Alat dalam rahim progestin (IUS) berbanding alat dalam rahim tembaga (IUD) untuk kontraseptif kecemasan

Mengapakah ulasan in penting?

Ulasan ini penting kerana terdapat beberapa pilihan yang ada untuk kontraseptif kecemasan. Alat dalam rahim tembaga adalah kaedah paling berkesan yang sedia ada untuk kontraseptif kecemasan, tetapi penggunaan dan pengambilannya adalah rendah. Kami memeriksa literatur untuk melihat sama ada alat dalam rahim levonorgestrel mempunyai keberkesanan yang sama dengan kaedah lain sebagai kontraseptif kecemasan. Sekiranya ia didapati sama berkesan, ini akan meluaskan pilihan yang ada untuk wanita yang memerlukan kontraseptif kecemasan.

Bagaimana kami mengenalpasti dan menilai bukti?

Kami menjalankan pencarian di sembilan pangkalan data penyelidikan perubatan dan dua pendaftar ujian untuk ujian terkawal secara rawak, dan satu laman untuk literatur kelabu (iaitu penyelidikan yang dijalankan oleh organisasi di luar saluran tradisional penerbitan dan pengedaran komersil dan akademik).

Kami mempertimbangkan kajian rawak dan bukan rawak yang membandingkan alat dalam rahim yang mengandungi progestin dengan peranti dalam rahim yang mengandungi tembaga, atau kaedah kontraseptif kecemasan oral untuk kontraseptif kecemasan.

Kami menyaring semua abstrak yang dikenal pasti dalam pencarian kami, dan teks penuh laporan yang berpotensi. Kami menilai risiko bias dan menggunakan sistem GRADE untuk menilai kepastian tentang bukti.

Apa yang telah kami dapati?

Kami mengenal pasti 2828 rekod. Selepas mengalih keluar pendua dan mengenakan kriteria kemasukan, kami menemui satu kajian rawak terkawal yang memenuhi kriteria kami. Ia memasukkan 711 wanita, dan membandingkan alat dalam rahim levonorgestrel dengan alat dalam rahim tembaga untuk kontraseptif kecemasan. Mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan dalam kadar kehamilan pada satu bulan antara pengguna alat dalam rahim levonorgestrel dan pengguna alat dalam rahim tembaga, tetapi kami amat tidak pasti tentang buktinya. Bukti juga sangat tidak pasti tentang sama ada risiko pemasukan yang gagal adalah berbeza untuk kedua-dua jenis alat dalam rahim.

Bukti adalah sangat tidak pasti tentang perbandingan kebolehterimaan kedua-dua jenis alat dalam rahim untuk kontraseptif kecemasan. Berkenaan akibat yang berkaitan dengan kemudaratan, bukti berkepastian rendah menyarankan bahawa alat dalam rahim tembaga mungkin meningkatkan senggugut, manakala alat dalam rahim levonorgestrel mungkin meningkatkan bilangan hari dengan pendarahan dan pendarahan ringan (“spotting”).

Apakah maksudnya?

Bukti semasa tidak memberikan bukti muktamad mengenai keberkesanan alat dalam rahim levonorgestrel untuk kontraseptif kecemasan.

Lebih banyak kajian perbandingan diperlukan untuk melihat sama ada alat dalam rahim levonorgestrel adalah seberkesan alat dalam rahim tembaga untuk kontraseptif kecemasan.

Sejauh manakah ulasan ini terkini?

Bukti adalah terkini setakat Julai 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick, UK). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information