Langkau ke kandungan utama

Trombolisis (pemberian ubat yang melarutkan bekuan darah) untuk pendarahan subaraknoid aneurisme (sejenis pendarahan otak)

Mesej utama

Trombolisis (pemberian ubat yang melarutkan bekuan darah) mungkin memperbaik beberapa hasil selepas pendarahan subaraknoid aneurisme (sejenis pendarahan otak). Contohnya, trombolisis berkemungkinan mengurangkan risiko hasil fungsi yang buruk (kecacatan yang teruk), berkemungkinan mengurangkan risiko vasospasme arteri serebrum (keadaan di mana arteri otak mengecut, sering menyebabkan kerosakan otak akibat pengurangan aliran darah), dan mungkin mengurangkan risiko iskemia serebrum tertunda (keadaan klinikal di mana tisu otak tidak mendapat bekalan darah yang mencukupi akibat vasospasme arteri serebrum). Trombolisis tidak menunjukkan peningkatan risiko komplikasi pendarahan (contohnya, aneurisme berdarah semula). Walau bagaimanapun, trombolisis berkemungkinan tidak mengurangkan risiko kematian atau hidrosefalus (pengumpulan cecair dalam otak yang boleh menyebabkan kerosakan otak akibat peningkatan tekanan), dan mungkin memberikan sedikit atau tiada perbezaan terhadap risiko infark serebrum (strok akibat pengurangan aliran darah).

Kesimpulannya, bukti semasa mengenai trombolisis dalam pendarahan subaraknoid aneurisme masih tidak pasti.

- Maklumat lanjut daripada kajian penyelidikan tentang kesan trombolisis terhadap hasil selepas pendarahan subaraknoid aneurisme adalah diperlukan.

Apakah pendarahan subaraknoid aneurisme?

Pendarahan subaraknoid aneurisme ialah gangguan pendarahan dalam otak yang disebabkan oleh pecahnya aneurisme otak (bahagian arteri otak yang membengkak, lemah, dan cenderung berdarah). Pendarahan subaraknoid aneurisme berpotensi untuk membawa maut dan boleh mengakibatkan kecacatan yang ketara. Selain itu, pendarahan subaraknoid aneurisme boleh menyebabkan vasospasme arteri serebrum, iaitu komplikasi berbahaya di mana satu atau lebih saluran darah di otak mengecut, mengurangkan aliran darah. Keparahan keadaan ini boleh diukur menggunakan skala yang dikenali sebagai Skala Fisher, di mana gred 3 atau 4 dianggap sebagai 'gred tinggi' dan mempunyai risiko vasospasme yang sangat tinggi.

Bagaimanakah pendarahan subaraknoid aneurisme dirawat?

Selepas aneurisme pecah, rawatan segera diperlukan untuk menghentikan pendarahan yang berterusan dan mengelakkan pendarahan berulang. Ini boleh dilakukan melalui prosedur invasif minimum (penggulungan endovaskular, di mana wayar dimasukkan melalui saluran darah dan digulung di dalam aneurisme) atau melalui pembedahan terbuka (kliping pembedahan, di mana klip logam diletakkan merentasi leher aneurisme).

Trombolisis subaraknoid ialah prosedur di mana ubat pelarut bekuan darah diberikan untuk membersihkan darah selepas pendarahan subaraknoid. Prosedur ini mungkin meningkatkan hasil rawatan kerana kehadiran darah dalam ruang subaraknoid dikaitkan dengan vasospasme arteri serebrum.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin mengetahui jika pesakit yang menerima trombolisis selepas pendarahan subaraknoid mempunyai hasil yang lebih baik berbanding pesakit yang tidak menerimanya.

Apakah yang kami lakukan?

Kami menjalankan pencarian sistematik dalam pangkalan data perubatan untuk mencari kajian yang menilai trombolisis sebagai rawatan bagi meningkatkan hasil selepas pendarahan subaraknoid aneurisme. Kami mencari jenis kajian yang boleh dipercayai dikenali sebagai 'kajian rawak terkawal'. Kami menggabungkan keputusan kajian yang kami kenal pasti daripada pencarian kami untuk menilai kesan trombolisis.

Apa yang kami temui?

Kami mengenal pasti lapan kajian dari enam negara berbeza yang memenuhi kriteria kemasukan kami, dengan jumlah keseluruhan 410 individu yang mengalami pendarahan subaraknoid. Daripada jumlah ini, 205 individu menerima trombolisis. Sebilangan besar peserta yang terlibat mempunyai pendarahan subaraknoid gred tinggi. Kajian menggunakan pelbagai pendekatan berbeza dalam trombolisis, termasuk dos dan kaedah pentadbiran yang berlainan (contohnya, melalui saliran luaran atau semasa pembedahan terbuka).

Keputusan utama

Individu yang menerima trombolisis selepas pendarahan subaraknoid aneurisme gred tinggi mempunyai risiko lebih rendah untuk mengalami kecacatan yang teruk, vasospasme arteri serebrum, atau iskemia serebrum tertunda berbanding mereka yang tidak menerima trombolisis. Namun, mereka tidak mempunyai kemungkinan yang lebih tinggi atau lebih rendah untuk meninggal dunia atau mengalami komplikasi pendarahan berbanding individu yang tidak menerima trombolisis. Mereka tidak mempunyai kemungkinan yang lebih tinggi atau lebih rendah untuk mengalami strok atau pengumpulan cecair dalam otak.

Apakah batasan bukti?

Kami mempunyai tahap kepastian yang rendah hingga sederhana terhadap bukti yang kami jumpai. Batasan utama bukti ialah bilangan peserta yang kecil dalam kajian, dan bilangan contoh yang kecil bagi setiap hasil. Selain itu, kajian yang terlibat dalam analisis ini menggunakan pelbagai pendekatan berbeza untuk trombolisis. Oleh sebab bilangan kajian yang kecil, kami tidak dapat mengkaji kesan setiap pendekatan ini terhadap hasilnya. Tambahan pula, kesan trombolisis terhadap kes pendarahan subaraknoid yang kurang teruk masih tidak jelas.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti ini adalah terkini sehingga 9 Mac 2023.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Daphne Lim (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia).

Petikan
Bader ER, Allam MM, Harris TGW, Suchdev N, Loke YK, Barlas R. Thrombolysis for aneurysmal subarachnoid haemorrhage. Cochrane Database of Systematic Reviews 2025, Issue 1. Art. No.: CD013748. DOI: 10.1002/14651858.CD013748.pub2.