Langkau ke kandungan utama

Adakah ubat yang meningkatkan daya degupan jantung menghalang sindrom keluaran jantung rendah dan kematian pada kanak-kanak yang menjalani pembedahan untuk penyakit jantung kongenital?

Mesej utama

- Menggunakan levosimendan sebagai pencegahan mengurangkan kemungkinan kanak-kanak yang menjalani pembedahan jantung mati. Risiko untuk pengurangan fungsi jantung sebahagian besarnya dikurang dengan levosimendan dan berkemungkinan juga dengan milrinone, berbanding plasebo. Kesan sampingan mungkin lebih biasa dengan levosimendan atau dobutamine dan lebih biasa dengan milrinone tetapi kurang biasa dengan milrinone dos rendah, berbanding plasebo.

- Keyakinan kami terhadap bukti adalah terhad kerana hanya sebilangan kecil pesakit menerima setiap ubat, umur dan penyakit pesakit berbeza, dan terdapat susulan yang singkat atau pelaporan hasil yang tidak lengkap.

Apakah itu sindrom keluaran jantung rendah?

Kanak-kanak yang menjalani pembedahan jantung risiko mengalami fungsi jantung yang berkurangan selepas pembedahan (sindrom keluaran jantung rendah, LCOS). Ini menjejaskan sehingga satu perempat daripada kanak-kanak ini, dan terdapat risiko kematian. Fungsi jantung yang berkurangan menyebabkan kanak-kanak tinggal lebih lama dengan mesin pernafasan dan lebih lama di unit jaga rapi (ICU).

Apakah yang kami ingin tahu?

Kami ingin mengetahui sama ada terdapat sebarang ubat yang meningkatkan daya pengepaman jantung menghalang fungsi jantung yang berkurangan atau kematian pada kanak-kanak selepas pembedahan jantung, jika terdapat kemudaratan yang berkaitan, dan jika kami boleh menentukan peringkat rawatan. Ubat-ubatan ini digunakan apabila LCOS muncul, tetapi kadangkala juga untuk mencegahnya. Terdapat beberapa kajian yang membandingkan beberapa ubat ini antara satu yang lain, masing-masing dengan beberapa pesakit. Dengan menjalankan analisis meta rangkaian, di mana beberapa rawatan berbeza boleh berbanding antara satu yang lain, kami berharap dapat memberikan maklumat lanjut tentang cara mencegah fungsi jantung rendah atau kematian pada kanak-kanak yang menjalani pembedahan jantung.

Apakah yang telah kami lakukan?

Kami telah mencari pangkalan data sastera perubatan untuk kajian yang dirancang, berterusan dan selesai yang membandingkan ubat-ubatan ini antara satu yang lain , dengan jagaan piawai (langkah yang biasa dilakukan di ICU selepas pembedahan jantung ), atau dengan plasebo (penyelesaian yang kelihatan sama seperti infusi ubat, tetapi tidak mempunyai bahan aktif). Dua pengarang ulasan mengumpul dan menyemak data secara bebas. Kami kemudian mengira keberkesanan ubat-ubatan tersebut apabila keputusan kajian digabungkan, meringkaskan keputusan dan menilai keyakinan kami terhadap bukti.

Apakah yang telah kami temui?

Kami menemui 13 kajian membandingkan levosimendan, milrinone, dobutamine, dopamine, gabungan ini dengan ubat yang lain atau plasebo, dengan 937 jumlah peserta. Dua daripada kajian telah dijalankan di beberapa hospital. Peserta berbeza antara kajian; sebagai contoh, mengikut umur, daripada bayi baru lahir berumur kurang daripada satu bulan hingga kanak-kanak berumur 14 tahun. Semua kajian menyertakan kanak-kanak yang menjalani pembedahan untuk kecacatan jantung kongenital dengan menggunakan mesin jantung-paru-paru buat sementara waktu. Sesetengah kajian hanya mengkaji kanak-kanak dengan dua bilik jantung, satu kanak-kanak sahaja dengan satu bilik jantung, dan beberapa kedua-duanya.

Lima kajian berbanding levosimendan dengan milrinone, dua kajian berbanding levosimendan dengan plasebo dan dua kajian berbanding milrinone dengan plasebo. Satu kajian berbanding levosimendan dengan dobutamine, satu kajian berbanding milrinone dengan dobutamine, dan dua kajian menggunakan rawatan gabungan. Kebanyakannya pesakit diperhatikan sepanjang tempoh mereka tinggal di ICU atau di hospital. Penulis kajian menerima dana daripada kerajaan, hospital, dan organisasi tidak berasaskan keuntungan, tetapi juga daripada pengeluar ubat; dalam beberapa kes, kita tidak tahu cara mereka dibiayai.

Keputusan utama

Levosimendan menyebabkan lebih sedikit pesakit mati selepas pembedahan jantung kanak-kanak daripada plasebo, milrinone berkemungkinan tidak mengubah risiko tersebut, dan untuk dobutamin, kita tidak tahu risiko (14 peristiwa, 557 peserta, 9 kajian).

Sebahagian besar risiko fungsi jantung yang berkurangan dikurangkan dengan levosimendan dan berkemungkinan besar dikurangkan dengan milrinone, dan boleh dikurangkan dengan dos milrinone rendah, berbanding dengan plasebo (85 peristiwa, 513 peserta, 5 kajian).

Tempoh tinggal ICU mungkin tidak berbeza dengan levosimendan dan berkemungkinan tidak berbeza dengan milrinone atau dengan dobutamine, berbanding plasebo (9 kajian, 577 peserta).

Tempoh tinggal di hospital mungkin tidak berbeza dengan levosimendan atau dengan milrinone, tetapi berkemungkinan dikurangkan dengan dobutamine, berbanding dengan plasebo (7 kajian, 297 peserta).

Masa kanak-kanak perlu menggunakan alat pernafasan selepas pembedahan jantung mungkin lebih lama dengan levosimendan atau milrinone dan berkemungkinan tidak berbeza dengan dobutamine, berbanding dengan plasebo (9 kajian, 577 peserta).

Kesan sampingan secara umumnya mungkin lebih biasa dengan levosimendan atau dobutamine dan mungkin lebih biasa dengan milrinone dan kurang biasa dengan milrinone dos rendah, berbanding dengan plasebo (8 kajian, 706 peserta, 380 peristiwa).

Apakah batasan bukti?

Kami menemui beberapa kajian dengan reka bentuk kajian berbeza di mana bukan selalunya semua kesan ini dilihat. Keyakinan kami terhadap bukti adalah terhad disebabkan oleh bilangan pesakit disertakan untuk setiap rawatan ubat yang kecil, dan kerana kami tidak selalu yakin bahawa semua pesakit dalam kajian akan dirawat dengan cara yang setanding sepenuhnya, maka mereka telah disusuli untuk masa yang lama, atau semua keputusan kajian telah dilaporkan sepenuhnya. Oleh itu, semua keputusan analisis meta rangkaian kami mesti dilihat dengan berhati-hati.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti ini adalah terkini sehingga Disember 2023.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Kuala Lumpur). Disunting oleh Khaw Loke Tim (IMU University).

Petikan
Burkhardt BEU, Hummel J, Rücker G, Stiller B. Inotropes for the prevention of low cardiac output syndrome and mortality for paediatric patients undergoing surgery for congenital heart disease: a network meta-analysis. Cochrane Database of Systematic Reviews 2024, Issue 11. Art. No.: CD013707. DOI: 10.1002/14651858.CD013707.pub2.