Ujian untuk mengesan dan memaklumkan diagnosis karies akar

Mengapa penting untuk memperbaik pengesanan karies akar?

Karies akar (kerosakan gigi pada akar gigi) adalah penyakit yang sangat dikenali, yang semakin meningkat apabila populasi bertambah tua dan mengekalkan lebih banyak gigi semula jadi pada masa tua. Seperti karies korona (kerosakan gigi pada bahagian atas gigi), karies akar boleh dikaitkan dengan kesakitan, ketidakselesaan, dan kehilangan gigi, yang boleh menyumbang kepada kualiti hidup berkaitan kesihatan oral yang lebih buruk dalam kalangan orang tua. Mengesan karies lebih awal bermakna rawatan invasif diperlukan, yang mana lebih banyak tisu gigi dapat dipelihara. Ia boleh juga bermakna kurang kos kepada pesakit dan perkhidmatan penjagaan kesihatan.

Apakah matlamat ulasan ini?

Matlamat Ulasan Cochrane ini adalah untuk mengetahui sama ada sebarang alat diagnostik boleh diguna untuk menyokong doktor gigi mengenal pasti dengan betul karies akar dalam kalangan dewasa.
Penyelidik Cochrane menyertakan empat kajian untuk menjawab soalan ini.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?

Empat kajian melibatkan 4997 permukaan akar disertakan dalam ulasan ini. Kajian-kajian itu berlangsung di Switzerland dan Hong Kong, dan diterbitkan antara 2009 dan 2016. Ketepatan ujian laser dikaji dalam empat kajian, dua kajian menilai radiograf (sinar-x), satu kajian menilai pemeriksaan visual komprehensif, dan satu kajian menilai gabungan ujian radiograf dan pemeriksaan visual.

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Semua kajian melaporkan penemuan kes (pengesanan) berbanding diagnosis yang menyertakan pertimbangan risiko dan sejarah pesakit. Dua kajian menilai penggunaan alat di dalam mulut, dan dua kajian menilai penggunaan alat pada gigi yang diekstrak (kajian in vitro). Oleh kerana bilangan kajian yang kecil dan perbezaan penting dalam persekitaran kajian yang disertakan, kami tidak dapat menggabung keputusan kajian-kajian tersebut.

Adakah keputusan kajian-kajian dalam ulasan ini boleh percaya?

Kami menemui batasan-batasan kajian yang penting dalam semua kajian yang disertakan, terutamanya pendaftaran peserta yang sering dilaporkan dengan buruk. Kebolehgunaan pemilihan pesakit juga membimbangkan bagi dua kajian in vitro. Atas sebab-sebab ini, kami menilai kepastian bukti adalah sangat rendah.

Kepada siapakah keputusan ulasan ini boleh diaplikasi?

Kajian-kajian yang disertakan dalam ulasan ini dijalankan di Hong Kong dan Switzerland dan mensasarkan doktor gigi yang menjalankan pemeriksaan klinikal orang dewasa yang hadir ke klinik gigi.

Apakah implikasi ulasan ini?

Oleh kerana bilangan kajian yang kecil dan kepastian bukti yang sangat rendah kami tidak dapat mengesahkan sebarang manfaat tambahan alat diagnostik untuk mengesan dan mendiagnosis karies akar.

Adakah ulasan ini mutakhir?

Para penulis ulasan mencari dan menggunakan kajian-kajian yang diterbitkan sehingga 31 Disember 2018.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save