Opioid untuk bayi baru lahir yang menerima ventilasi mekanikal

Soalan ulasan

Adakah ubat-ubatan seperti morfin dan fentanil (opioid) menyelamatkan nyawa, mengurangkan kesakitan, atau memperbaik perkembangan jangka panjang bayi baru lahir yang memerlukan mesin pernafasan (ventilator mekanikal)?

Latar belakang

Mesin pernafasan digunakan secara meluas untuk bayi baru lahir cukup bulan (usia kehamilan ≥ 37 minggu) dan bayi pramatang (usia kehamilan < 37 minggu) dengan masalah pernafasan. Mesin pernafasan boleh menyebabkan bayi kesakitan. Lebih-lebih lagi, penggunaannya memerlukan kehadiran dan penyedutan tiub yang diletakkan di trakea bayi (yang menghubungkan larinks ke bronkus paru-paru), maka menyebabkan kesakitan dan tekanan tambahan. Oleh sebab bayi baru lahir sangat sensitif terhadap kesakitan, yang boleh mempunyai kesan buruk terhadap perkembangan pada masa depan, pengurangan kesakitan dengan ubat-ubatan (termasuk opioid seperti morfin dan fentanil) mungkin sangat penting. Kesakitan pada bayi dinilai oleh orang dewasa dengan menggunakan skala yang berbeza, yang menumpukan kepada penampilan dan tingkah laku bayi, dan pada parameter yang lain.

Ciri-ciri kajian
Kami mengumpul dan menganalisis semua kajian yang relevan untuk menjawab soalan ulasan ini dan menemui 23 kajian yang melibatkan 2023 bayi. Dalam kebanyakan kajian, bayi dilahirkan sebelum tarikh bersalin (sebelum usia kehamilan 37 minggu). Lapan kajian membandingkan penggunaan morfin berbanding plasebo (bahan tanpa nilai terapi) atau tiada intervensi, dan tujuh kajian membandingkan fentanil. Kami menganalisis kajian lain secara berasingan kerana para penyelidik membandingkan penggunaan dua ubat-ubatan ini dengan opioid lain atau analgesik lain.

Keputusan utama

Kami tidak pasti sama ada opioid mempunyai kesan terhadap hasil-hasil kesakitan dan perkembangan saraf pada 18 ke 24 bulan; penggunaan morfin atau fentanil mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan dalam mengurangkan tempoh ventilasi mekanikal dan kematian neonatal. Penyelidikan lebih lanjut adalah diperlukan.

Kepastian bukti

Kepastian bukti adalah sangat rendah ke sederhana kerana keseluruhannya hanya sebilangan kecil kajian melihat kepada intervensi ini, sedikit bayi dimasukkan dalam kajian-kajian ini, dan beberapa kajian mungkin boleh dirancang dengan lebih baik.

Seberapa terkinikah ulasan ini?

Kami mencari kajian yang telah diterbitkan sehingga 29 September 2020.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rsciucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save