Antidepresan generasi baru untuk kemurungan dalam kalangan kanak-kanak dan remaja: analisis meta rangkaian

Sejauh manakah formulasi antidepresan yang lebih baru berfungsi untuk kanak-kanak dan remaja dengan kemurungan klinikal?

Kanak-kanak dan remaja (6 hingga 18 tahun) dengan kemurungan (juga dikenali sebagai ‘gangguan kemurungan utama’) mengalami pelbagai kesan negatif dalam semua aspek kehidupan mereka dan mempunyai risiko yang tinggi untuk membunuh diri, berfikir tentang membunuh diri dan cubaan bunuh diri. Antidepresan telah terbukti dapat mengurangkan gejala kemurungan, tetapi ia juga meningkatkan risiko berkaitan dengan bunuh diri.

Siapa yang akan berminat dalam penyelidikan ini?

Kajian dalam Cochrane Review ini akan menarik minat:

- mereka yang memutuskan polisi, dan mempengaruhi keputusan berkenaan preskripsi ubat antidepresan kepada kanak-kanak dan remaja;

- orang yang memberi preskripsi ubat-ubatan ini kepada kanak-kanak dan remaja;

- kanak-kanak dan remaja yang mengalami kemurungan; dan

- mereka yang membantu dan menjaga kanak-kanak dan remaja ini (termasuk ibubapa dan penjaga dan doktor yang memberikan rawatan).

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin mengetahui seberapa baik antidepresan formulasi terbaru (dipanggil sebagai ‘generasi baru’) dalam menambahbaik kemurungan dalam kalangan kanak-kanak dan remaja berusia 6 hingga 18 tahun. Generasi baru antidepresan adalah antidepresan yang baru dihasilkan. Ia adakalanya dikenali sebagai antidepresan ‘generasi kedua’ dan ‘generasi ketiga’; ia tidak mempunyai formulasi lama (antidepresan trisiklik atau penghalang monoamin oksidase).

Kami ingin mengetahui bagaimana antidepresan ini mempengaruhi:

- gejala-gejala kemurungan;

- kesembuhan: tidak lagi memenuhi kriteria untuk gangguan kemurungan utama;

- tindak balas atau remisi: skor pada skala menunjukkan penurunan yang penting dalam kemurungan atau tidak lagi mengalami kemurungan.

- keupayaan untuk berfungsi dalam kehidupan seharian;

- hasil yang berkaitan dengan bunuh diri; dan

- sama ada ia akan menyebabkan kesan yang tidak diingini pada kanak-kanak dan remaja.

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari kajian-kajian yang menguji antidepresan generasi baru pada kanak-kanak atau remaja (atau kedua-duanya) yang telah didiagnosis dengan gangguan kemurungan utama. Kami mengenalpasti 26 kajian yang sedemikian. Kami kemudiannya menilai kebolehpercayaan kajian-kajian tersebut, dan menghasilkan dapatan kajian merentasi kajian-kajian.

Apakah yang diberitahu oleh bukti ulasan ini?

Kebanyakan antidepresan yang lebih baru mungkin mengurangkan gejala kemurungan dengan lebih baik berbanding plasebo (rawatan ‘dummy’ yang tidak mengandungi apa-apa ubat tapi kelihatan serupa dengan ubat yang diuji). Walau bagaimanapun, pengurangannya kecil dan mungkin tidak dirasakan penting oleh kanak-kanak dan remaja, ibubapa dan penjaga mereka, atau doktor. Apabila ubat yang berbeza dibandingkan antara satu sama lain, hanya terdapat perbezaan kecil dan tidak penting antara kebanyakannya dalam mengurangkan gejala.

Penemuan kami menunjukkan apa yang berlaku secara purata kepada individu, tetapi beberapa individu mungkin mengalami tindakbalas yang lebih baik. Ini mungkin menyebabkan cadangan dibuat untuk penggunaan antidepresan untuk beberapa individu dalam beberapa keadaan. Penemuan kami menunjukkan bahawa sertraline, escitalopram, duloxetine dan fluoxetine boleh digunakan jika ubat dalam pertimbangan.

Kesan ubat pada gejala kemurungan harus dipantau secara ketat oleh mereka yang mencadagkan ubat tersebut, lebih-lebih lagi kerana pemikiran dan tingkah laku yang berkaitan dengan bunuh diri akan meningkat dalam kalangan mereka yang mengambil ubat ini. Pemantauan ketat terhadap tingkah laku yang berkaitan dengan bunuh diri adalah sangat penting bagi mereka yang dirawat dengan antidepresan generasi baru.

Apa yang patut berlaku seterusnya?

Kajian yang memberikan bukti ini banyaknya tidak memasukkan kanak-kanak dan remaja yang:

- sudah berfikir tentang bunuh diri dan ingin meragut nyawa mereka sendiri (iaitu mempunyai idea untuk bunuh diri);

- mencederakan diri sendiri;

- mempunyai keadaan kesihatan mental yang lain; dan

- menghadapi kesulitan psikososial.

Penyelidikan masa depan harus bertujuan untuk memahami impak ubat-ubatan ini pada kanak-kanak dan remaja yang mengalami masalah ini, yang lebih khas dalam mereka yang meminta perkhidmatan klinikal.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Siti Shuhada Muhammad Sidik (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information