Tiub endotrakeal yang dicuff berbanding yang tidak dicuff untuk neonat

Latar belakang: bayi yang baru dilahir jarang memerlukan tiub yang diletakkan di dalam laluan pernafasan; bagaimanapun, ini mungkin berlaku sebelum prosedur atau untuk membantu pernafasan. Tiub mungkin atau mungkin tidak mempunyai cuff. Cara biasa penjagaan bayi yang baru lahir adalah tiub tanpa cuff. Tiub dicuff digunakan lebih kerap pada bayi dan kanak-kanak yang lebih tua untuk mengurangkan kebocoran gas di sekeliling tiub, risiko aspirasi (menyedut makanan, air liur, atau kandungan perut ke dalam saluran pernafasan atau paru-paru), keperluan menukar tiub, atau tiub terkeluar.

Soalan ulasan: dalam ulasan ini, kami menilai bukti menyokong atau menentang penggunaan tiub dicuff pada bayi yang baru lahir.

Ciri kajian: kami mengumpul dan menganalisis semua kajian yang berkaitan untuk menjawab soalan ulasan dan mendapati satu kajian mendaftarkan 76 bayi, di mana 69 daripadanya memenuhi kelayakan untuk ulasan ini. Ulasan ini adalah terkini sehingga 20 April 2021.

Keputusan utama: tiada bukti yang mencukupi untuk atau menentang tiub dengan cuff untuk mengelakkan masalah saluran pernafasan. Bayi yang baru lahir yang mempunyai tiub dengan cuff mungkin memerlukan kurang kerap penggantian tiub atas sebarang sebab dan kurang kerap penggantian tiub untuk mencari saiz yang betul berbanding bayi yang mempunyai tiub tanpa cuff.

Kebolehpercayaan bukti: kami menilai kebolehpercayaan bukti adalah sangat rendah. Ini kerana hanya beberapa bayi yang berada dalam satu kajian dan terdapat kemungkinan berat sebelah. Terdapat satu percubaan yang sedang berjalan. Kami mengklasifikasikan dua kajian sebagai menunggu klasifikasi kerana data hasil tidak dilaporkan secara berasingan untuk bayi baru lahir dan bayi yang lebih tua.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Amanda Yap Qiao Ying (Hospital Putrajaya). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information