Bolehkah pencair darah mencegah orang yang dimasukkan ke hospital dengan COVID-19 daripada mengalami pembekuan darah?

COVID-19 biasanya menjejaskan paru-paru dan saluran udara, tetapi, selain daripada masalah pernafasan, kira-kira 16% daripada orang yang dimasukkan ke hospital dengan COVID-19 mengalami masalah dengan darah dan saluran darah mereka, menyebabkan pembekuan darah terbentuk dalam arteri, vena dan paru-paru. Bekuan darah ini boleh berpecah belah dan bergerak ke tempat lain dalam tubuh, di mana ia boleh menyebabkan penyumbatan yang mengakibatkan serangan jantung atau angin ahmar. Hampir separuh daripada semua pesakit dengan COVID-19 yang serius, dalam unit rawatan rapi, boleh mengalami bekuan darah dalam vena atau arteri mereka.

Apakah pencair darah?

Pencair darah adalah ubat yang mencegah bekuan darah yang berbahaya daripada berlaku. Walau bagaimanapun, ia boleh menyebabkan kesan-kesan yang tidak diingini seperti pendarahan. Sesetengah garis panduan mencadangkan supaya memberi pencair darah apabila pesakit mula-mula dimasukkan ke hospital dengan COVID-19, untuk mencegah pembekuan darah berlaku, daripada menunggu untuk melihat sama ada darah akan membeku dan kemudiannya merawat mereka dengan pencair darah.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada dengan memberi pencair darah kepada pesakit yang dimasukkan ke hospital dengan COVID-19 sebagai langkah pencegahan, telah mengurangkan jumlah kematian berbanding dengan pesakit yang tidak menerima rawatan atau yang menerima rawatan plasebo. Kami juga ingin mengetahui sama ada pesakit-pesakit ini kurang memerlukan sokongan untuk pernafasan, sama ada mereka masih mengalami bekuan darah yang berbahaya, sama ada mereka mengalami pendarahan dan sama ada mereka mengalami peristiwa-peristiwa lain yang tidak diingini (contohnya, loya, muntah, masalah buah pinggang dan amputasi).

Apakah yang telah kami lakukan?

Kami telah mencari kajian-kajian yang telah menilai pencair darah yang diberi kepada pesakit yang dimasukkan ke hospital dengan COVID-19 untuk mencegah pembekuan darah. Kajian-kajian tersebut boleh terdiri daripada mana-mana jenis reka bentuk asalkan mereka membandingkan satu pencair darah dengan pencair darah yang lain, tiada rawatan atau plasebo (palsu). Kajian-kajian boleh dilakukan di mana-mana sahaja dalam dunia dan peserta-peserta boleh terdiri daripada pelbagai umur asalkan mereka dimasukkan ke hospital dengan penyakit COVID-19 yang disahkan.

Tarikh carian: 20 Jun 2020

Apakah yang telah kami temui

Kami berharap untuk mencari kajian rawak terkawal (RCT). RCT memperuntukkan peserta-peserta secara rawak untuk menerima sama ada rawatan yang dikaji atau rawatan perbandingan (rawatan lain, tiada rawatan atau plasebo). RCT memberikan bukti yang terbaik.

Kami tidak menemui sebarang RCT, justeru kami telah menyertakan tujuh kajian ‘retrospektif’ bukan rawak yang melihat kembali rawatan yang diberikan kepada 5929 orang. Kajian-kajian ini dilakukan di unit-unit rawatan rapi, wad-wad hospital dan jabatan kecemasan di China, Italy, Sepanyol dan Amerika Syarikat. Mereka telah memberikan bukti mengenai kematian dan pendarahan tetapi tiada bukti mengenai sokongan pernafasan, pembekuan darah dan kesan-kesan lain yang tidak diingini. Kajian-kajian ini amat berbeza antara satu sama lain, oleh itu kami tidak dapat mengumpulkan hasil-hasil mereka.

Pencair darah dibandingkan tanpa rawatan (6 kajian)
- Satu kajian melaporkan penurunan kematian dan kajian lain melaporkan penurunan kematian hanya dalam orang yang sakit tenat. Tiga kajian melaporkan tiada perbezaan dalam kematian dan kajian yang selebihnya melaporkan tiada kematian dalam mana-mana kumpulan.
- Satu kajian melaporkan pendarahan besar dalam 3% peserta yang telah menerima pencair darah dan 1.9% peserta yang tidak menerima pencair darah.

Dos rawatan pencair darah dibandingkan dengan dos pencegahan (1 kajian)
Semua peserta berada di unit rawatan rapi dan menggunakan ventilator mekanikal. Mereka mungkin atau mungkin tidak mempunyai bekuan darah tetapi telah diberi sama ada pencair darah dalam dos yang biasa digunakan untuk merawat bekuan darah (dos yang lebih tinggi), atau dos yang digunakan untuk mencegah bekuan darah (dos yang lebih rendah).
- Kajian ini melaporkan kadar kematian yang lebih rendah dalam kalangan orang yang menerima dos rawatan (34.2%) berbanding dengan dos pencegahan (53%).
- Kajian ini melaporkan pendarahan besar dalam 31.7% peserta yang menerima dos rawatan berbanding dengan 20.5% peserta yang menerima dos pencegahan.

Kebolehpercayaan bukti

Kami tidak tahu sama ada pencair darah adalah rawatan pencegahan yang berguna bagi pesakit COVID-19 kerana kami sangat tidak pasti mengenai bukti tersebut. Tiada kajian yang memperuntukkan peserta secara rawak dan semua kajian tersebut adalah secara retrospektif. Selain itu, mereka juga melaporkan hasil yang berbeza dari satu sama lain dan tidak melaporkan kaedah mereka dengan sepenuhnya. Ini bermakna keyakinan (kepastian) kami terhadap bukti adalah sangat rendah.

Apa yang berlaku seterusnya?

Carian kami telah menemui 22 kajian yang masih berjalan, di mana 20 adalah RCT, dengan 14,730 orang. Kami merancang untuk menambahkan hasil kajian-kajian ini ke dalam ulasan kami apabila ia telah diterbitkan. Kami berharap kajian-kajian yang berkualiti lebih baik ini akan memberikan jawapan yang konklusif kepada soalan ulasan kami.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nicole Fong Wan June. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save