Berapa tepatkah pengimejan dada untuk mendiagnos COVID-19?

Mengapa soalan ini penting?

Orang yang disyaki COVID-19 perlu tahu dengan segera sama ada mereka dijangkiti supaya mereka dapat menerima rawatan yang sesuai, mengasingkan diri, dan memaklum kontak rapat.

Pada masa ini, diagnosis formal jangkitan COVID-19 memerlukan ujian makmal (RT-PCR) sampel hidung dan tekak. RT-PCR memerlukan peralatan khusus dan mengambil masa sekurang-kurangnya 24 jam untuk menghasilkan keputusan. Ia bukan benar-benar tepat dan RT-PCR yang kedua atau ujian lain mungkin perlu untuk mengesahkan diagnosis.

Klinisian boleh menggunakan pengimejan dada untuk mendiagnosis orang yang bergejala COVID-19, sementara menunggu hasil RT-PCR atau apabila hasil RT-PCR negatif, dan orang tersebut bergejala COVID-19.

Ini adalah versi keempat ulasan ini.

Apakah yang kami ingin tahu?

Kami ingin tahu sama ada pengimejan dada cukup tepat untuk mendiagnos COVID-19 dalam kalangan orang yang disyaki dijangkiti; kami menyertakan kajian-kajian dalam kalangan orang yang disyaki COVID-19 sahaja dan mengecualikan kajian-kajian dalam kalangan orang yang disahkan COVID-19. Kami juga ingin menilai ketepatan pengimejan dada untuk menyaring orang yang asimtomatik.

Bukti adalah terkini sehingga 17 Februari 2021.

Apakah ujian pengimejan dada?

Sinar-x atau imbasan menghasilkan imej organ dan struktur dalam dada.

- Sinar-x (radiografi) menggunakan radiasi untuk menghasilkan imej 2-D. Ia sering dibuat di hospital, menggunakan peralatan tetap oleh jururadiografi; ia juga boleh dibuat dengan mesin mudah alih.

- Imbasan tomografi berkomputer (CT) menggunakan komputer untuk menggabung imej sinar-X 2-D dan menukarnya menjadi imej 3-D. Ia memerlukan peralatan khusus dan dibuat di hospital oleh seorang jururadiografi pakar.

- Imbasan ultrasound mengguna gelombang bunyi frekuensi tinggi untuk menghasilkan imej. Ia boleh dibuat di hospital atau persekitaran penjagaan kesihatan lain seperti klinik doktor.

Apa yang kami lakukan?

Kami mencari kajian-kajian yang menilai ketepatan pengimejan dada untuk mendiagnos jangkitan COVID-19 dalam kalangan orang sebarang usia yang disyaki COVID-19. Kami menyertakan kajian-kajian dengan 'gejala' atau 'populasi bercampur'.

Apakah yang kami temui?

Kami menemui 94 kajian dengan 37,631 peserta (yang mana 19,768 (53%) mempunyai diagnosis akhir COVID-19) untuk menilai ketepatan diagnostik pengimejan toraks dalam penilaian orang yang disyaki COVID-19. Lapan puluh tujuh kajian menilai satu modaliti pengimejan, dan tujuh kajian menilai dua modaliti pengimejan. Kesemua 94 kajian menggunakan RT-PCR sama ada secara bersendirian atau digabung dengan kriteria lain (seperti tanda dan gejala klinikal, atau kontak positif) sebagai standard rujukan untuk diagnosis COVID-19.

CT dada: orang yang disyaki

Keputusan gabungan menunjukkan CT dada (69 kajian) mendiagnosis COVID-19 dengan betul dalam kalangan 87% orang yang dijangkiti COVID-19. Walau bagaimanapun, ia gagal mengenal pasti COVID-19 dalam 21% orang yang tidak dijangkiti COVID-19.

CT dada: orang yang disyaki

Keputusan gabungan menunjukkan sinar-X dada (17 kajian) mendiagnos dengan betul COVID-19 dalam 73% orang yang dijangkiti COVID-73. Walau bagaimanapun, ia gagal mengenal pasti COVID-19 dalam 27% orang yang tidak dijangkiti COVID-19.

Ultrasound paru-paru: orang yang disyaki

Keputusan gabungan menunjukkan ultrasound paru-paru (15 kajian) mendiagnos COVID-19 dengan betul dalam kalangan 87% orang dengan COVID-19. Walau bagaimanapun, ia tidak tepat mendiagnos COVID-19 dalam kalangan 24% orang yang tidak dijangkiti COVID-19.

Menyaring orang asimptomatik

Kami menyertakan 10 kajian (7 CT, 1 sinar-X, 2 ultrasound) dengan 3548 peserta asimptomatik, yang mana 364 (10%) mempunyai diagnosis akhir COVID-19. Hasil gabungan tujuh kajian, menunjukkan CT mendiagnosis COVID-19 dengan betul dalam 56% orang yang ada COVID-19, dan salah mengenal pasti COVID-19 dalam kalangan 8% orang yang tiada COVID-19.

Adakah keputusan-keputusan ini boleh percaya?

Kajian-kajian berbeza antara satu sama lain dan mengguna pelbagai kaedah untuk melaporkan keputusan. Sangat sedikit kajian membanding secara langsung satu jenis ujian pengimejan dengan yang lain. Juga, risiko bias adalah tinggi atau tidak jelas dalam kira-kira separuh daripada semua kajian yang disertakan. Oleh itu, sukar untuk membuat kesimpulan yang yakin.

Apakah maksudnya?

Bukti mencadangkan CT dada dan ultrasound lebih baik untuk mengenal pasti jangkitan COVID - 19 berbanding masalah-masalah pernafasan lain. Oleh itu, kebolehgunaannya mungkin terhad untuk mengetepikan jangkitan COVID-19 berbanding penyebab lain jangkitan paru-paru. Di samping itu, pengimejan CT dada mempunyai sensitiviti yang lemah dan spesifisiti yang tinggi untuk mengesan individu asimptomatik.

Nota terjemahan: 

Dikemaskini oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Diterjemah oleh Nicole Fong Wan June (RUMC). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information