Adakah penggunaan ubat kumur antimikrob atau semburan hidung oleh orang yang tidak disyaki aktif menghidap COVID-19 - atau oleh petugas kesihatan mereka - melindungi petugas kesihatan mereka ketika mereka melakukan 'prosedur penghasilan aerosol' pada mere

Mengapa soalan ini penting?

COVID-19 ialah penyakit berjangkit yang disebabkan oleh virus SARS-CoV-2. Kebanyakan orang yang dijangkiti COVID-19 mengalami penyakit respiratori ringan hingga sederhana, dan sesetengah mungkin tidak bergejala (jangkitan asimptomatik). Mereka yang lain mungkin mengalami gejala yang teruk dan memerlukan rawatan pakar dan penjagaan intensif.

COVID-19 merebak dari individu ke individu terutamanya melalui titisan yang dihasilkan ketika orang yang dijangkiti batuk, bersin atau bercakap. Seseorang juga boleh dijangkiti dengan menyentuh permukaan atau objek yang mempunyai titisan virus di atasnya, dan kemudian menyentuh mulut atau hidungnya sendiri.

Sebilangan orang dengan COVID-19 tidak mengalami sebarang gejala, oleh itu mereka mungkin tidak diketahui atau disyaki dijangkiti. Namun, mereka mungkin masih dapat menyebarkan jangkitan kepada orang lain. Ini bermaksud bahawa petugas kesihatan yang merawat mereka berisiko terkena jangkitan. Risiko jangkitan mungkin sangat tinggi ketika petugas kesihatan menjalankan 'prosedur penghasilan aerosol', yang merupakan prosedur perubatan yang menyebabkan pesakit menghasilkan banyak titisan kecil. Contohnya, orang yang menjalani pembedahan di bawah anestesia umum, atau orang dengan penyakit paru-paru yang menyukarkan pernafasan (seperti radang paru-paru), mungkin perlu diletakkan di ventilator (mesin pernafasan buatan) untuk membantu mereka bernafas. Ini memerlukan petugas kesihatan memasukkan tiub melalui mulut pesakit, ke saluran udara mereka - prosedur yang mana banyak titisan kecil mungkin dihasilkan oleh pesakit. Titisan yang serupa dapat dihasilkan semasa prosedur pergigian rutin, seperti penggerudian atau pembersihan gigi.

Pesakit atau petugas kesihatan yang menggunakan ubat kumur antimikrob (untuk membilas mulut) atau semburan hidung (disembur ke dalam hidung) mungkin dapat membantu melindungi pekerja kesihatan daripada jangkitan COVID-19. Ubat kumur antimikrob dan semburan hidung adalah cecair yang membunuh atau menghentikan pertumbuhan mikro-organisma seperti virus atau bakteria.

Seperti mana-mana rawatan perubatan, ubat kumur antimikrob dan semburan hidung mempunyai potensi risiko serta faedah. Terdapat kemungkinan bahawa penggunaan ubat kumur atau semburan hidung boleh menyebabkan pelbagai kesan (buruk) yang tidak diingini, termasuk kerengsaan, reaksi alergi atau kehilangan deria bau. Ia juga boleh membunuh mikro-organisma dari mulut atau hidung yang berguna untuk melindungi tubuh daripada jangkitan.

Kami berusaha untuk menilai faedah dan risiko swapengambilan ubat kumur antimikrob dan semburan hidung oleh pesakit tanpa jangkitan COVID-19 yang diketahui atau disyaki, atau oleh petugas kesihatan yang merawat mereka dengan prosedur penghasilan aerosol, dengan meninjau bukti penyelidikan.

Bagaimana kami mencari bukti?

Pasukan penyelidik kami mencari penulisan perubatan untuk kajian yang membandingkan kesan swapengambilan ubat kumur antimikrob atau semburan hidung oleh pesakit atau petugas kesihatan berbanding tanpa rawatan, air atau larutan garam.

Apa yang kami temui?

Kami mendapati tiada kajian yanng telah lengkap, atau masih berterusan, untuk dimasukkan ke dalam ulasan ini.

Apakah maksudnya?

Saat ini tidak ada bukti yang berkaitan dengan manfaat dan risiko terhadap petugas kesihatan atau pesakit yang menggunakan ubat kumur antimikrob atau semburan hidung bagi melindungi petugas kesihatan yang melakukan prosedur penghasilan aerosol pada pesakit tanpa jangkitan COVID-19 yang diketahui atau disyaki.

Kami memerlukan kajian untuk dilakukan supaya kami dapat menjawab persoalan klinikal yang penting ini.

Seberapa terkinikah ulasan ini?

Carian bukti terakhir kami adalah pada 1 Jun 2020. Ulasan ini merangkumi penyelidikan sedia ada sehingga tarikh tersebut, tetapi tidak mempertimbangkan bukti yang mungkin dihasilkan sejak itu.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Syed Amirfaiz (Universiti Sultan Zainal Abidin). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information