Latihan badan untuk memperbaik aktiviti dalam kalangan orang dengan strok

Latar belakang

Strok adalah keadaan lazim yang boleh menyebabkan kehilangan upaya utama dan juga kematian dalam kalangan dewasa. Strok memberi impak penting ke atas pelbagai aspek fungsi manusia, termasuk mengehadkan pergerakan. Satu defisit yang kerap dilihat selepas strok ialah fungsi badan yang berkurangan. Kerosakan ini boleh, antara lain, berciri mobiliti yang berkurangan, keseimbangan duduk yang berkurangan, tindak balas lewat atau berkurangan terhadap gangguan dalaman dan luaran, kekuatan otot yang berkurangan dan corak pengaktifan otot tubuh. Pergerakan badan dan imbangan duduk adalah penting untuk kebebasan berfungsi - iaitu keupayaan untuk melakukan tugas hidup harian seperti berpakaian, makan dan berdandan tanpa bantuan. Sebahagian besar fungsi tubuh badan boleh meramal tahap pemulihan dan kebebasan selepas strok.

Latihan badan bertujuan mendapatkan semula fungsi tubuh. Latihan badan boleh terdiri daripada elemen yang berbeza seperti: latihan kekuatan otot abdomen dan belakang; latihan yang memfokus untuk memperbaik pergerakan tubuh; atau memperbaik imbangan sisi atau hadapan semasa duduk, bertujuan untuk memperbaik keseimbangan duduk.

Badan adalah teras; ia menyediakan asas yang stabil untuk mengawal pergerakan kepala dan kaki dan tangan. Latihan tubuh badan mungkin berkesan positif bukan sahaja pada fungsi tubuh tetapi juga impak ke atas hasil lain seperti aktiviti kehidupan harian, keseimbangan berdiri, berjalan dan kesejahteraan.

Soalan ulasan

Kami ingin tahu sama ada latihan tubuh memperbaik aktiviti kehidupan seharian, fungsi badan, keseimbangan berdiri, kesejahteraan dan hasil lain selepas strok.

Tarikh carian

Kami mencari sembilan pangkalan data dan bibliografi kajian relevan yang diterbitkan sehingga 25 Oktober 2021.

Ciri-ciri kajian

Kami sertakan 68 kajian dengan sejumlah 2585 peserta di mana para peserta dirawak kepada dua atau lebih kumpulan. Kajian-kajian membandingkan latihan tubuh dengan terapi lain atau tiada terapi selepas strok.

Keputusan utama

Kami mendapati latihan tubuh badan boleh memperbaik aktiviti kehidupan seharian, fungsi tubuh, keseimbangan berdiri, penggunaan fungsi lengan dan tangan yang terjejas, pergerakan anggota bawah yang terjejas, keupayaan untuk berjalan, dan kesejahteraan.

Kualiti bukti

Kualiti bukti adalah sangat rendah hingga rendah.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wan Anisa Hanim Binti Mohd Nasir@Azman (KP Kok Lanas). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information