?

Pakej penjagaan adalah sekumpulan amalan penjagaan yang dilakukan bersama (sebagai pakej) ketika memberikan rawatan kepada pesakit dengan keadaan yang sama atau dalam keadaan rawatan kesihatan yang sama. Biasanya terdapat tiga hingga lima amalan dalam satu pakej. Amalan boleh merangkumi mana-mana aspek penjagaan pesakit. Contohnya, satu pakej mungkin merangkumi panduan memasukkan tiub pernafasan, seting ventilator dan rawatan pesakit semasa ventilasi. Semua amalan adalah 'berdasarkan bukti', iaitu berdasarkan bukti yang menunjukkan bahawa ianya berguna.

Mengapa pakej penjagaan dapat membantu?

Sebilangan penghidap COVID-19 boleh mengalami sakit secara serius dan memerlukan rawatan intensif. Mereka memerlukan sistem pernafasan (pernafasan) dan mungkin perlu menggunakan ventilator. Maklumat terkini menunjukkan bahawa sekitar 26% orang yang mengalami COVID-19 di seluruh dunia telah dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU), dan di antara orang-orang ini, hampir satu pertiga telah meninggal dunia.

Bagi orang yang menghidap COVID-19 dan keadaan yang berkaitan (seperti radang paru-paru akibat virus, yang juga menyebabkan kesukaran bernafas yang serius), menggunakan pakej rawatan akan bermaksud bahawa pengamal melakukan setiap amalan penjagaan dalam pakej tersebut, setiap kali. Melaksanakan amalan secara bersama, dan bukannya secara individu, akan membawa hasil yang lebih baik bagi pesakit. Penggunaan pakej rawatan juga harus mengurangi variasi bagaimana rawatan diberikan dan dapat meningkatkan kerja berpasukan yang diperlukan untuk menyediakan rawatan kesihatan berkualiti tinggi, yang juga memberi keputusan lebih baik bagi pesakit.

Tujuan ulasan

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menugaskan tinjauan 'skop' ini untuk mengenal pasti berapa banyak dan jenis bukti yang ada mengenai penggunaan pakej rawatan untuk pesakit di persekitaran ICU yang menderita akibat COVID-19, sindrom gangguan pernafasan akut (ARDS) atau radang paru-paru virus. Kami ingin mengenal pasti dan menggambarkan kajian yang telah dilakukan dan apa yang mereka menilaikan, tetapi tidak untuk menilai kualiti mereka atau menganalisis penemuan mereka seperti yang biasa kami lakukan dalam tinjauan standard. WHO ingin menggunakan ulasan ini untuk membantu memperkembangkan garis panduan mereka, jadi kami menyediakan secara cepat, dalam jangka masa tiga minggu dari 26 Oktober sehingga 18 November 2020.

Bagaimana kami mengenal pasti dan membuat pemetaan bukti?

Kami mencari semua jenis kajian yang melaporkan pesakit yang sakit serius dengan COVID-19, ARDS atau radang paru-paru akibat virus dalam persekitaran ICU, yang mana pakej rawatan telah digunakan. Peserta kajian adalah sebarang usia. Pakej rawatan boleh merangkumi apa jua amalan, tetapi harus ada setidaknya tiga dalam satu pakej, mereka harus berdasarkan bukti, dan disampaikan bersama dengan cara yang sama setiap kali.

Kami mengumpulkan kajian mengikut kondisi kesihatan peserta mereka: disahkan atau disyaki COVID-19; ARDS; radang paru-paru virus; kegagalan pernafasan secara teruk; dan pesakit dengan pelbagai keadaan ini.

Apa yang telah kami temui?

Kami merangkumi 21 kajian dan mengenal pasti tiga kajian yang sedang dijalankan. Kajian-kajian tersebut dilakukan di lapan negara, biasanya Cina dan Amerika Syarikat, dan diterbitkan antara tahun 1999 dan 2020. Sejumlah 2000 peserta terlibat dalam kajian ini. Tujuh kajian merangkumi pesakit COVID-19, tujuh dengan ARDS, lima dengan radang paru-paru virus, satu dengan kegagalan pernafasan yang teruk dan satu dengan campuran penyakit-penyakit ini.

Keterangan mengenai pakej rawatan adalah berbeza-beza tetapi kebanyakan amalan rawatan yang berkaitan dengan sokongan pernafasan atau seting ventilator, atau kedudukan pesakit (misalnya menghadap muka ke bawah), untuk ARDS dan COVID-19. Kajian khusus COVID-19 juga memberi perhatian pada kawalan jangkitan dan penggunaan peralatan pelindung diri (PPE). Beberapa pakej rawatan adalah khusus untuk bahagian tubuh badan seperti penjagaan mata atau kulit.

Beberapa 'jurang bukti' yang kami kenal pasti adalah kekurangan pakej rawatan yang menumpukan perhatian penyediaan pesakit untuk meninggalkan ICU, mencegah jangkitan yang disebabkan oleh pemberian ubat secara intravena (melalui titisan), dan kesan jangka panjang COVID-19. Tidak ada kajian yang meneliti pengalaman pekerja kesihatan semasa mengguna pakej rawatan.

Kesimpulan penulis

Maklumat spesifik untuk pesakit dengan COVID-19 yang membandingkan pesakit yang menerima pakej rawatan dan yang tidak menerima pakej rawatan adalah terhad, dan lebih banyak penyelidikan diperlukan. Kami juga memerlukan maklumat mengenai bagaimana pakej rawatan dapat dilaksanakan dengan baik secara praktikal, dan kesulitan yang mungkin berkaitan dengannya. Ulasan berasingan yang menilai kualiti bukti yang kami dapati dalam ulasan ini, dan yang menggabungkan dan menganalisis data, diperlukan

Diterjemah oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.: 

Diterjemah oleh Gurmeet Albail Singh. Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information