Ubat antiarrhythmic Kelas I dan III oral untuk mengekalkan irama sinus selepas ablasi kateter fibrilasi atrium

Soalan ulasan

Kami ingin mengetahui keberkesanan kelas ubat antiarrhythmic tertentu (ubat yang digunakan untuk mencegah atau merawat irama jantung yang tidak teratur) untuk mengekalkan irama sinus (irama jantung normal) pada orang selepas ablasi kateter (teknik menggunakan kateter untuk mencipta luka terbakar terkawal dalam jantung untuk mencegah dan merawat kejadian aritmia) untuk fibrilasi atrium (sejenis irama jantung yang tidak teratur), berbanding dengan ablasi kateter sahaja.

Latar belakang

Irama jantung abnormal yang paling biasa iaitu fibrilasi atrium boleh menyebabkan dua ruang atas jantung (atria) berdegup dengan sangat pantas yang membawa kepada gejala seperti berdebar-debar, pening, dan sesak nafas. Rawatan fibrilasi atrium biasanya merangkumi ubat untuk mengawal degupan jantung dan mengurangkan risiko strok. Walau bagaimanapun, dalam sesetengah orang, memulihkan irama jantung normal untuk mengawal gejala dicapai dengan mencipta luka terbakar terkawal dengan kateter ablasi untuk menghapuskan fibrilasi atrium. Pesakit sering kembali kepada fibrilasi atrium walaupun ablasi, dan ubat-ubatan antiarrhythmic tertentu (yang mana kami hanya berminat dalam Kelas I dan III) diberikan untuk mengurangkan risiko aritmia berulang.

Kriteria pemilihan

Kami melakukan carian menyeluruh terhadap pangkalan data untuk semua kajian termasuk fibrilasi atrium dan semua ubat antiarrhythmic individu Kelas I dan Kelas III termasuk, sebagai contoh, flecainide, propafenone, amiodarone, dronedarone, dan sotalol.

Ciri-ciri kajian

Kami menjalankan carian pada 5 Ogos 2022, dan mengenal pasti 4682 petikan (kertas penyelidikan), yang mana sembilan daripadanya adalah kajian rawak terkawal (sejenis kajian di mana orang ditugaskan secara rawak kepada satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan) yang bersesuaian. Kajian-kajian itu melibatkan sejumlah 3269 peserta dari enam negara, yang ditugaskan untuk sama ada Kelas I atau III antiarrhythmic (atau kedua-duanya) atau plasebo (pil gula)/rawatan standard. Orang yang mengambil bahagian dalam kajian ini secara purata berumur 59 tahun, dan 71% adalah lelaki. Kebanyakan orang mengalami fibrilasi atrium paroksismal (bermakna mereka tidak berada dalam fibrilasi atrium sepanjang masa dan bergantian dengan irama normal).

Keputusan

Kami mendapati bahawa kesan ubat antiarrhythmic Kelas I dan/atau III yang diberikan sehingga sekitar 3 bulan selepas ablasi boleh mengurangkan pengulangan aritmia pada 0 hingga 3 bulan, dan berkemungkinan mengurangkan pengulangan lebih daripada 3 hingga 6 bulan, walaupun manfaatnya nampaknya tidak berterusan melebihi 6 bulan (bukti untuk keputusan terakhir ini adalah sangat tidak pasti). Kami juga melihat kesan buruk (iaitu komplikasi). Kami mendapati bahawa penggunaan antiarrhythmic mungkin dikaitkan dengan pengurangan kemasukan ke hospital pada 0 hingga 3 bulan. Kami juga menemui bukti yang menunjukkan bahawa antiarrhythmic tidak dikaitkan dengan kadar kejadian tromboembolik yang berbeza (gumpalan dalam otak, paru-paru, atau kaki), serangan jantung, kematian akibat sebarang sebab, atau keperluan untuk ablasi berulang berbanding dengan kawalan atau rawatan standard.

Kepastian bukti

Keyakinan kami terhadap bukti adalah rendah untuk pengulangan aritmia pada 0 hingga 3 bulan, sederhana pada 3 hingga 6 bulan, dan sangat rendah pada lebih daripada 6 bulan. Keyakinan kami terhadap bukti pengurangan kemasukan ke hospital untuk aritmia adalah sederhana.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Hui Jen Chua (Taylor’s University). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information