Panggilan video untuk mengurangkan keterasingan sosial dan kesunyian dalam kalangan orang tua

Latar belakang

Coronavirus (COVID-19) adalah virus baru yang merebak dengan pantas ke seluruh dunia. Negara-negara telah memperkenalkan sekatan terhadap pergerakan manusia bagi melindungi mereka daripada COVID-19, tetapi hasil yang tidak diingini adalah orang tua mungkin merasa sunyi dan terasing, yang berkemungkinan menjejaskan kesihatan mental dan fizikal.

Panggilan video adalah panggilan telefon yang menggunakan sambungan internet. Panggilan video membolehkan pemanggil melihat - juga mendengar - antara satu sama lain. Teknologi ini boleh membantu orang tua berhubung dengan keluarga dan rakan-rakan dengan selamat, dan ini mungkin mengurangkan perasaan kesunyian dan keterasingan sosial mereka.

Apa yang ingin kami ketahui?

Kami ingin mengetahui jika orang tua yang menggunakan panggilan video merasa kurang sunyi daripada mereka yang tidak menggunakannya. Kami juga melihat kepada sama ada panggilan video mempengaruhi simptom kemurungan atau kualiti hidup.

Kaedah-kaedah kami

Kami mencari kajian yang membahagi orang tua secara rawak kepada kumpulan yang berbeza sama ada menggunakan panggilan video, kaedah lain untuk berhubung, atau tiada kaedah yang tertentu (penjagaan biasa), dengan tujuan menyiasat kesan-kesan terhadap kesunyian atau keterasingan sosial. Untuk ulasan kami, kami menganggap orang tua sebagai berumur 65 tahun atau lebih. Kami mengambilkira panggilan video sebagai panggilan yang dibuat melalui internet, komputer, tablet atau telefon pintar.

COVID-19 sedang merebak dengan pantas, maka kami perlu menjawab soalan ini dengan cepat. Ini bermakna kami memendekkan beberapa langkah bagi proses Ulasan Cochrane yang biasa. Dua penulis ulasan memeriksa 25% daripada keputusan carian untuk kajian dan seorang penulis ulasan memeriksa 75% daripada carian kami yang selebihnya, yang mana biasanya dua penulis ulasan akan memeriksa semua keputusan. Begitu juga, hanya seorang penulis ulasan mengumpulkan data dan menilai kualiti kajian, dan penulis ulasan yang kedua memeriksa kerja ini.

Keputusan

Kami melibatkan tiga kajian, dengan 201 peserta, dalam ulasan kami. Semua tiga kajian dilakukan di rumah-rumah jagaan di Taiwan di antara 2010 dan 2020 yang membandingkan panggilan video dengan penjagaan biasa.

Bukti dari ketiga-tiga kajian mencadangkan panggilan video memberi sedikit atau tiada kesan terhadap kesunyian selepas tiga, enam atau 12 bulan. Terdapat sedikit atau perbezaan symptom kemurungan selepas tiga atau enam bulan, walaupun selepas setahun, orang tua yang menggunakan panggilan video mungkin menunjukkan sedikit pengurangan kemurungan berbanding mereka yang menerima penjagaan biasa. Begitu juga, panggilan video mungkin menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan dalam kualiti hidup orang tua.

Kepastian tentang bukti

Kepastian (keyakinan) kami dalam bukti adalah terhad kerana kami menemui sedikit kajian dengan jumlah peserta yang kecil, dan mereka sama ada menggunakan kaedah yang tidak boleh dipercayai atau tidak menerangkan kaedah dengan sempurna. Lagipun, semua peserta adalah dari rumah jagaan, oleh itu penemuan kami mungkin tidak boleh diaplikasi kepada orang tua yang tinggal di tempat lain misalnya rumah sendiri. Juga, beberapa peserta mungkin tidak merasa sunyi atau terasing secara sosial.

Kesimpulan

Berdasarkan bukti semasa, kami tidak dapat mengatakan sama ada panggilan video membantu mengurangkan kesunyian dalam kalangan orang tua. Kami memerlukan lebih banyak kajian, yang menggunakan kaedah yang baik untuk menyiasat soalan ini, dan memberi tumpuan terhadap orang tua yang kesunyian atau terasing secara sosial.

Carian tarikh

Ulasan ini menyertakan bukti yang diterbitkan sehingga 7 April 2020.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save